Tag: sekatan jalan raya

  • PDRM laksana sekatan jalan raya di lokasi strategik seluruh negara

    PDRM laksana sekatan jalan raya di lokasi strategik seluruh negara

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik setiap daerah di seluruh negara dengan penugasan secara 24 jam mulai malam tadi.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah mengadakan sekatan jalan raya ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ atau kehadiran polis.

    Menurut beliau, ia bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam.

    “Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui sekatan jalan raya terutama di waktu puncak.

    “Masyarakat tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di seluruh negara adalah terkawal,” tambahnya.

  • Polis Pahang tamat SJR antara daerah

    Polis Pahang tamat SJR antara daerah

    POLIS Pahang menamatkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah mulai tengah malam tadi, selepas negeri ini memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini. 

    Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf bagaimanapun, menasihatkan orang awam untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun tiada lagi SJR. 

    “Usaha dan tanggungjawab bersama mampu mencegah penularan pandemik COVID-19 daripada terus berleluasa,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini. 

    Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pahang antara tiga negeri beralih ke fasa PPN berikutnya berdasarkan penilaian risiko terkini oleh Kementerian Kesihatan dan MKN.

    Selain Pahang, negeri lain ialah Negeri Sembilan yang masuk ke Fasa Empat dan Johor yang beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua. 

    Peralihan fasa itu berkuat kuasa hari ini. – BERNAMA 

  • Jangan bawa kayu penyendal bawah lori – JPJ

    Jangan bawa kayu penyendal bawah lori – JPJ

    PENGUATKUASA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang memberikan amaran kepada pemandu lori agar tidak membawa kayu penyendal yang diletakkan di bahagian bawah kenderaan mereka.

    Pengarahnya Adenan Md. Isa berkata melalui operasi khas bersepadu ‘OBSTACLE’ yang dijalankan di Plaza Tol Juru semalam, pihaknya mengesan sebanyak 15 lori yang meletakkan kayu penyendal di bahagian casis yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

    “Kemalangan yang disebabkan oleh kayu penyendal di atas jalan raya semakin meningkat. Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes seperti ini memang jarang berlaku namun kini ia semakin menjadi-jadi.

    Kayu penyendal itu boleh jatuh ketika pemandu membelokkan kenderaan, permukaan jalan raya yang tidak rata atau ketika lori dipandu dengan laju,” katanya kepada pemberita ketika mengikuti operasi tersebut yang bermula jam lima petang sehingga 11 malam semalam.

    Tambahnya, sebanyak 270 notis saman telah dikeluarkan semalam kepada pemandu yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    Antara kesalahan lain termasuk penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tiada lesen memandu, penggunaan lampu ‘strobe’, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap, turut dikesan dalam operasi selama enam jam tersebut.

    Dalam masa yang sama, Adenan telah menghadiahkan sebuah topi keledar kepada seorang kanak-kanak setelah didapati dibawa menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar.

    Daripada 800 kenderaan yang telah diperiksa semalam, sebanyak 128 daripadanya telah diambil tindakan.

    Operasi terbabit disertai 60 pegawai penguatkuasa termasuk daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan PLUS Malaysia Berhad selain JPJ.- BERNAMA