Tag: semporna

  • Bot karam: Juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

    Bot karam: Juragan berenang enam jam dapatkan bantuan

    SEORANG juragan warga tempatan berenang selama enam jam ke Pulau Mantabuan bagi mendapatkan bantuan kerana bot yang membawa 11 penumpang telah dimasuki air sebelum karam, semalam.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata bot kayu itu dimasuki air sebelum karam dipercayai kerana terlanggar kayu yang terapung dalam kejadian antara 4.30 hingga 5 petang di perairan Pulau Mantabuan.

    Beliau berkata dalam kejadian itu, juragan bot berusia 46 tahun dan penumpang mengikat tong minyak kosong di sekeliling bot tersebut bagi mengelakkan ia tenggelam sebelum juragan itu berenang mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

    “Pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang berada di pulau itu kemudian menjalankan tindakan menyelamat semua mangsa sebelum menyerahkan kepada pasukan Polis Marin untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Farhan berkata kesemua mangsa terdiri daripada sembilan lelaki, dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga hingga 79 tahun.

    Katanya, juragan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu menjalankan aktiviti perahuan dengan gopoh manakala empat penumpang yang tiada dokumen pengenalan diri ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1963.

    “Semua juragan bot diminta sentiasa mematuhi keselamatan dan peraturan ditetapkan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.- BERNAMA

  • Caj RM20 tipu urus vaksinasi, warga emas dicekup

    Caj RM20 tipu urus vaksinasi, warga emas dicekup

    POLIS menahan seorang lelaki warga emas di Taman Kanak-Kanak Pekan Semporna, Sabah pada Jumaat lepas setelah disyaki terlibat dengan penipuan vaksinasi COVID-19.

    Ketua Polis Daerah Semporna Supt Farhan Lee Abdullah berkata suspek warga tempatan berusia 61 tahun yang tidak bekerja itu ditahan pada 2.35 petang.

    “Suspek menawarkan perkhidmatan mengurus vaksinasi di Dewan Masyarakat Semporna dengan bayaran RM20 setiap seorang dan setakat ini dikesan terdapat 16 mangsa penipuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata polis memandang serius perkara itu sama ada membabitkan individu atau sindiket yang cuba mengambil peluang menjalankan penipuan dengan menawarkan perkhidmatan vaksinasi berbayar. 

    “Kerajaan Malaysia memberikan vaksinasi secara percuma dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak terlibat,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Farhan meminta 16 mangsa yang terlibat itu agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

    Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohamad Hayazi Hariff Fazilah di talian 017-895 4967 atau 089-782020. – BERNAMA

  • Mayat lelaki dengan kesan luka ditemukan di Bohey Dulang

    Mayat lelaki dengan kesan luka ditemukan di Bohey Dulang

    MAYAT seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dijumpai dengan kesan luka di leher serta kepala di pesisir pantai Pulau Bohey Dulang dekat sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata lelaki dikenali sebagai Tendang Sampulatik, 40, itu ditemukan orang awam yang kemudian menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna pada 4.42 petang.

    “Mayat mangsa di bawa ke Hospital Semporna dan dikenal pasti oleh isterinya yang sebelum itu membuat laporan pada 11.15 pagi semalam mengenai mangsa dibawa lari oleh tiga lelaki menuju ke Pulau Boheyan.

    Berdasarkan aduan, mangsa dibawa lari pada Khamis lalu (9 Sept) dalam 7 malam ketika sedang memancing di atas perahu bersama anak, isteri serta ibu mentua (di perairan Pulau Bum Bum di sini),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata ketika kejadian perahu mereka dilanggar sebuah bot dinaiki tiga suspek dan salah seorang suspek memukul mangsa sehingga terjatuh ke laut sebelum melarikan suspek ke Pulau Boheyan.

    Mohd Farhan berkata siasatan masih dijalankan berhubung penemuan mayat dan aduan yang diterima dan kes terbabit disyaki berpunca daripada dendam.

    Katanya isteri mangsa yang tinggal di Kampung Labuan Haji, Pulau Bum Bum mengenali semua suspek dan berikutan itu polis giat mengesan dua suspek masing-masing berusia 40 tahun seorang suspek berusia 50 tahun yang tinggal di Pulau Boheyan.

    Beliau berkata kesemua suspek dipercayai melarikan ke sempadan Filipina dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian serta suspek agar menghubungi pegawai penyiasat ASP Arif Abd Razak di talian 088-454464.- BERNAMA