Tag: serbuan

  • Skim piramid: 7 ditahan, kenderaan mewah dan wang hampir RM1 juta disita

    Skim piramid: 7 ditahan, kenderaan mewah dan wang hampir RM1 juta disita

    SERAMAI tujuh individu termasuk seorang warga Taiwan yang disyaki terlibat dalam aktiviti skim piramid, ditahan menerusi serbuan operasi bersepadu ‘Op Reward’ di sebuah pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang, Rabu lepas.

    Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam, berkata dalam operasi itu pasukan serbuan turut menyerbu empat premis kediaman yang didiami suspek di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati, syarikat terbabit menjalankan dan mempromosi skim itu kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu, sejak beberapa tahun lalu.

    “Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan, bagi membantu siasatan bersama ini.

    “Selain itu, sembilan kenderaan mewah serta pelbagai beg tangan berjenama milik suspek turut disita, selain sebanyak 38 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhan berjumlah RM967,720.29 disita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Operasi itu dijalankan Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dan disertai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia serta Cyber Security Malaysia.

    Azman berkata syarikat terbabit disyaki aktif melakukan aktiviti tersebut di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Sarawak, selain dikesan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain.

    Kes disiasat di bawah subseksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu mempromosikan atau menjalankan skim piramid.

    Semua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, kerana disyaki melakukan aktiviti pengubahan wang haram. – BERNAMA

  • 3 anggota polis ditahan RM45,000 hilang ketika serbuan

    3 anggota polis ditahan RM45,000 hilang ketika serbuan

    SEORANG anggota polis berpangkat inspektor bersama dua konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengambil sejumlah wang ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai dekat sini Selasa lepas (26 Julai).

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan tiga anggota berusia antara 20-an dan 30-an itu dilakukan pada Sabtu lepas (30 Julai) selepas menerima laporan daripada seorang pengadu wanita.

    Beliau berkata berdasarkan aduan yang diterima, wanita berusia 68 tahun itu memaklumkan pada 4.30 petang Selasa lepas rumahnya didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis bagi menahan anak lelakinya berhubung kesalahan dadah.

    “Wanita itu mendakwa polis tersebut telah meminta anak kunci almari dan menggeledah almari kayu yang berada di dalam biliknya sebelum mengambil wang hasil jualan tanah dan santan berjumlah kira-kira RM45,000 untuk sitaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Menurutnya pengadu kemudian telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai tetapi dimaklumkan hanya wang berjumlah RM4,500 sahaja yang disita

    Muhamad Zaki berkata pegawai dan anggota polis yang ditahan itu kini direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.

    Katanya sehingga kini tiada pengakuan daripada ketiga-tiga yang ditahan dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

    “Serbuan ke rumah tersebut sebenarnya bagi menahan anak lelaki pengadu berusia 20-an, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BERNAMA

  • KPDNHEP Kubang Pasu rampas minyak diesel, petrol dari stor haram

    KPDNHEP Kubang Pasu rampas minyak diesel, petrol dari stor haram

    RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 17,000 liter diesel dan petrol dirampas dari sebuah stor haram di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

    K. Muniandy

    Ketua pegawai penguatkuasanya, K. Muniandy berkata, risikan dijalankan mendapati lokasi itu menjadi tumpuan lori-lori kargo dari Thailand untuk mengisi minyak, sebelum pulang ke negara mereka.

    Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang ‘penjaga’ kawasan tersebut yang merupakan warga tempatan berusia 57 tahun.

    “Kita percaya stor haram ini baru beroperasi sejak tiga minggu lepas. Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai lesen untuk menyimpan barangan kawalan ini.

    “Barangan yang dirampas terdiri daripada 15,000 liter diesel, 2,000 liter petrol serta sebuah pam. Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Muniandy menambah, lokasi itu agak strategik kerana kedudukannya yang terselindung selain dikelilingi kebun sayur.

    “Individu yang ditahan itu mendakwa, mereka baru hendak memohon lesen bagi menjalankan perniagaan ini.

    “Difahamkan bekalan minyak yang dirampas itu diperolehi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan individu perseorangan yang disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda hingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Untuk kesalahan dilakukan syarikat pula, mereka boleh didenda hingga RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya.

  • KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG bersubsidi

    KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG bersubsidi

    SATU kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi berjaya ditumpaskan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan di sekitar bandar Seremban serta Port Dickson, semalam.

    Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, sebanyak enam lelaki termasuk empat warga asing ditahan dalam operasi membabitkan nilai rampasan sebanyak RM147,940 itu.

    Menurutnya, dalam serbuan di sebuah stor, pasukan KPDNHEP menemukan 126 tong LPG seberat 50 kilogram (kg) yang berisi dan kosong untuk kegunaan industri, 136 tong LPG 14 kg berisi dan kosong untuk kegunaan domestik dan 1,500 kartrij butana cecair berisi dan kosong.

    “Modus operandi sindiket itu ialah membawa tong yang berisi LPG domestik 14kg bersubsidi daripada pemborong di sekitar Klang dan Beranang ke stor berkenaan, dan memindahkan gas bersubsidi itu ke tong 50 kg (kegunaan industri) serta tin gas untuk kegunaan dapur mudah alih 230 gram.

    “Sebuah lori kargo am had muatan lima tan yang pada masa itu dipenuhi dengan tong gas LPG 14kg, serta peralatan-peralatan yang digunakan untuk pemindahan gas LPG seperti hos paip, alat timbang dan beberapa bungkus plastik ais bagi tujuan aktiviti pemindahan disita dalam operasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azman berkata, dua orang lelaki tempatan dan empat lelaki warganegara Myanmar berumur 20 hingga 30 tahun yang berada di premis itu ditahan bagi membantu siasatan.

    Ujarnya, nilai rampasan serta sitaan dianggarkan bernilai RM147,940.

    “Operasi itu dilaksanakan hasil risikan selama tiga minggu dan premis berkenaan didapati telah beroperasi sejak dua bulan yang lepas.

    “Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat, ia boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta,” tambahnya.