Tag: seorang lelaki ditahan

  • Parah kena 50 peluru bebola, seorang lelaki ditahan

    Parah kena 50 peluru bebola, seorang lelaki ditahan

    SEORANG lelaki ditahan polis selepas tertembak rakannya dengan peluru penabur sehingga cedera parah ketika memburu di hutan Rasil, Hulu Besut dekat Jertih awal pagi semalam.

    Ketua Polis Besut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai tertembak mangsa berusia 32 dalam kejadian antara 12 tengah malam dan 1 pagi, ketika mereka bersama keluar memburu pelanduk di hutan tersebut.

    “Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa yang merupakan rakan baik masuk ke hutan tersebut dengan membawa selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri bagi tujuan memburu pelanduk.

    “Semasa perjalanan pulang, suspek mendakwa telah tertarik picu senjata api berisi peluru yang dibawanya menyebabkan peluru terkena mangsa yang berada di belakang suspek,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, akibat tembakan itu sebahagian badan mangsa dipenuhi lebih 50 biji peluru bebola bersaiz kecil termasuk di leher dan lengan.

    Menurut Rozak, polis menerima laporan mengenai seorang lelaki terkena tembakan yang mendapatkan rawatan di Hospital Besut, kira-kira 2 pagi hari kejadian.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

    Katanya susulan kejadian itu suspek yang bekerja sendiri telah ditahan dan polis turut merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri itu.

    Rozak berkata, saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 iaitu mendatangkan cedera dengan sepucuk senjata tanpa alasan sah dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata api atau amunisi tanpa lesen atau permit yang sah.

  • Rebut kawasan jaja buah potong, seorang lelaki ditahan

    Rebut kawasan jaja buah potong, seorang lelaki ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS menahan seorang lelaki berusia 37 tahun selepas video memarahi seorang peniaga buah wanita di Parit Raja, Batu Pahat tular dalam media sosial sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki itu ditahan pada pukul 3 petang kelmarin di pekan Parit Raja susulan satu laporan polis yang diterima pihaknya daripada wanita tersebut pukul 11.45 malam kelmarin, Isnin lalu.

    “Hasil soal siasat suspek yang juga merupakan seorang peniaga buah potong dan minuman mengakui telah memarahi mangsa kerana tidak mahu wanita itu menjaja di kawasan Parit Raja yang dikhuatiri boleh menjejas perniagaannya.

    “Suspek telah mula berniaga di kawasan Parit Raja sehingga ke Kluang sejak dua tahun lalu dan tiada sebarang elemen gangsterism serta jenayah dikesan dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, wanita berusia 40 tahun sebelum itu mengatakan telah dimarahi oleh suspek yang tidak dikenali semasa berniaga.

    Menurutnya, kejadian berlaku di pekarangan sebuah restoran di Parit Raja, Batu Pahat.

    “Semasa kejadian, pengadu bersama anaknya menunggang motosikal menjaja dari sebuah kedai ke sebuah kedai yang lain pada waktu malam hari,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa telah menjaja buah potong di kawasan Tongkang Pechah sejak 10 tahun lalu sebelum meluaskan kawasan perniagaannya ke kawasan Parit Raja.

    Sehubungan itu katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan saksi-saksi awam yang lain untuk mengesahkan keterangan kedua-dua pihak.