Tag: sesat

  • Kongsi lokasi di WhatsApp, 3 pendaki sesat ditemui selamat

    Kongsi lokasi di WhatsApp, 3 pendaki sesat ditemui selamat

    DUA lelaki dan seorang wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Panti di sini semalam, ditemukan selamat selepas memaklumkan lokasi mereka melalui aplikasi WhatsApp, malam tadi. 

    Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syukri Mohd Yusoff berkata kesemua mangsa Gan Chen Yang, 23, Yong Chin Cheng, 25, dan Wong Zao Yi (wanita), 22, ditemukan kira-kira pukul 10 malam, 300 meter dari ‘check point’ kedua gunung berkenaan, sebelum dibawa turun pasukan keselamatan itu. 

    “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan pencarian bersama bantuan agensi lain dengan kaedah mengesan lokasi yang telah diberikan oleh mangsa melalui aplikasi WhatsApp,” katanya. 

    “Kesemua mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini. 

    Terdahulu, laporan dibuat sendiri oleh mangsa yang memaklumkan menerusi telefon bahawa mereka tersesat ketika dalam perjalanan turun dari gunung tersebut, pada 4.53 petang. 

    Susulan itu, seramai 10 anggota PKO dihantar ke lokasi kejadian dan difahamkan mereka yang memulakan pendakian pada 7 pagi dan dipercayai sudah biasa dengan aktiviti tersebut, masih boleh dihubungi cuma tidak menemukan jalan keluar. – BERNAMA 

  • 3 termasuk warga Perancis dikhuatiri sesat semasa daki Gunung Berembun

    3 termasuk warga Perancis dikhuatiri sesat semasa daki Gunung Berembun

    Tiga individu termasuk dua wanita warga Perancis dikhuatiri sesat semasa mendaki Gunung Berembun yang terletak di Tanah Rata di Cameron Highlands.

    Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada mangsa pada pukul 4.56 petang tadi.

    “Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba menerima maklumat tiga individu tersebut telah tersesat semasa melakukan aktiviti itu di trek pendakian gunung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata ketika ini, pasukan bomba sedang menaiki gunung tersebut menuju ke lokasi mangsa tersesat bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

    Katanya Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Multi-Skill Team (Must) juga diarahkan berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya diperlukan untuk dipanggil membantu operasi. – BERNAMA

  • Sesat cari air terjun, tujuh remaja ditemukan selamat – Bomba

    Sesat cari air terjun, tujuh remaja ditemukan selamat – Bomba

    TUJUH remaja lelaki yang sesat ketika beriadah di kawasan Jeram Bukit Hitam, Hulu Langat, dekat sini, dipercayai ingin mencari air terjun di kawasan itu, ditemukan selamat awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kesemua remaja berusia lingkungan 18 tahun itu beriadah di kawasan berkenaan sejak pagi semalam namun disebabkan hari mulai petang dan masih gagal menemukan air terjun mereka mengambil keputusan berpatah balik.

    Bagaimanapun, remaja berkenaan gagal menemukan jalan pulang hingga memaksa mereka menghubungi talian kecemasan.

    “Bomba menerima panggilan (mereka) 4.15 petang (semalam),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini dan menambah operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejurus menerima laporan tersebut.

    Katanya, operasi bagi mengesan lokasi remaja itu berkumpul agak sukar kerana terpaksa merintis laluan dalam keadaan gelap serta bentuk muka bumi yang berbukit.

    “Kesemua remaja itu dapat dihubungi melalui telefon dan ditemukan selamat 1.51 pagi, mereka (kemudian) dibawa keluar dari kawasan itu pada kira-kira 5.59 pagi tadi.

    “Kesemua remaja ini tidak mempunyai sebarang kecederaan dan mereka diserahkan kepada pihak polis (dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Norazam berkata operasi mencari remaja berkenaan dilakukan 28 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn, Pasukan Pelbagai Kemahiran serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia.

    Beliau berkata operasi itu turut disertai Pasukan Bomba Sukarela , Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pasukan Penyelamat Bencana Malaysia.- BERNAMA