Tag: Serdang

  • Saluran paip berisi cecair kimia pecah, dua beradik melecur

    Saluran paip berisi cecair kimia pecah, dua beradik melecur

    DUA beradik melecur selepas terkena cecair kimia yang dipercayai digunakan jirannya bagi membersihkan saluran paip sinki tersumbat, dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam di sebuah apartment di Seri Kembangan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur teruk di kepala dan badan manakala adik perempuannya berusia tujuh tahun melecur di bahagian paha.

    Beliau berkata ibu kanak-kanak itu memberitahu terdengar bunyi letupan dan jeritan anak lelakinya yang berada di bahagian dapur dan mendapati dua anaknya terkena cecair dipercayai asid yang digunakan untuk membersihkan saluran paip sinki tingkat atas unit kediaman mereka.

    Anbalagan berkata siasatan awal mendapati pemilik rumah di tingkat atas kediaman  mereka menggunakan serbuk soda dengan memasukkannya ke dalam saluran paip sinkinya bagi membersihkan saluran paip yang tersumbat.

    “Seorang lelaki yang merupakan pemilik rumah di tingkat dua dirakam percakapan dan mengakui menggunakan serbuk soda (pembersih paip tersumbat) yang dibeli dalam talian berharga kira-kira RM50,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Anbalagan berkata kanak-kanak lelaki itu yang melecur tahap tiga di bahagian dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala adik perempuannya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – BERNAMA

  • Peras ugut pemilik salun kecantikan, tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

    Peras ugut pemilik salun kecantikan, tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

    TAKTIK licik tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memeras ugut pemilik premis salun kecantikan sekitar Lembah Klang, akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri, Puchong, Selangor pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata kesemua suspek berusia 38 hingga 48 tahun itu, ditahan pada jam 12 tengah hari, hasil risikan serta operasi yang dijalankan selama dua minggu.

    Dalam serbuan itu, katanya polis turut merampas baju dan topi yang tertera tulisan KKM serta beberapa peralatan selain produk kesihatan.

    “Siasatan awal mendapati kumpulan ini menjadikan salun kecantikan yang tidak mempunyai lesen daripada KKM, bagi menjalankan rawatan kecantikan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat berjadual sebagai mangsa.

    “Mereka akan mengugut untuk mengambil tindakan saman atau denda RM200,000 serta penjara kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan lesen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

    Anbalagan berkata pemilik premis yang ketakutan kebiasanya akan membuat bayaran kepada suspek bagi mengelak daripada dikenakan tindakan, malah ada yang sanggup membayar sehingga RM10,000.

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak September tahun lepas dan setakat ini siasatan mendapati lebih 20 premis telah menjadi mangsa, iaitu di sekitar kawasan Serdang, Petaling Jaya, Selayang, Shah Alam Bukit Jalil, Sentul dan Kuala Lumpur melibatkan kerugian RM42,000.

    Anbalagan berkata setakat ini, pihaknya menerima enam laporan polis dan menasihatkan mana-mana pemilik salun yang menjadi mangsa untuk untuk tampil membuat laporan, bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan.

    Beliau berkata dua daripada tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes curi serta pecah rumah dan kesemua mereka akan disambung reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 385 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Geng Harrier Putih aktif curi kenderaan lumpuh

    Geng Harrier Putih aktif curi kenderaan lumpuh

    TAKTIK empat lelaki yang menjadi penjual buah dengan bergerak sekitar Lembah Klang untuk memantau keadaan sebelum mencuri kenderaan akhirnya terbongkar, selepas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas. 

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata keempat-empat suspek berusia antara 41 dan 59 tahun, yang dikenali sebagai Geng Harrier Putih itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat kejadian curi kenderaan di tepi jalan Bandar Kinrara 3/1, Puchong, Selangor, pada hari sama tangkapan dibuat. 

    “Siasatan mendapati kesemua suspek berselindung sebalik pekerjaan mereka iaitu menjual buah menggunakan kenderaan seperti kereta dan van sekitar Lembah Klang untuk mencuri kenderaan yang diparkir di kawasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan perumahan. 

    Anggota polis menunjukkan peralatan untuk mencuri kenderaan yang berjaya dirampas selepas menahan suspek yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Harrier Putih’ ketika Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Geng ini akan menggunakan kereta jenis Harrier berwarna putih milik seorang daripada suspek untuk melakukan aktiviti curi kenderaan pada waktu pagi dengan menyasarkan pelbagai jenis kereta mengikut permintaan pembeli yang dipercayai dalam kalangan pemilik bengkel kenderaan di luar kawasan Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

    Siasatan lanjut mendapati setiap suspek memperoleh RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap kereta yang berjaya dicuri.

    Anbalagan berkata hasil semakan kesemua suspek dipercayai terbabit dalam 15 kes curi kenderaan yang direkodkan pada tahun ini di Serdang, Kajang, Brickfields, Cheras dan Subang Jaya dan tiga daripadanya mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan dan dadah.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan (kiri) menunjukkan sebahagian kenderaan yang berjaya dirampas selepas menahan suspek yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan yang dikenali sebagai ‘Geng Harrier Putih’ ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Polis kini sedang mengesan seorang lagi lelaki yang disyaki dalang dalam kes tersebut, dipercayai turut mempunyai kaitan keluarga dengan seorang daripada suspek yang ditahan,” katanya.

    Kesemua mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. 

    Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini pada Rabu lepas, selepas disyaki memiliki 33.56 gram dadah jenis syabu dan sepucuk pistol jenis revolver. 

    Katanya, suspek yang berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun itu dipercayai mengedar dadah sekitar Serdang dan membeli pistol tersebut daripada seorang lelaki dipercayai dari negara jiran dengan harga RM800 pada 2019 untuk melindungi diri. 

    Sepucuk pistol yang berjaya dirampas selepas polis menahan empat suspek bersama peluru dan dadah ketika Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Semakan mendapati wanita warga asing itu merupakan teman wanita seorang daripada suspek, tidak memiliki pasport dan telah berada di dalam negara ini sejak tiga tahun lepas. 

    “Tiga lelaki yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine hasil saringan ujian air kencing,” katanya. 

    Semua suspek direman tujuh hari sehingga 4 Jan 2023 untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Tanah mendap Serdang: MBSJ pasang cerucuk besi

    Tanah mendap Serdang: MBSJ pasang cerucuk besi

    MAJLIS Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak malam tadi mula memasang cerucuk besi di tebing longkang besar berhampiran lokasi kejadian tanah mendap di Jalan LP 1A/2, Serdang, semalam.

    Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata, pemasangan cerucuk besi oleh kontraktor yang dilantik MBSJ itu, adalah sebagai langkah keselamatan berikutan hasil pemantauan Jabatan Kejuruteraan MBSJ masih berlaku pergerakan tanah di lokasi berkenaaan.

    “Pihak kontraktor datang melihat dan membuat prosedur memasang kepingan cerucuk besi di kawasan tanah mendap sebagai tembok penahan, selain turut memasangnya di kawasan berdekatan bagi mengelak berlaku lagi runtuhan,” katanya kepada pemberita di sini.

    Johary berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama MBSJ bagi memutuskan langkah penyelesaian jangka masa panjang berhubung kejadian tanah mendap itu.

    “Ini merupakan kejadian kedua melibatkan tanah mendap di kawasan sama dan kami memandang serius perkara ini dengan mengenal pasti punca sebenar,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan berkata, 26 pemilik premis peniagaan di kawasan berhampiran diarah menghentikan sementara perniagaan sebagai langkah keselamatan.

    “Beberapa penduduk yang menetap di bahagian atas premis berkenaan juga dilihat mula berpindah sejak semalam,” katanya.

    Tinjauan Bernama mendapati beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemantauan, selain polis turut memperluaskan pemasangan tali kuning bagi mengelakkan orang awam menghampiri kawasan berkenaan.

    Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, dilaporkan lima kenderaan yang diletakkan di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang, mengalami kerosakan akibat mendapan tanah di kawasan itu. – BERNAMA