Tag: Setiu

  • Pemandu lori didenda RM10,000 pindah kambing tanpa kebenaran

    Pemandu lori didenda RM10,000 pindah kambing tanpa kebenaran

    MAHKAMAH Majistret Setiu hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM10,000 terhadap seorang pemandu lori selepas mengaku bersalah memindah 62 ekor kambing bernilai RM28,470 tanpa kebenaran.

    Memetik laporan Harian Metro, Majistret Ainis Abu Hassan Shaari membuat keputusan itu selepas tertuduh, Abli Abdullah, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Selain itu, tertuduh turut berdepan hukuman penjara 20 bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

    Mahkamah turut memerintahkan 62 ekor kambing itu dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan menjadi hasil kerajaan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan 62 ekor kambing dengan menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa olehnya.

    Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Kota Bharu, Kuala Terengganu, Setiu pukul 11.15 malam pada 13 Oktober 2022.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Perenggan i (b).

    Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang mana diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Peniaga kaki lima maut terkena tayar treler tercabut

    Peniaga kaki lima maut terkena tayar treler tercabut

    SEORANG peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di Setiu, petang tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu, Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada.

    Tayar yang mengakibatkan peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di Setiu, petang tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, seorang lagi mangsa, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd Zainani, 22, pula patah tangan kanan, luka di bahagian muka dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

    Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari arah Merang ke Kampung Telaga Papan, Setiu di sini.

    “Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebiji tayar pada bahagian belakang sebelah kiri treler itu secara tiba-tiba tercabut dan terpelanting terkena dua individu yang sedang berniaga di kaki lima jalan.

    “Seorang mangsa (Muhamad Airiel Rizman) disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan di tempat kejadian, manakala seorang lagi dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Afandi berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu, manakala pemandu treler berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya