Tag: Shahidan Kassim

  • Pas Selangor sahkan Shahidan tiada dalam senarai calon

    Pas Selangor sahkan Shahidan tiada dalam senarai calon

    AHLI Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim tiada dalam senarai calon parti itu bagi PRN akan datang, kata Pas Selangor.

    Menurut Setiausaha perhubungan Pas Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir, ini kerana tiada sebarang perbincangan untuk meletakkan Shahidan calon dan Pas juga telah membuat senarai pendek calon yang mungkin diletakkan di negeri itu.

    “Setakat ini, calon yang disenarai pendek Pas Selangor adalah dalam kalangan anak jati negeri ini sahaja. Tiada perbincangan untuk meletakkan Shahidan.

    “Bagaimanapun, di peringkat pusat kami tidak tahu jika ada cadangan untuk meletakkannya sebagai calon di mana-mana kerusi DUN untuk PRN akan datang,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

    Spekulasi bahawa bekas menteri besar Perlis itu akan bertanding di Selangor berlegar selepas dia dikatakan sudah turun ke Semenyih beberapa kali.

    Shahidan juga malah memberi bayangan mungkin melibatkan diri dalam usaha PN untuk merampas pentadbiran Selangor dari PH.

    Untuk rekod, dia mempertahankan kemenangannya di Arau di bawah tiket Pas pada PRU lalu, selepas namanya digugurkan oleh kepimpinan BN.

    Shahidan sebelum ini memberitahu bahawa dia tidak mempunyai sebarang agenda untuk merebut apa-apa jawatan tetapi akan menggunakan pengaruhnya untuk membina “gelombang yang dahsyat” untuk PN di Selangor.

    Roslan mengambil maklum bahawa Shahidan ada menawarkan diri sebagai calon dan pihaknya akan memberi sokongan jika kepimpinan parti berpandangan ia boleh membantu memberi kemenangan dalam PRN akan datang.

    Pada masa sama, dia berkata pembahagian kerusi DUN Selangor antara Pas, Bersatu dan Gerakan sudah hampir selesai dan akan memperkenalkan calon setelah senarai tersebut mendapat lampu hijau daripada kepimpinan tertinggi.

    “Ada dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan. Kami bersepakat menyerahkan keputusan kepada Pas pusat untuk menyelesaikannya,” katanya lagi.

  • Tiada kepastian KJ, Shahidan bertanding PRN Selangor

    Tiada kepastian KJ, Shahidan bertanding PRN Selangor

    PAS Selangor tidak pasti berhubung cakap-cakap bahawa bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi.

    Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, Pas Selangor tiada maklumat dan tidak dimaklumkan berkenaan perkara itu.

    Pas bagaimanapun katanya terbuka menerima pemimpin berwibawa dan kompeten untuk bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam misi menawan Selangor.

    “Pas sendiri telah menyediakan calon-calon berkelayakan untuk mendepani gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN.

    “Pas Selangor tidak tahu KJ (Khairy Jamaluddin) dan DSSK (Shahidan) akan bertanding di Selangor namun terbuka dan mengalu-alukan bantuan mana-mana pihak yang boleh bawa kemenangan buat PN di Selangor, ” katanya, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesahihan mengaitkan dua nama besar itu akan bertanding atas tiket PN di Selangor.

    Sebelum ini Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menyatakan kesediaan untuk bertanding di Selangor dalam misi membantu PN menawan negeri itu.

    PN menyasarkan untuk menawan tiga negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Shahidan dikatakan antara calon yang akan diketengahkan dalam PRN Selangor dan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

    Sementara itu, KJ dikatakan bakal bertanding di salah satu kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti tersebut sebelum PRN.

  • ‘Kenapa rumah terbuka diadakan di 6 negeri hadapi PRN?’, tanya Shahidan

    ‘Kenapa rumah terbuka diadakan di 6 negeri hadapi PRN?’, tanya Shahidan

    LANGKAH kerajaan campuran PH-BN mengadakan Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi boleh menimbulkan prasangka dalam kalangan rakyat yang melihatnya sebagai langkah politik.

    Menurut Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, walaupun berkali-kali dinafikan oleh pimpinan kerajaan namun rakyat tetap melihat penganjurannya hanya di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan itu sebagai platform politik.

    “Kenapa tidak mahu buat di Perlis dan negeri lain. Negeri yang dilaksanakan majlis itu pula adalah negeri yang bakal hadapi PRN, jadi sudah tentulah akan timbul syak wasangka dan ini tidak manis dan tidak wajar berlaku kerana jika kita buat sesuatu kerja, kita tidak akan mahu menimbulkan buruk sangka dalam kalangan rakyat.

    “Sekiranya kerajaan menganjurkan rumah terbuka itu bertujuan berkempen bagi PRN, Perikatan Nasional (PN) juga boleh melakukan tindakan sama bagi memastikan kemenangan di negeri berkenaan,” katanya.

    Beliau menyatakannya ketika diminta mengulas keputusan kerajaan pusat mengadakan majlis berkenaan di enam negeri bermula pada Sabtu ini di Kedah dan dijangka berakhir pada 14 Mei di Selangor.

    Selain itu, majlis sama turut dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

    Mengulas lanjut, Shahidan berkata, pihaknya tidak pasti niat sebenar kerajaan yang menganjurkan majlis berkenaan di negeri berkenaan.

    “Saya tak pasti apa niat mereka (kerajaan) melalui penganjuran rumah terbuka ini dan pastinya ia akan menimbulkan syak wasangka.

    “Jika tujuannya ikhlas bagi menyambut Aidilfitri, maka baguslah tapi kalau ia untuk berkempen maka kita pun akan lawan.

    “Rakyat sedang marah dan mereka juga tertanya-tanya adakah penganjuran rumah terbuka ini untuk tujuan kempen atau sebaliknya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Beliau berkata, sekiranya majlis itu tetap diteruskan, parti diwakili kerajaan bakal berdepan kekalahan teruk susulan penolakan rakyat dalam PRN nanti.

    Sementara itu, walaupun tiada peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen dari blok pembangkang di Parlimen, Shahidan tetap meneruskan penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri seperti biasa sama seperti tahun sebelum ini.

    Malah, penganjuran Majlis Rumah Terbuka Bersama Ahli Parlimen Arau itu sudah menjadi tradisi sejak 1986.

    Selain rakyat setempat, beberapa pemimpin utama PN juga turut dijemput hadir bagi memeriahkan lagi penganjuran rumah terbuka itu yang dijadual berlangsung pada hari ini dari jam 10 pagi hingga 2 petang nanti.

  • Shahidan beri bayangan sertai PRN, enggan dedah DUN mana

    Shahidan beri bayangan sertai PRN, enggan dedah DUN mana

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi bayangan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini.

    Tokoh politik berusia 71 tahun itu bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandinginya sekiranya dipilih meskipun terdapat desas-desus politik bahawa beliau dijangka akan ‘turun’ bertanding di DUN Semenyih, Selangor.

    “Kalau (pucuk pimpinan) Perikatan Nasional (PN) memerlukan saya bertanding, saya akan lawan tetapi PN mesti kuasai semua negeri ini (Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) dan jika sumbangan saya dapat mewujudkan gelombang yang ‘dahsyat’ apa salahnya.

    “Namun begitu, sekiranya saya bertanding pun, bukan niat saya hendak pegang jawatan tetapi niat hendak pastikan PN menang, terus terang saya katakan bahawa, saya tak perlu berebut jawatan dengan siapa kerana satu ketika, saya sendiri pernah menjadi pemimpin besar,” katanya ketika ditemui semasa melakukan pemeriksaan persiapan Majlis Rumah Terbuka Bersama Ahli Parlimen Arau Bersama Perpaduan Ummah Malaysia di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau, Kubang Gajah, di sini, hari ini.

    Pada masa sama, katanya, terdapat juga sokongan ahli politik berpengaruh seperti bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat UMNO sangat diperlukan pihaknya dalam memberi moral kepada kemenangan PN kelak.

    “Yang penting saya sendiri akan menggalakkan Noh atau KJ atau sesiapa sahaja bukan untuk bertanding tetapi menyokong kami (PN) terlebih dahulu kerana saya akan ajak mereka sama.

    “Dari dahulu mereka kata nak bersama saya tetapi atas sebab tertentu mereka tidak dapat bersama, malah KJ pun pernah bertanding di Selangor namun sekiranya mereka hendak bertanding juga, terpulang tetapi harus pastikan PN tetap terbaik pada akhirnya,” katanya lapor Berita Harian.

    Sekiranya Shahidan bertanding pada PRN nanti, ia adalah percubaan pertama bekas Menteri Besar Perlis untuk bertanding di luar Perlis selepas pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Perlis selama empat penggal bermula dari 1995 sehingga 2008.

    Untuk rekod bagi Parlimen pula, Shahidan yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan menjadi Ahli Parlimen Arau sejak 1986 dengan memenanginya bersama dengan Barisan Nasional (BN) sebelum mengubah haluannya bersama PN pada PRU lalu.

  • MP PN persoal MB Kedah dihalang hadiri LIMA ’23

    MP PN persoal MB Kedah dihalang hadiri LIMA ’23

    TINDAKAN menghalang Menteri Besar Kedah daripada menghadiri sebarang program anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) di Langkawi dibangkitkan seorang Ahli Parlimen Pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ia dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dengan mengemukakan Peraturan Dewan selepas sesi soal jawab.

    Menurut beliau, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan program tersebut dijadualkan akan diadakan di Langkawi, Kedah, Mei hadapan.

    “Oleh itu, saya membangkitkan perkara tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan perlu disegerakan,” katanya bangun membangkitkan Peraturan Dewan, lapor Harakahdaily.

    Bagaimanapun, Speaker Datuk Johari Abdul, meminta Shahidan mengemukakan usul tersebut secara bertulis bagi membolehkan beliau membuat pertimbangan.

    Katanya, sehingga sekarang beliau belum lagi menerima usul tersebut daripada Arau.

    “Saya mengangap berita mengenainya belum pasti hitam putih kerana sekadar dilapor media,” katanya.

    Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendedahkan beliau dihalang menghadiri program LIMA `23 di Langkawi.

    Selain itu, katanya kebenaran mengadakan program Iftar Bersama Anak-Anak Kedah di perantauan bersama Menteri Besar yang dijadualkan pada 9 April ini di Dewan A, MAEPS Serdang, ditarik balik oleh pihak tertentu.

    Sedangkan menurutnya sebelum itu kelulusan penggunaan dewan tersebut sudah diberi kepada kerajaan Kedah.

  • Shahidan bidas lantikan politik kerajaan PH-BN boleh pula

    Shahidan bidas lantikan politik kerajaan PH-BN boleh pula

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menyindir Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dengan mendakwa PH yang sebelum ini menentang rasuah tetapi, kini sudah berjinak-jinak dengan jenayah itu.

    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dalam perbahasan di Dewan Rakyat, juga membangkitkan persoalan mengenai pelantikan beberapa pemimpin politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Pada 14 December 2022, Jemaah Menteri kerajaan PH-BN memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik ditamatkan perkhidmatan mereka.

    “Pada 10 March 2023, bekas Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi Mara yang baharu. Asyraf Wajdi kawan baik saya, saya memang menyokong pelantikannya.

    “Tetapi masalahnya PH kena isytiharkan kepentingan mereka bahawa pelantikan politik sekarang ini boleh buat pula.

    “Dulu mereka kata tidak mahu pelantikan politik tetapi sekarang sudah mahu pula. Jadi saya minta diubah. Berubahlah. Kami terimalah sebab kerajaan selalu berubah-ubah diri mereka. Dulu menentang rasuah, sekarang nampak macam berjinak-jinak pula,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Shahidan berkata, kerajaan yang diterajui PH perlu mengubah pendirian dan akui lantikan politik boleh dibuat dalam kalangan pemimpinnya.

    “Saya cuma minta kerajaan PH yang disokong oleh BN dan juga UMNO ini supaya ubah pendirian mereka bahawa pelantikan politik boleh dibuat dan lantik dalam kalangan Backbenchers ini yang tiada jawatan seperti Rara (Ahli Parlimen Bentong) semua ini lantiklah sebagai pengerusi,” jelasnya.

  • ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    ‘Bagi PN jadi Ketua Pembangkang Selangor’, Shahidan beritahu UMNO

    UMNO diminta melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kedudukan itu.

    Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) secara berseloroh membuat cadangan itu berkata, UMNO merupakan sebahagian Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan lagi pembangkang di negeri itu.

    “Saya dengar cerita di Selangor, UMNO ada lima kerusi, PN ada tujuh kerusi tetapi Ketua Pembangkang tidak mahu berhenti sebab dia ingat UMNO masih pembangkang, padahal UMNO sekarang (kerjasama) PH.

    “Dia kena berhenti dan bagi PN yang jadi Ketua Pembangkang di Selangor. Orang Selangor walau macam mana pun cari sesuatu yang lebih menarik, sokong PN dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang sebab UMNO nampaknya walaupun dah kalah, tidak mahu berhenti jadi Ketua Pembangkang,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan sesi penggulungan Kementerian Belia dan Sukan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Media melaporkan, kerajaan negeri Selangor belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail sebagai ketua pembangkang negeri itu setakat ini.

    Perkara itu disahkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim ketika mengulas usul dibangkitkan ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung lantikan Ketua Pembangkang DUN Selangor yang baharu susulan Rizam daripada Barisan Nasional kini menjadi sebahagian kerajaan negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Sementara itu mengenai atlet yang dihantar menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, Shahidan yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk membiayai pasukan kedua atau B tanpa perlu membebankan persatuan.

    “Apabila kita menghantar pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, ada pasukan A yang kerajaan bayar dan pasukan B dibayar oleh persatuan.

    “Ini tidak bagus, tidak boleh berterusan. Atlet perlu diberi pendedahan dan ada potensi, mereka dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik yang pilih.

    “Kita juga kena bayar jurulatih terlibat, jadi saya merayu kepada Yang Berhormat Menteri (Belia dan Sukan), supaya pasukan B kalau tidak dibiayai sepenuhnya tidak apa, sekurang-kurangnya dibayar separuh dan jurulatih dibayar 100 peratus oleh MSN,” ujarnya.

  • Isu surat RoS: Shahidan mahu bawa usul tergempar ke Dewan Rakyat

    Isu surat RoS: Shahidan mahu bawa usul tergempar ke Dewan Rakyat

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat, esok berhubung kewujudan surat yang dikatakan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai pemilihan UMNO.

    Memetik laporan Berita Harian, Shahidan (PN-Arau) berkata, usul tergempar itu akan dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan mengenai ketulenan surat berkenaan.

    Menurut bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu usul tergempar itu juga menuntut KDN menjelaskan mengenai pengecualian yang diberikan kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

    “Insya-Allah saya akan bawa (usul tergempar). Perkara ini harus dibawa dalam Parlimen… saya rasa ia wajar untuk saya bawa mengikut Perkara 18(1) untuk usul ini disegerakan.

    “Kita nak supaya rakyat memahami dengan betul-betul tujuan menteri berbuat demikian (memberi pengecualian kepada UMNO).

    “Usul ini akan dibawa secara tergempar kerana ia membabitkan kepentingan awam, dan atas dasar apa pengecualian diberikan. Kami juga nak penjelasan, adakah surat ini benar dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

    Sebelum itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendedahkan wujud surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO, menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sebagai tidak sah.

    Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen PN itu mendakwa RoS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

    Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

    Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

    Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

    Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang dikatakan dipetik dalam surat RoS yang dibacakan Takiyuddin, memperuntukkan semua jawatan tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, perlu dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

  • Dewan Rakyat gamat kerana kenyataan ‘perangai macam kera’

    Dewan Rakyat gamat kerana kenyataan ‘perangai macam kera’

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas perang mulut tercetus antara Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung kenyataan ‘perangai macam kera’.

    Kekecohan itu berlaku ketika Shahidan mengakhiri perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 dan berkata: “Saya kesal dengan Hulu Langat yang perangai lebih teruk daripada kera di hutan,” katanya merujuk Sany yang kerap mengganggu perbahasannya.

    Lapor Malaysiakini, Ahli Parlimen Amanah itu yang tidak berpuas hati kemudiannya meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengarahkan Shahidan menarik balik kenyataannya itu.

    “Sepatutnya orang lama bagi contoh, bagi contoh (yang baik), minta tarik balik perkataan itu, sepatutnya Arau bagi contoh kepada kami yang baharu ini,” katanya.

    Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) tampil mempertahankan Shahidan dengan berkata, sikap Sany yang sebenarnya menimbulkan masalah.

    Kedua-duanya terus berbalah dengan Misbahul berulang kali meminta Sany mengubah perangainya.

    Melihatkan keadaan tidak terkawal, Johari masuk campur dan bertanyakan Shahidan adakah beliau menggelar Sany “kera”.

    “Tidak. Saya hanya cakap jangan berperangai seperti kera di hutan. Ini dibenarkan (di Parlimen),” kata Shahidan.

    Johari bagaimanapun tidak mengambil tindakan lanjut dan sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) membahaskan belanjawan itu.

  • Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang – Shahidan

    Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang – Shahidan

    AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tidak layak memberi penjelasan berhubung isu peruntukan kerajaan yang didakwa tidak diterima oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

    Tegas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim, penjelasan sebaiknya perlu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau juga mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah memperoleh peruntukan, sebaliknya tidak bagi Ahli Parlimen pembangkang.

    “Saya mendapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan. Tetapi hingga ke hari ini, tiada peruntukan diterima oleh pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    “Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan dari YAB Perdana Menteri. Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Beliau turut meminta supaya peruntukan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen kerajaan turut diterima Ahli Parlimen pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.

    “Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya lapor BH.

    Mohd Sany semalam mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan isu peruntukan itu, dengan mendakwa Ahli Parlimen Arau itu cuba ‘memancing’ dan menekan Kerajaan Perpaduan supaya mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil Kerajaan menerusi Belanjawan 2023.

    Beliau juga menyifatkan tuduhan Shahidan itu bersifat melulu dan berniat jahat, sambil mengucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu.