Tag: Sekolahku Sejahtera

  • Sekolahku SEJAHTERA terap 14 elemen nilai kehidupan

    Sekolahku SEJAHTERA terap 14 elemen nilai kehidupan

    KONSEP Sekolahku SEJAHTERA yang menerapkan 14 elemen nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, 14 elemen yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA itu ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

    Bercakap kepada media selepas melancarkan Sekolahku SEJAHTERA di Putrajaya hari ini, Radzi berkata, kesemua elemen itu akan diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

    “Konsep ini tidak tambah beban tugas guru. Dalam konteks ini, guru-guru akan menerapkan konsep ini secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran.

    “Contohnya guru sedang mengajar mata pelajaran Sejarah, ada perkara-perkara dalam topik yang diajar itu berkait rapat dengan konsep 14 elemen itu, ia boleh digunakan dan dijelaskan kepada anak-anak ini,” katanya.

    Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

    Radzi berkata, penekanan terhadap 14 elemen nilai itu bukan bermakna elemen lain dalam kehidupan diketepikan.

    “Kita fokus pada konsep-konsep utama, kita yakin sekiranya anak-anak ini betul-betul menjiwai konsep ini, kita mampu melahirkan generasi yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya.

    Mengambil contoh elemen artikulasi iaitu murid dididik dengan keupayaan untuk mengolah, menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian tentang sesuatu perkara dengan jelas dan teratur, Radzi berkata, apabila dewasa kelak, murid berkenaan boleh berhujah atau bercakap dengan tertib dan disokong dengan fakta. – BERNAMA

  • ‘Sekolahku Sejahtera’ tidak ganggu tugas hakiki guru

    ‘Sekolahku Sejahtera’ tidak ganggu tugas hakiki guru

    KONSEP ‘Sekolahku Sejahtera’ yang akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi, tidak akan membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, pelaksanaannya tidak melibatkan kewujudan mata pelajaran baharu sebaliknya guru-guru akan menyelitkan elemen-elemen dalam konsep “Sekolahku Sejahtera” itu sewaktu sesi mengajar dan aktiviti kokurikulum.

    Radzi pada Isnin lepas berkata, konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bersifat penerapan nilai murni antara lain bertujuan membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah. Ia mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami.

    “Konsep ini bukan suatu perkara retorik tapi ianya satu perjuangan untuk memastikan murid-murid ada sikap nilai murni sejak dari usia muda,” kata Radzi pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian bahawa budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah suatu isu yang perlu ditangani dengan serius agar ia tidak menjadi suatu budaya atau berulang di masa hadapan.

    Katanya, kejadian yang menimpa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain perlu dijadikan pengajaran kerana budaya buli boleh membawa kepada kehilangan nyawa.

    Pada sidang media selepas itu, Radzi berkata, KPM sedang menyediakan kerangka baharu yang menyeluruh bagi membanteras masalah buli di sekolah termasuk di sekolah berasrama, yang melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan terhadap pendekatan sedia ada.

    Kerangka itu, katanya, memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.

    Berhubung status 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang ditamatkan pengajian kerana terlibat dalam kes buli seperti yang tular baru-baru ini, Radzi berkata, mereka boleh memasuki sistem persekolahan KPM namun perlu menjalani beberapa proses sebelum diterima masuk selain mengikuti sesi kaunseling.

    “KPM sedia maklum mereka ini sudah ada rekod sebab itu kita (KPM) tidak boleh terima dengan mudah. Mereka juga akan dipantau dengan rapi apabila diterima masuk kelak,” katanya sehingga kini KPM belum menerima permohonan kemasukan ke sekolah daripada penjaga murid-murid terbabit. – BERNAMA