Tag: seremban

  • Padah rempuh orang awam sedang minum, pemandu lori dicekup polis

    Padah rempuh orang awam sedang minum, pemandu lori dicekup polis

    TINDAKAN seorang pemandu lori yang dipercayai merempuh orang awam yang sedang minum di bahagian luar sebuah kedai makan di Taman Permai 3, Seremban membawa padah apabila dia diberkas polis semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pukul 8 malam.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu dan suspek mengaku sengaja mengundur lori dipandu dan cuba merempuh seorang penunggang motosikal di lokasi kejadian.

    “Kejadian itu bagaimanapun sempat dirakam dan tular di media sosial. Berdasarkan siasatan awal, tindakan itu berpunca pertengkaran kecil dan rasa tidak puas hati terhadap penunggang motosikal terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun Nanda berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

    “Saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif mengambil dadah. Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang juga pemandu lori diburu polis kerana cuba merempuh orang awam di lokasi kejadian.

    Menerusi rakaman tular di media sosial, suspek yang berada di dalam sebuah lori dilihat bertekak dengan pelanggan yang duduk di tepi jalan.

    Dia kemudiannya terus memandu lori itu namun berhenti dan mengundurkan semula kenderaan sehingga merempuh kerusi dan meja menyebabkan pelanggan terkejut.

  • Dua remaja maut motosikal rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    Dua remaja maut motosikal rempuh lori rosak di lorong kecemasan

    DUA remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 279.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Nilai malam tadi.

    Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata dalam kejadian 11.30 malam itu, penunggang dan pembonceng berusia 18 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

    “Insiden berlaku apabila tayar kanan bahagian belakang lori yang dipandu lelaki berusia awal 60-an dari Senawang menuju ke Puchong, Selangor, pecah di lokasi kejadian dan lori itu kemudian diparkir di lorong kecemasan dengan memasang tanda amaran segi tiga. 

    “Ketika berada di lorong tersebut, penunggang motosikal didakwa tidak sempat mengelak dan secara tiba-tiba merempuh bahagian kanan lori itu. Siasatan lanjut masih dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Insp Siti Syarah di talian 014-5144741 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Ketua Pemuda UMNO Seremban masuk Pas

    Ketua Pemuda UMNO Seremban masuk Pas

    KETUA Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin mengesahkan akan menyertai Pas hujung minggu ini.

    Beliau berkata, borang keahlian penyertaannya akan diserahkan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha Sabtu ini.

    “Kita juga akan membuka kaunter untuk siapa yang mahu jadi ahli Pas pada Sabtu nanti,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Ditanya adakah ia membabitkan keseluruhan jawatankuasa Pemuda bahagian itu, Zool berkata keseluruhan ahli yang keluar UMNO akan diumumkan pada sidang media di kediamannya di Seremban selepas sesi penyerahan borang keahlian berkenaan.

    Zool sebelum ini antara yang lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya menjadi punca orang Melayu hilang keyakinan terhadap parti itu.

    Sumber turut memaklumkan FMT, Zool telah dikeluarkan daripada kumpulan sembang WhatsApp “Ketua Pemuda Malaysia”.

    “Kami dah singkir dia (Zool) dari kumpulan (WhatsApp), dia keluar Umno sebab tak sokong presiden,” menurut sumber rapat dengan perkara itu.

    Berdasarkan jemputan yang dilihat FMT, Zool akan mengadakan penyerahan borang keahlian dan sidang media pada 5 petang Sabtu.

  • Banjir kilat di Seremban terburuk dalam tempoh 2 tahun

    Banjir kilat di Seremban terburuk dalam tempoh 2 tahun

    PENDUDUK Kampung Ismail di Seremban menyifatkan banjir kilat yang berlaku susulan hujan lebat dan ribut malam tadi antara yang terburuk dalam tempoh dua tahun apabila paras air mencecah kira-kira tiga meter hingga paras dada.

    Warga emas yang menetap hampir lima dekad di kampung tersebut, Rohaini Abdullah, 77, berkata, kawasan berkenaan sememangnya sering berlaku banjir namun kejadian kali ini tidak dijangka apabila air meningkat begitu pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

    “Ketika itu 7.30 malam, saya berada di dalam rumah dan tidak dengar bunyi hujan. Anak tiba-tiba bergegas ke arah saya dan memberitahu siren banjir telah dibunyikan dan apabila saya menjenguk ke luar rumah, saya dapati air telah mula naik.

    “Dua minggu lepas ada berlaku banjir tetapi air tidak masuk ke dalam rumah. Ini boleh dikira kali ketiga banjir terburuk berlaku dalam tempoh dua tahun ini selepas banjir Disember lepas, kerugian boleh cecah ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui Bernama di Seremban hari ini.

    Khairulnizam Ahmad, 47, pula berkata kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran Sungai Batang Pena menyebabkan lokasi tersebut lebih cepat dinaiki air berbanding kawasan lain.

    Beliau berkata anggota penyelamat termasuk bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang membantu namun mengalami sedikit kesukaran untuk memasuki kawasan banjir memandangkan banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan.

    Dalam pada itu, Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, hampir 300 rumah dikenal pasti terjejas akibat banjir itu antaranya di Kampung Ismail, Kampung Semarak, Kampung Pasir dan Kampung Dato Mansor. – BERNAMA

  • Rumah didiami 7 sekeluarga musnah dalam kebakaran

    Rumah didiami 7 sekeluarga musnah dalam kebakaran

    SEBUAH rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Temiang di Seremban awal pagi ini.

    Ketua Balai Bomba Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.06 pagi, dan sebaik tiba api didapati sedang marak memusnahkan rumah papan itu.

    Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada rumah berkenaan musnah akibat kebakaran, namun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa, kerana semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri.

    “Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah bengkel besi berkeluasan 40×80 kaki persegi di sebelah rumah berkenaan, dan api berjaya dikawal setengah jam kemudian,” katanya kepada Bernama.

    Difahamkan rumah itu didiami tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak. – BERNAMA

  • Mayat bayi ditemukan terapung dalam loji kumbahan di Seremban

    Mayat bayi ditemukan terapung dalam loji kumbahan di Seremban

    MAYAT seorang bayi lelaki ditemukan terapung di dalam sebuah loji kumbahan di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi cukup sifat itu daripada orang awam pada 10.38 pagi tadi yang ternampak satu objek dipercayai seorang bayi terapung di dalam loji berkenaan.

    “Hasil siasatan awal mendapati objek itu adalah mayat seorang bayi lelaki dengan anggaran kematian bayi tersebut lebih dari sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta menyalurkannya kepada polis.- BERNAMA