Tag: Seludup rokok

  • Polis tahan empat lelaki dipercayai Ah Long, seludup rokok

    Polis tahan empat lelaki dipercayai Ah Long, seludup rokok

    POLIS Terengganu menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan rokok seludup dan pinjaman wang tidak berlesen (ah long) di negeri ini.

    Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, keempat-empat lelaki berasal dari Selangor itu, ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar Kuala Terengganu pada pukul 5.30 petang, Rabu lepas.

    Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai lebih RM86,000 dan 600 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM34,200 dan pemeriksaan lanjut membawa kepada serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu jam 11 pagi semalam dan turut menemui 26 karton rokok.

    “Keempat-empat suspek yang berusia antara 26 hingga 34 tahun direman selama empat hari bermula 18 Ogos lepas,” katanya, lapor BH Online.

    Wan Rukman berkata, suspek mengaku menjalankan aktiviti pinjaman wang sejak awal Mei lalu dan menjadikan peniaga kecil sebagai sasaran bagi menawarkan pinjaman dan siasatan lanjut mendapati suspek yang berusia 26 tahun memiliki empat rekod kesalahan lampau melibatkan kesalahan rumah judi terbuka dan pemberi pinjaman wang.

    “Suspek disiasat mengikut dua seksyen iaitu pertama Seksyen 52 Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Jika sabit kesalahan hukuman denda tak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Manakala Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Seludup rokok, PATI guna kenderaan mewah

    Seludup rokok, PATI guna kenderaan mewah

    BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menumpaskan penyeludupan rokok putih dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan mewah dalam dua operasi berasingan pada 29 November lalu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 1 tengah hari, sepasukan anggota yang melakukan tugas bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan terserempak dengan sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard.

    “Kenderaan mewah itu dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulai Chondong menghala ke Machang dan anggota terlibat terus mengekorinya,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di Rantau Panjang hari ini.

    Menurutnya, kenderaan itu terus memecut laju dan membelok ke jalan simpang kecil ke Kampung Mata Ayer selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    Mat Shukor memberitahu, kenderaan itu bagaimanapun ditemui dalam keadaan enjin masih hidup dan pemeriksaan menjumpai 1,950 karton rokok putih.

    Mat Shukor berkata, pada masa sama, PGA telah menahan sebuah Toyota Vellfire ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah yang dinaiki empat lelaki dan dua wanita.

    “Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang lelaki dan wanita warga tempatan. Turut ditemui dalam kenderaan itu ialah tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand yang pasportnya telah tamat tempoh.

    “Seorang lagi lelaki warga Thailand tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.

    Menurutnya, selang dua jam selepas itu, PGA sekali menahan sebuah Toyota Alphard yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong.

    Pemeriksaan mendapati dua lelaki warga tempatan dan dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Thailand yang mengemukakan dokumen perjalanan tamat tempoh.

    Katanya, PGA akan terus membuat pemeriksaan ke atas kenderaan mewah yang menjadi pilihan penyeludup bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa selain selain dapat lolos daripada kawalan.