Tag: Seorang wanita maut

  • Seorang wanita maut, 15 cedera tiga kereta bertembung

    Seorang wanita maut, 15 cedera tiga kereta bertembung

    SEORANG wanita maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Mersing-Jamaluang, dekat Kampung Wak Saam di Mersing, awal pagi tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Anuar Hussin, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sekitar 2.59 pagi tadi.

    Katanya, sebuah jentera LFRT dari BBP Mersing bersama tujuh anggota kemudiannya dihantar ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta BMW, Mitsubishi dan Perodua Myvi.

    “Terdapat 16 mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, tiga lelaki daripada kereta BMW dan tiga lelaki serta dua kanak-kanak menaiki Perodua Myvi cedera.

    Bagi kereta Mitsubishi pula, katanya, seorang wanita meninggal dunia, sementara empat lelaki dan dua perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan cedera.

    Menurutnya, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Mersing, manakala mangsa korban diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Seorang wanita maut, 13 cedera, pikap jatuh gaung

    Seorang wanita maut, 13 cedera, pikap jatuh gaung

    SEORANG wanita maut manakala 13 lagi cedera selepas pikap dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam sembilan meter ketika menuruni jalan dari Borneo Highland Resort, Padawan, di Kuching, semalam.

    Dalam nahas berkenaan, mangsa yang maut dikenali sebagai Yow Sze Ee, 22, yang juga penumpang pikap terbabit.

    Difahamkan, sebelum nahas itu, 14 sekeluarga itu melakukan aktiviti beriadah di kawasan air terjun bertempat di kawasan pergunungan berkenaan.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu 2.44 petang sebelum menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok ke lokasi.

    “Mangsa pertama berjaya dinaikkan serta diselamatkan pada 3.45 petang, manakala mangsa terakhir berjaya dibawa naik pada 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

    Kesemua mangsa katanya, diserah pada pihak ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tindakan rawatan seterusnya.

    Operasi menyelamatkan semua mangsa selesai jam 7.39 malam.