Tag: seleweng dana SRC

  • Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka keterangan baharu

    Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka keterangan baharu

    *Tiada kaitan pekerjaan Nazlan di bank dengan pertuduhan Najib

    DATUK  Seri Najib Tun Razak telah gagal dalam usahanya untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC International Sdn Bhd bagi membatalkan perbicaraan yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Ini selepas panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu setelah mendengar hujahan peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.

    Bukti tambahan yang ingin dikemukakan Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 adalah peguam dan Setiausaha Syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.

    Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata tiada kaitan antara pekerjaan Mohd Nazlan di bank sebelum ini dengan pertuduhan Najib, justeru beliau memerintahkan supaya rayuan utama diteruskan.

    Panel hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

    Tengku Maimun berkata mahkamah memutuskan bahawa Najib gagal melepasi tahap tinggi Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mengandungi undang-undang mengenai bukti baharu.

    “Keseluruhan bukti tambahan yang ingin dikemukakan gagal memenuhi keperluan itu. Permohonan itu gagal mendedahkan sebarang perkaitan dengan keputusan Hakim Mohd Nazlan. Beberapa bukti akan tersedia semasa perbicaraan atau akan tersedia dengan penumpuan munasabah.

    “Pada mulanya kami bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa ketersediaan bukti tidak tertakluk kepada penyampaian di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah sebaliknya sama ada bukti tersedia kepada pemohon semasa perbicaraan.

    “Memandangkan peguam untuk SRC dan 1MDB adalah sama, dokumen itu tersedia dan oleh itu boleh dibangkitkan kepada Hakim Mohd Nazlan mengenai isu konflik yang didakwanya,” kata beliau.

    Tengku Maimun berkata peranan Mohd Nazlan sebelum ini dalam Maybank diketahui umum dan akan terbuka kepada pemohon untuk membuat sebarang permintaan untuk pendedahan dokumen itu melalui tindakan selanjutnya.

    “Pemohon bukan tidak tahu dan tidak diwakili. Tidak boleh menyatakan bahawa dia tidak boleh mendapatkan bukti tanpa usaha di pihaknya. Dalam proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dalam kenyataan daripada kakitangan Maybank dan juga daripada Hakim Mohd Nazlan, kami gagal melihat bagaimana bukti yang akan dikemukakan mereka berkait dengan pertuduhan terhadap pemohon.

    “Kami tidak nampak bagaimana peranan Hakim Mohd Nazlan dalam Maybank sebelum ini boleh memberi kesan kepada penemuannya dalam perbicaraan SRC dan penubuhan SRC melalui tindakan pemohon sendiri.

    “Oleh itu, kami dengan ini menolak permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan,” kata Tengku Maimun.

    Selepas penghakiman dibacakan, Hisyam memohon agar rayuan utama ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama hanya dibuat baru-baru ini.

    Sithambaram berkata pihak pendakwaan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

    “Mahkamah ini sudah dua kali menolak permohonan mereka, oleh itu, kini mahkamah mesti memutuskan perkara itu,” kata beliau

    Mahkamah menangguhkan prosiding buat sementara waktu sebelum memutuskan perkara itu.

    Najib merayu terhadap sabitan dan hukumannya atas penyelewengan RM42 juta membabitkan dana SRC.

    Rayuan berkenaan adalah yang terakhir bagi Najib selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mohd Nazlan pada 28 Julai 2020.

    — BERNAMA

  • “Mohd Nazlan kena dedahkan jawatan” – Peguam Najib

    “Mohd Nazlan kena dedahkan jawatan” – Peguam Najib

    PEGUAM utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik berkata, pihaknya mengakui jawatan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank berada dalam pengetahuan awam.

    Memetik laporan Berita Harian, bagaimanapun katanya, apa yang dipertikaikan ialah Mohd Nazlan yang mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International dihadapi Najib mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan perkara itu kepada semua pihak dalam perbicaraan.

    Katanya, permohonan yang dikemukakan untuk memasukkan bukti tambahan berkaitan Mohd Nazlan (yang kini hakim Mahkamah Rayuan) bukan untuk mempertikaikan maklumat mengenai jawatan yang pernah dipegangnya tetapi tindakan yang sepatutnya diambil oleh hakim terbabit.

    “Apabila tindakan (mendedahkan perkara berkenaan) ini tidak dilakukan, maka akan timbul syak wasangka. Syak wasangka ini sudah cukup untuk menunjukkan terdapat bahaya berat sebelah di pihak hakim bicara.

    “Kami memohon mahkamah membenarkan permohonan kami supaya keterangan ini dibawa masuk sebagai bukti tambahan.

    “Ia akan menunjukkan kekuatan mahkamah ini bahawa ia bersedia untuk campur tangan apabila jelas di hadapannya terdapat unsur ketidakadilan kepada pemohon,” katanya.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat kemudian mengumumkan panel lima hakim akan menangguhkan sebentar prosiding bagi membuat keputusan terhadap permohonan Najib.

  • Kes seleweng dana SRC: Najib mohon rayuan akhir ditangguh

    Kes seleweng dana SRC: Najib mohon rayuan akhir ditangguh

    DATUK Seri Najib Razak memohon rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, ditangguh sehingga siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selesai.

    Memetik laporan Berita Harian, Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang berhujah dalam permohonan notis usul bagi memasukkan bukti tambahan berkaitan Mohd Nazlan dalam rayuan akhir kes SRC berkata, prosiding itu wajar ditangguhkan kerana bukti tambahan jelas menunjukkan wujud konflik kepentingan.

    Katanya, adalah wajar siasatan terhadap Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan selesai dijalankan sebelum rayuan akhir didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

    Hisyam berkata, wujud bahaya nyata wujudnya berat sebelah dalam kes itu kerana konflik kepentingan berhubung peranan Mohd Nazlan.

    “Mahkamah Persekutuan boleh meminta rekod siasatan dan melihat sendiri keterangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

    “Seperti yang dijelaskan dalam afidavit pemohon (Najib), keterangan tambahan ini mengandungi bukti material yang menunjukkan konflik kepentingan dan berat sebelah membabitkan hakim yang mendengar perbicaraan kes ini (Mohd Nazlan).

    “Oleh itu, kami memohon ini (memasukkan bukti tambahan) dibenarkan dan mana-mana perintah yang difikirkan sesuai serta wajar oleh mahkamah ini,” katanya.

    Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International, dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

    Najib memohon memasukkan dalam rayuan akhirnya antaranya keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC International.

    Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank berhubung khidmat nasihat strategik yang diberikan oleh Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC International pada 2010/2011.

    Ia juga berkaitan pinjaman RM140 juta yang diberikan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development Berhad (anak syarikat SRC) pada tahun 2014 , iaitu sumber RM42 juta yang menjadi perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib.

    Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung peranannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada 2010/2011.

    Notis usul memasukkan bukti tambahan itu berbangkit daripada permohonan Najib supaya Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd batal dan tidak sah.

    Beliau juga memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula.

    Prosiding bersambung petang ini dengan hujahan balas pendakwaan.