Tag: seleweng

  • Bekas eksekutif jualan mengaku tidak salah seleweng wang syarikat lebih RM23,000

    Bekas eksekutif jualan mengaku tidak salah seleweng wang syarikat lebih RM23,000

    SEORANG bekas eksekutif jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang majikannya berjumlah RM23,407.40 awal tahun ini.

    R. Sutharshanan, 37, dari Taman Tompoi Utama, Johor Bahru, dituduh melakukan perbuatan itu ketika bertugas di Syarikat Cap Keluarga Sales and Services Sdn Bhd, di Seberang Perai Tengah, dari 17 Feb 2022 hingga 8 Ogos 2022.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

     Hakim Norhayati Mohamad Yunus membenarkan Sutharshanan yang diwakili peguam Hari Prassaad Rao diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Okt untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak.

  • Seleweng 3,000 liter diesel bersubsidi, pemandu lori ditahan

    Seleweng 3,000 liter diesel bersubsidi, pemandu lori ditahan

    POLIS menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi setelah menahan seorang pemandu lori di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram di Johor Bahru, semalam.

    Ini setelah gerak geri mencurigakan lelaki berkenaan semasa mengisi minyak ke dalam lori dipandunya disedari anggota polis dari cawangan kereta peronda (MPV) Bahagian Pecegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, aktiviti pemandu lori berusia 31 tahun itu disedari semasa anggota berkenaan melakukan rondaan pada pukul 8.45 malam.

    Menurutnya, anggota berkenaan melihat seorang lelaki tempatan sedang mengisi minyak dalam sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

    “Hasil siasatan mendapati terdapat enam tong minyak diesel yang dianggarkan 500 liter setiap tong dan polis menahan lelaki itu yang meupakan pemandu lori tersebut,” katanya yang dipetik SinarHarian sebagai berkata.

    Mengulas lanjut Mohd Suhami berkata, polis turut merampas enam tong tersebut yang kesemuanya berisi 3,000 liter diesel, lori berkenaan dan dua resit belian minyak berkenaan berjumlah RM1,000.

    Katanya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM66,450.

    Hasil semakan rekod lampau katanya mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

    Beliau menambah, polis akan terus membanteras dan kegiatan penyelewengan serta kitirisan diesel yang menyebabkan kerugian kepada negara.

  • KPDNHEP Kubang Pasu rampas minyak diesel, petrol dari stor haram

    KPDNHEP Kubang Pasu rampas minyak diesel, petrol dari stor haram

    RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 17,000 liter diesel dan petrol dirampas dari sebuah stor haram di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kubang Pasu, Kedah, hari ini.

    K. Muniandy

    Ketua pegawai penguatkuasanya, K. Muniandy berkata, risikan dijalankan mendapati lokasi itu menjadi tumpuan lori-lori kargo dari Thailand untuk mengisi minyak, sebelum pulang ke negara mereka.

    Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang ‘penjaga’ kawasan tersebut yang merupakan warga tempatan berusia 57 tahun.

    “Kita percaya stor haram ini baru beroperasi sejak tiga minggu lepas. Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai lesen untuk menyimpan barangan kawalan ini.

    “Barangan yang dirampas terdiri daripada 15,000 liter diesel, 2,000 liter petrol serta sebuah pam. Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Muniandy menambah, lokasi itu agak strategik kerana kedudukannya yang terselindung selain dikelilingi kebun sayur.

    “Individu yang ditahan itu mendakwa, mereka baru hendak memohon lesen bagi menjalankan perniagaan ini.

    “Difahamkan bekalan minyak yang dirampas itu diperolehi dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya.

    Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan individu perseorangan yang disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda hingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Untuk kesalahan dilakukan syarikat pula, mereka boleh didenda hingga RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya.