Tag: sesak

  • Lima superbike kemalangan, Lebuhraya KLK sesak lebih 8km

    Lima superbike kemalangan, Lebuhraya KLK sesak lebih 8km

    KEMALANGAN membabitkan lima motosikal berkuasa tinggi di Kilometer (KM) 26.5, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mengakibatkan aliran trafik menghala ibu negara perlahan lebih lapan kilometer (km).

    Menurut Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, laporan awal yang diterima pihaknya mengatakan kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.45 tengah hari yang menyebabkan lorong laju di lebuh raya terhalang.

    Katanya, setakat pukul 2.30 petang tadi, lorong laju masih ditutup.

    “Trafik kini agak perlahan sepanjang 8.5 kilometer dari KM35 (Genting Sempah-Gombak hingga ke lokasi kemalangan.

    “Justeru kita minta semua pengguna lebuh raya supaya bersabar dan berhati-hati ketika memandu selain mematuhi arahan petugas di tempat kejadian,” katanya, lapor Berita Harian.

    Terdahulu tular beberapa gambar dan rakaman video membabitkan kemalangan itu di media sosial.

    Difahamkan, kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa namun kelima-lima penunggang motosikal terbabit dilaporkan mengalami kecederaan parah.

    Bagaimanapun pihak media sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis berkaitan kemalangan itu.

  • Lebuh raya PLUS sesak 17 km kereta terbakar

    Lebuh raya PLUS sesak 17 km kereta terbakar

    LEBUH Raya Utara Selatan (PLUS) mengalami kesesakan sejauh 17 kilometer hari ini selepas sebuah kereta yang terbakar di Kilometer (KM) 259 Arah Selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.09 petang.

    Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dengan bantuan BBP Meru Raya dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja pemadaman api.

    “Kebakaran melibatkan kenderaan jenis BMW yang telah musnah terbakar 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa.

    “Pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan dua aliran air dari tangki jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Astro Awani.

    Menurutnya operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syed Azrul Hizam Syed Abdul Aziz itu tamat pada pukul 5.04 minit.

    Sementara itu PLUSTrafik menerusi hantaran di laman Twitter hari ini memaklumkan kejadian berkenaan mengakibatkan lorong kiri terpaksa ditutup dan menyebabkan kesesakkan lalu lintas sejauh 17 km.

  • PRU-15: Trafik lebuh raya utama negara mulai perlahan, sesak

    PRU-15: Trafik lebuh raya utama negara mulai perlahan, sesak

    ALIRAN trafik di lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan ekoran pertambahan bilangan kenderaan yang bergerak menuju ke destinasi pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

    Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan ketara petang tadi dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) hala utara iaitu dari Sungai Buloh ke Rawang iaitu sepanjang 10 kilometer (km), Tanjung Malim ke Behrang, Sungkai ke Bidor, Tapah ke Gopeng dan Juru Auto City ke Perai.

    Laluan menghala ke Pantai Timur pula dilaporkan sesak bermula dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah sejauh 19 km, Bukit Tinggi ke Lentang, dan keadaan trafik sama turut dilaporkan berlaku selepas Bentong Timur ke Karak.

    Laluan menghala ke selatan iaitu dari Nilai ke Bandar Ainsdale pula trafik dilaporkan perlahan kerana berlakunya kemalangan di KM 269.0, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak, Jalan Duta dan Sungai Besi menghala keluar dari ibu negara mendapati jumlah kenderaan semakin meningkat menyebabkan trafik bergerak perlahan.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter melalui www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1800-88-7752 serta laman Twitter www.twitter.com/llminfotrafik.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 Nov bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15. – BERNAMA

    aliran trafik, sesak, perlahan, PRU15, lebuh raya