Tag: shah alam

  • Ketua UMNO Bahagian Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

    Ketua UMNO Bahagian Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

    KETUA UMNO Bahagian Shah Alam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan peruntukan program korban dan anak yatim berjumlah RM440,000 dan menggunakan dokumen palsu.

    Datuk Azhari Shaari, 53, didakwa atas  tiga pertuduhan iaitu sebagai penandatangan tunggal akaun bank bagi Persatuan Belia Kampung Kuantan Timur,  Persatuan Belia Bersatu Teguh Shah Alam dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Utara secara tidak jujur menyalahgunakan dana bagi program ibadah korban dan sumbangan pakaian sekolah anak yatim masing-masing sebanyak RM120,000; RM120,000 dan RM200,000.

    Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah cawangan bank di Pelabuhan Klang, Klang pada 8 dan 27 Sept 2017.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan serta maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Azhari juga didakwa atas  tiga pertuduhan menggunakan tiga minit mesyuarat agung tahunan pada 2009 daripada persatuan-persatuan sama sebagai tulen, yang tertuduh ketahui ia adalah dokumen palsu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sama pada 19 Mei 2010 dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin bagi keenam-enam pertuduhan serta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Azhari yang diwakili peguam S. Ashok Kandiah memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga selain kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Lelaki bertelekung curi barang jemaah wanita ketika solat dicekup

    Lelaki bertelekung curi barang jemaah wanita ketika solat dicekup

    SEORANG lelaki yang tular mengenakan telekung sebelum mencuri barang jemaah wanita ketika solat di masjid sekitar Seksyen 18, di Shah Alam diberkas polis, tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, tangkapan ke atas suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu susulan laporan dibuat oleh mangsa.

    Katanya, polis menerima dua laporan polis mengenai kes kecurian barangan milik jemaah wanita ketika menunaikan solat di masjid sekitar kawasan Seksyen 18, pada 20 Disember lalu.

    “Kejadian pertama dilaporkan pada 3.41 petang oleh seorang wanita berusia 60 tahun yang menunaikan solat subuh di Masjid Al-Azahariah, Seksyen 18, Shah Alam.

    “Sementara, kes kedua dilaporkan pada 10.47 malam oleh wanita berusia 58 tahun yang menunaikan solat isyak di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18. Kerugian bagi kedua-dua kejadian dianggarkan RM3,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua tempat kejadian mendapati suspek adalah individu sama.

    Katanya, suspek menggunakan modus operandi sama iaitu memakai telekung masuk ke ruangan jemaah wanita seterusnya mengambil barang berharga milik jemaah yang sedang solat.

    “Kira-kira 12.05 tengah malam (23 Disember) polis berjaya menangkap suspek yang berasal dari Padang Jawa di kawasan Seksyen 18.

    “Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui dan merampas dua buah telefon bimbit yang dicuri semasa kejadian. Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Katanya, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kes penyalahgunaan dadah dan empat rekod kes jenayah.

    “Suspek ditahan reman selama empat hari dari bermula hari ini sehingga 26 Disember untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Polis tahan tiga warga Bangladesh keluarkan permit kerja palsu

    Polis tahan tiga warga Bangladesh keluarkan permit kerja palsu

    POLIS menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh di sekitar Shah Alam kerana disyaki mengeluar dan menjual permit kerja palsu kepada rakan senegara sejak Oktober lepas. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata penahanan dua suspek pertama berumur lingkungan 20 dan 30 tahun dibuat menerusi satu serbuan pada 7.30 malam di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini pada Selasa lepas.

    Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tinggal di Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lepas dan bekerja di sekitar kawasan industri di Hicom Glenmarie serta didapati mula aktif menjalankan kegiatan memalsukan dan menjual permit palsu itu sejak Oktober. 

    “Suspek menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit palsu kepada warganegara asing dengan menawarkan harga yang lebih murah dan cepat dengan harga setiap permit dianggarkan sebanyak RM200 dan kebanyakannya dibeli oleh warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Iqbal berkata hasil penahanan suspek, pihak polis berjaya merampas beberapa peralatan iaitu sebuah komputer riba, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan empat telefon bimbit.

    Katanya, susulan penangkapan dua suspek terbabit, seorang lagi suspek warga Bangladesh berumur 30-an telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam malam tadi dan dipercayai terlibat dalam kes terbabit. 

    Beliau berkata dua suspek pertama telah direman hingga 3 Dis manakala suspek ketiga akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

    Ketua Polis Shah Alam, permit kerja, Bangladesh

  • Dr Afif mahu bawa kejayaan tangani banjir di Seberang Jaya ke Shah Alam

    Dr Afif mahu bawa kejayaan tangani banjir di Seberang Jaya ke Shah Alam

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Shah Alam, Dr. Afif Bahardin mahu dinding pemisah antara agensi-agensi kerajaan dan rakyat perlu diruntuhkan supaya segala permasalahan dapat diselesaikan secara bersama.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya selama dua penggal itu berkata, setiap agensi kerajaan tidak boleh bekerja dalam kepompong sendiri dan harus saling melengkapi supaya masalah ditangani dengan cekap.

    Menurutnya, apabila bercakap tentang Shah Alam, masalahnya tidak lain ialah bekalan air dan banjir.

    “Sepanjang 10 tahun saya berkhidmat di sana, saya telah bekerja dengan semua agensi untuk mencari solusi bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan saya antaranya di Permatang Rawa dan Seberang Jaya.

    “Ia bukan soal peruntukan atau projek, tetapi setiap agensi baik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kerajaan negeri dan Persekutuan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), NGO, pihak swasta serta masyarakat perlu duduk sekali bincang bagaimana kita mencari solusi,” katanya.

    Bercakap dalam program Agenda AWANI Khas Malaysia Memilih pada Sabtu, Dr. Afif memaklumkan bahawa pihaknya sudah mula berjumpa dengan JPS dan dimaklumkan tentang beberapa fasa perancangan naik taraf Sungai Damansara dan penyelesaian banjir di Sri Muda dan Kota Raja.

    Namun kata beliau, walaupun sudah ada peruntukan untuk projek-projek tersebut dilaksanakan, perlunya komiten kerajaan dan beliau akan memastikan bajet itu benar-benar disalurkan untuk projek tersebut.

    Pada masa sama, Dr. Afif juga mahu memberi tumpuan untuk menjadikan Shah Alam bandar yang kalis masa depan, yang diumumkan dalam manifestonya untuk dinilai pengundi kawasan ini.

    “Jadi ini memerlukan kerjasama semua pihak, sebab itu tema yang saya bawa ini sebenarnya adalah inklusiviti.

    “Saya nak ajak semua warga Shah Alam berhubung dengan saya, jadikan saya sebagai platform untuk saya berhubung dengan agensi dan kerajaan untuk kita dapatkan maklumat, peruntukan dan penyelesaian bagi masalah-masalah yang dihadapi warga Shah Alam,” katanya lpaor Astro Awani.

  • Pandu lawan arus: Pegawai pemasaran didakwa bunuh 2 remaja

    Pandu lawan arus: Pegawai pemasaran didakwa bunuh 2 remaja

    SEORANG pegawai pemasaran syarikat swasta yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh.

    K. Devaaswin, 24, didakwa membunuh Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, di Kilometer (KM) 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur, di Shah Alam pada 1.20 pagi, 12 Sept lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Okt untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala Devaaswin diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R. Thanuja.

    Media sebelum ini melaporkan dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan dekat sini.- BERNAMA