Tag: Shafee Abdullah

  • Kenyataan Shafee di mahkamah ‘salah’ – Zaid

    Kenyataan Shafee di mahkamah ‘salah’ – Zaid

    FIRMA guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan mempertikaikan kenyataan dibuat bekas peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika prosiding pada Isnin lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, surat itu menyifatkan kenyataan Shafee bahawa beliau melepaskan diri daripada mewakili Najib dalam rayuan SRC International disebabkan rasa tidak puas hati dengan pasukan pembelaan Zaid sebagai salah.

    Menurut surat itu, Najib sebenarnya telah melepaskan Shafee daripada mewakilinya.

    “Kami mengetahui perkara ini, kerana apabila diarahkan mengambil alih pengendalian perkara itu, kami dipanjangkan satu salinan surat daripada perayu (Najib kepada Shafee) bertarikh 25 Julai 2022 yang melepaskan Shafee dan firma guamannya dengan beberapa alasan diberikan untuk pelepasan,” menurut surat itu yang ditandatangani bersama oleh peguam Datuk Zaid Ibrahim dan Liew Teck Huat.

    Bagaimanapun, firma Zaid tidak dapat mendedahkan kandungan surat berkenaan mahupun menyatakan alasan keputusan Najib itu disebabkan perlindungan keistimewaan profesional undang-undang.

    “Kami harus menambah bahawa Shafee sedar bahawa beliau telah dilepaskan daripada bertindak bagi pihak (Najib) pada 25 Julai memandangkan firma guaman beliau sendiri telah menulis surat kepada mahkamah pada pagi 26 Julai dengan memberi satu notis rasmi bahawa beliau dan firma guamannya telah dilepskan,” menurut surat itu.

    “Fakta bahawa Shafee dengan sengaja menyatakan satu kenyataan tidak benar dalam Mahkamah Terbuka (atas apa jua sebab pun), dengan hormatnya, tidak boleh dibiarkan tanpa pembetulan,” kata Zaid dan Liew dalam surat itu.

    Mereka berkata, sebagai pegawai mahkamah, mereka bertanggungjawab menarik perhatian mahkamah terhadap perkara itu.

    Selepas pendakwaan selesai berhujah Jumaat lepas, rayuan Najib dijadualkan bersambung pada Selasa.

    Bagaimanapun, pada lewat Isnin, peguam bela utama Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan mahkamah bahawa Najib telah memfailkan permohonan supaya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuannya.

    Dalam permohonannya, Najib mendakwa wujud kemungkinan berat sebelah ekoran kenyataan suami hakim tersebut di media sosial empat tahun lepas.

    Ketika prosiding berlangsung pada Selasa, Shafee hadir dan memaklumkan mahkamah beliau telah dilantik semula oleh Najib untuk menghujahkan permohonan supaya Tun Tengku Maimun menarik diri.

    Mahkamah terus mendengar permohonan itu sebelum menolaknya. Mahkamah kemudian mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 dan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas

    Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

    Tengku Maimun turut bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Mohamad Zabidin Diah.

  • Mahkamah benarkan rayuan Shafee saman fitnah terhadap Majlis Peguam

    Mahkamah benarkan rayuan Shafee saman fitnah terhadap Majlis Peguam

    MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya hari ini membenarkan rayuan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung saman fitnahnya terhadap Majlis Peguam dan dua lagi berhubung peranannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Dua lagi responden ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C. George.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli juga mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi terhadap Majlis Peguam selaku responden ketiga.

    Hakim Abdul Rahman ketika membacakan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah tidak membuat perintah yang sama terhadap Thomas dan George, kerana responden pertama dan kedua mereka bukan badan berkanun yang terikat dengan Seksyen 99(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976.

    Beliau berkata rayuan itu hanya berkaitan dengan persoalan sama ada responden bertanggungjawab dalam tort pelanggaran kewajipan statutori dan bukan untuk sebab-sebab lain tindakan, iaitu fitnah dan konspirasi untuk memfitnah.

    “Rayuan ini juga tidak berkaitan dengan pertanyaan sama ada perayu (Muhammad Shafee) telah atau tidak bersalah atas salah laku. Ia adalah perkara yang perlu ditentukan oleh Lembaga Disiplin dalam prosiding tatatertib yang sedang berjalan terhadap perayu.

    “Seksyen 99(1) LPA (Akta Profesion Undang-Undang) mensyaratkan sebarang aduan mengenai kelakuan peguam bela dan peguam cara harus dibuat secara bertulis dan dirujuk kepada Lembaga Disiplin.

    “Dengan melanggar syarat undang-undang ini, Thomas dan George telah menggerakkan Majlis Peguam di bawah Seksyen 64(6) LPA untuk mendapatkan kelulusan mengutuk perayu ‘dengan tegas’ kerana melanggar disiplin,” katanya dalam keputusan yang disampaikan secara maya melalui Zoom.

    Hakim Abdul Rahman berkata Majlis Peguam telah melakukan pelanggaran undang-undang yang lebih serius apabila menerbitkan usul itu di laman webnya dan membentangkannya untuk diselesaikan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

    “Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi sangat tidak adil dan memudaratkan perayu kerana ini merupakan prasangka terhadap kesalahannya sebelum prosiding tatatertib di hadapan Lembaga Disiplin,” katanya.

    Hakim Abdul Rahman berkata untuk membenarkan ahli Majlis Peguam membuat aduan salah laku melalui usul di bawah Seksyen 64(6) LPA adalah menjadikan Seksyen 99(1) sama sekali tidak mempunyai makna, untuk itu setiap aduan mengenai tingkah laku peguam bela dan peguam cara hanya boleh dibuat kepada Majlis Peguam, dan akan diputuskan secara ringkas dari dewan tanpa perlu merujuk aduan itu kepada Lembaga Disiplin.

    “Ini bukan sesuatu yang akan dikira oleh mahkamah ini kerana ia merupakan pelanggaran undang-undang yang jelas di bawah Majlis Peguam sebagai penjaga LPA. Dalam konteks kes sekarang, badan yang diamanahkan oleh undang-undang untuk menguruskan semua perkara berhubung kelakuan peguam bela dan peguam cara adalah Lembaga Disiplin dan bukan Majlis Peguam.

    “Majlis Peguam tidak mempunyai urusan hakikat dan undang-undang untuk menangani sebarang aduan salah laku oleh peguam bela dan peguam cara, sama ada melalui usul di bawah Seksyen 64(6) atau dengan cara lain,” katanya.

    Hakim Abdul Rahman juga berkata kuasa untuk mendisiplinkan peguam bela dan peguam cara diberikan oleh Lembaga Disiplin dan kuasa ini perlu dilaksanakan oleh Lembaga berdasarkan peraturan yang relevan.

    “Majlis Peguam tahu dengan tepat apakah prosedur yang betul dalam menangani salah laku oleh ahli-ahlinya. Oleh itu ia tidak bertindak dengan baik dalam kes ini dalam membenarkan usul yang dikemukakan oleh Thomas dan George dibentangkan dan diputuskan dari Dewan, sebaliknya merujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan Lembaga,” katanya.

    Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Porres Royan dan Lambert Rasa-Ratnam, masing-masing mewakili Thomas, George dan Majlis Peguam manakala Muhammad Shafee mewakili dirinya sendiri. 

    Pada 19 Ogos 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

    Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan Muhammad Shafee terhadap responden. Mahkamah Rayuan pada 11 Okt 2018, menolak rayuan Muhammad Shafee dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

    Muhammad Shafee yang memfailkan saman itu pada Mac 2015, mendakwa pada 28 Februari 2015, Thomas yang disokong oleh George telah menerbitkan dan menyerahkan usul untuk dibincangkan di AGM Majlis Peguam pada 14 Mac 2015.

    Usul itu berhubung peranan Muhammad Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan, mendakwa beliau (Muhammad Shafee) telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

    Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

    Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan terhadap Anwar dalam kes liwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, namun Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

    Dalam permohonannya, Muhammad Shafee antara lain memohon pengisytiharan bahawa usul itu mala fide kerana tujuan usul semata-mata untuk memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul itu. – BERNAMA

  • Bicara Shafee tangguh, peguam hadiri pengebumian

    Bicara Shafee tangguh, peguam hadiri pengebumian

    PERBICARAAN kes peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditangguhkan ke 26 Okt ini kerana peguam utamanya, Harvinderjit Singh menghadiri pengebumian.

    Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Harvinderjit menghadiri upacara pengebumian pengajarnya sebelum beliau diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.

    “Pihak-pihak telah bersetuju untuk menggantikan tarikh perbicaraan pada hari ini kepada 26 dan 27 Okt depan.

    “Pihak pembelaan juga memohon agar tarikh perbicaraan pada November ini dilapangkan kerana Muhammad Shafee terikat dengan kes lain,” kata peguam itu pada prosiding perbicaraan kes yang sepatutnya bersambung pada hari ini.

    Sarah berkata, perbicaraan selama empat hari adalah memadai memandangkan hanya tiga lagi saksi akan dipanggil dan mencadangkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 8 dan 10 Dis ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan itu.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan tarikh perbicaraan pada November dilapangkan dan menangguhkan perbicaraan pada hari ini selain menetapkan 26 Okt untuk sambung bicara.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

    Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram. – BERNAMA