Tag: sesi persekolahan

  • Tiada kelas akademik minggu pertama sesi persekolahan

    Tiada kelas akademik minggu pertama sesi persekolahan

    TIADA kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 19 Mac dan 20 Mac ini, sebaliknya ia diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

    “Fokus hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik tetapi langkah yang diambil pada sesi 2023/2024 ini adalah melaksanakan pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah,” katanya dalam sidang media sempena amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024, di sini hari ini.

    Sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan A, manakala 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan B.

    Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B meliputi Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

    “Kalau dahulu fokus hari pertama terus mengajar subjek akademik tetapi kali ini kita minta sekolah merapatkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti. Semua ini akan bangkitkan satu semangat iaitu saling menyokong sudah diterjemah di awal persekolahan,” katanya.

    Pkharuddin berkata Pekeliling Bilangan 5 Tahun 2023 memberi panduan kepada sekolah-sekolah untuk mengadakan program atau aktiviti yang bersesuaian bagi menyediakan pelajar dari segi sosial dan mental.

    Katanya nilai-nilai jasmani, emosi, rohani dan sosial diutamakan dahulu bagi membentuk pelajar menjadi beradab, berakhlak dan berintegriti.

    Bagaimanapun, beliau berkata sekolah dengan bilangan pelajar tidak ramai dan telah selesai melaksanakan aktiviti tersebut boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran.

    Pkharuddin dalam pada itu berkata sebarang bentuk pertandingan, sambutan, majlis yang tidak memberi impak besar dimansuhkan mulai sesi persekolahan 2023/2024 sebagai inisiatif segera menangani isu beban tugas guru.

    Kekerapan semakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) pula dikurangkan kepada setahun sekali mulai sesi persekolahan ini, berbanding sekurang-kurangnya dua tahun sekali sebelum ini, katanya.

    Beliau berkata sambutan Hari Guru juga dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, berbanding sebelum ini membabitkan peringkat negeri dan daerah, katanya.

    Para pendidik juga diberikan autonomi dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bilik darjah dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan, katanya.

    Bagi menangani isu beg berat, Pkharuddin berkata antara usaha dilaksanakan bagi sesi ini ialah penyediaan lokar, penggunaan buku aktiviti yang disediakan kementerian dan penggunaan buku kerja hanya sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu kelas.

    Selain itu, buku latihan dihadkan pada dua buah untuk setiap mata pelajaran pada satu-satu masa serta tidak melebihi 80 muka surat, katanya. – BERNAMA

  • ‘Datang sekolah asalkan berbaju walaupun bukan pakaian seragam’ – Fadhlina

    ‘Datang sekolah asalkan berbaju walaupun bukan pakaian seragam’ – Fadhlina

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada murid dan pelajar yang kurang mampu untuk hadir pada sesi persekolahan baharu tidak lama lagi tanpa memakai pakaian seragam sekolah.

    Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberikan sebagai langkah memudahkan ibu bapa terutama mereka terkesan akibat banjir.

    “Dalam konteks di Johor misalnya, kita (KPM) beri ruang kepada mereka ini supaya datang ke sekolah walaupun tanpa memakai pakaian seragam.

    “Yang penting asalkan berbaju, sebab kita tak nak beban hanya soal baju (seragam) itu, mereka dinafikan daripada pendidikan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau menyatakannya selepas merasmikan Seminar Membangunkan Malaysia Madani Sektor Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Bandar Estek di Nilai, hari ini.

    Fadhlina berkata, berhubung rungutan pakaian kokurikulum atau badan beruniform, kementerian juga bersetuju supaya memakai t-shirt yang menggambarkan sekolah mereka jika ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan seragam itu.

    “Atau pakaian baju sukan yang sesuai untuk hadir ke sekolah dan mengikuti semua program sekolah, jadi timbul soal kita berkeras dalam soal pakaian seragam, tapi kita bagi ruang

    “Kita bersikap bertolak ansur dalam perkara ini sesuai dengan keadaan kerana sedar dengan kos penyediaan yang tinggi selain masalah banjir yang sebahagian tempat belum pulih sepenuhnya,” katanya.

    Mengulas mengenai penempatan guru pada sesi persekolahan akan datang, Fadhlina berkata, KPM sedang memberikan tumpuan terhadap perkara berkenaan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat sebaik mendapat keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

    “Penempatan guru akan diumumkan secepat mungkin. Harus difahami bahawa pengambilan guru dibuat secara berfasa dan tiada tempoh tertentu di mana setiap kekosongan akan diisi,” katanya.

  • Sesi persekolahan penggal 3 bermula 1 Januari – Fadhlina

    Sesi persekolahan penggal 3 bermula 1 Januari – Fadhlina

    KALENDAR Akademik Penggal 3 Sesi 2022-2023 akan bermula pada 1 Januari 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A.

    Bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan B pula akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari 2023.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi kenyataan di akaun media sosial beliau.

    Fadhlina Sidek

    “Kalendar Akademik Penggal 3 Sesi 2022-2023 akan bermula pada 1 Jan 2023 bagi sekolah-sekolah dalam Kumpulan A.

    “Manakala sekolah-sekolah dalam Kumpulan B akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Januari 2023.

    “Saya ucapkan selamat kembali ke sekolah tidak lama lagi,” katanya hari ini.

    Berdasarkan infografik yang dikongsi, Kumpulan A adalah sekolah-sekolah yang berada di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Bagi kumpulan B, sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Sementara itu berdasarkan infografik berkenaan, cuti persekolahan bagi sekolah dalam kumpulan A bermula pada 17 Februari hingga 18 Mac 2023.

    Cuti persekolahan bagi sekolah dalam kumpulan B pula bermula pada 18 Februari hingga 19 Mac 2023.