Tag: Segamat

  • Segamat catat keadaan udara tidak sihat dua hari berturut-turut

    Segamat catat keadaan udara tidak sihat dua hari berturut-turut

    DAERAH Segamat di Johor terus mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini iaitu 151 setakat 11 pagi, hari ini.

    Mengikut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kadar bacaan IPU tidak sihat di daerah itu berlaku sejak semalam iaitu 121.

    Memetik laporan Harian Metro, sebanyak 66 kawasan pula mencatatkan bacaan sederhana.

    Tanah Merah, Kelantan mencatat bacaan paling tinggi iaitu 100 berbanding 107 semalam.

    Sementara itu, dua stesen iaitu Kuala Terengganu, Terengganu mencatatkan bacaan 97 diikuti Kota Bharu, Kelantan (96).

    Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala 300 ke atas berbahaya.

  • Tidak perlu darurat bencana, hujan semakin berkurangan – PM

    Tidak perlu darurat bencana, hujan semakin berkurangan – PM

    KERAJAAN hari ini mengekalkan keputusannya untuk tidak mengumumkan darurat bencana di Johor, susulan jangkaan cuaca yang dilihat semakin baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Keputusan kerajaan tidak umumkan darurat kerana jangkaan hujan sudah mula berkurangan dan di beberapa tempat (banjir) dah surut, walaupun ada beberapa tempat yang ada (banjir) termenung ni, tetapi tidak perlu (umum) darurat (bencana) setakat ni.

    “Dan keadaan mulai surut, mulai hari ini. Itu yang dimaklumkan kepada saya,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, di sini, hari ini.

    Anwar berkata demikian ketika ditanya status terkini banjir di Johor dan sama ada terdapat keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana, berikutan jumlah mangsa banjir yang dilihat semakin meningkat.

    Dua hari lepas (Jumaat), mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat bencana di negeri ini susulan banjir.

    Bagaimanapun, banjir yang luar biasa di negeri itu telah menyaksikan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 46,742 orang setakat 12 tengah hari tadi, dengan Batu Pahat menjadi daerah teruk terjejas banjir melibatkan seramai 15,915 orang.

    Ahli Parlimen Tambun itu turut mengarahkan agar semua jabatan kerajaan menyegerakan penilaian kerosakan, serta membantu rakyat yang terjejas kerana kehilangan harta benda serta mengalami kerosakan dan terputus bekalan elektrik dan air.

    “Semua ini (penilaian dan pemantauan), semua jabatan saya minta disegerakan. Jangan tunggu lagi. Sebaik air surut, rumah-rumah harus berfungsi,” kata beliau.

    Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri Selangor serta jabatan berkaitan di Wilayah Persekutuan akan menghantar kereta dan lori sampah, untuk pasca banjir.

    Selain itu, usaha daripada mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diselaraskan, untuk turun membantu keluarga yang terjejas bagi membersihkan rumah-rumah.

    “…apa yg penting selepas ini, apabila (mangsa banjir) pulang ke rumah, usaha (telah dilakukan kita) untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah mereka (pascabanjir),” kata beliau.

    Perdana Menteri turut memuji Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan negeri, atas penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam menyalurkan bantuan dan membantu mangsa banjir.

    “Jabatan-jabatan kerajaan, baik keselamatan, polis, tentera, semuanya dikerahkan, kerajaan negeri pun turun. Jabatan bomba, semua, saya nak sebut satu-satu banyak tapi telah diselaraskan juga oleh NADMA dalam menjalankan tugas. Jadi asaya, Alhamdulillah, bangga,” katanya.

    Anwar turut merasa terharu dengan kekuatan dan semangat yang ditunjukkan rakyat Malaysia dalam menghadapi musibah di negeri itu.

    “Orang ramai, NGO, banyak membantu. Ada di beberapa tempat, makanan yang diterima sampai berlebihan, ia sekali gus menunjukkan kekuatan semangat rakyat Malaysia, semua kaum (bekerjasama) dalam menghadapi ujian termasuk banjir,” kata beliau.

    Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Besar Johor dan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat. – BERNAMA

  • Projek rancangan tebatan banjir disegerakan, perlu beroperasi Jun – PM

    Projek rancangan tebatan banjir disegerakan, perlu beroperasi Jun – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa projek rancangan tebatan banjir (RTB) terutamanya di Johor, akan disegerakan operasinya bermula Jun ini.

    Beliau berkata proses tender projek tebatan banjir berkenaan harus disegerakan dan perlu beroperasi segera, memandangkan isu banjir di Johor terutamanya, merupakan sesuatu isu yang berulang.

    “Isu ini (banjir) kalau tidak dilakukan apa-apa yang serius, ia akan berulang. Isu banjir ini bukan kali pertama, tetapi sudah bertahun-tahun. Kadang-kadang, setahun dua kali.

    “Oleh itu, kita putuskan projek yang mahal RM600 juta atau lebih tebatan banjir akan disegerakan. Nanti kita lulus dan disegerakan,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah, di sini hari ini.

    Beliau berkata enam projek tebatan banjir yang sebelum itu ditangguhkan sebentar, kerana beliau tidak mahu peruntukan untuk bantu rakyat terdapat ketirisan atau kecurian, meskipun proses tender itu disegerakan.

    Bagaimanapun, Anwar memberikan amaran kepada kepada syarikat atau pihak yang terlibat, agar tidak menyalahgunakan peruntukan bencana yang diberikan kerajaan.

    “Saya beri amaran keras jangan guna peruntukan ketika banjir atau darurat ataupun masalah-masalah yang dihadapi seperti mana RTB, jangan guna itu (peruntukan) untuk mencari peluang mendapat habuan tambahan,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

    Sebelum ini pada pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri mengumumkan enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewatnya pada Jun tahun ini, termasuk RTB di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor.

    Selain itu, projek RTB lain yang akan melalui proses tender semula ialah pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor, serta Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.

    Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM10 juta melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang baru-baru ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Saya juga sudah menambah peruntukan RM50 juta untuk kita menyalurkan sebahagiannya kepada mangsa-mangsa dan ada beberapa projek segera. Usaha-usaha telah dilakukan oleh jabatan-jabatan kerajaan negeri, kemudiannya daripada kerajaan pusat.

    Selain itu, beliau berkata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi juga ada memohon beberapa projek baharu, bagi mengurangkan impak banjir.

    “Saya beritahu oleh kerana kita boleh jimatkan beberapa kos (antara) RM1 bilion hingga RM2 bilion daripada projek lama, wang itu akan dipindahkan untuk menjalankan projek baharu. Sekarang (banjir) ini di Segamat, (selain itu) Kota Tinggi dan kawasan-kawasan lain yang berat dilanda banjir,” kata beliau.

    “Selain itu, Ahmad Zahid, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustaha (dan) juga menteri-menteri kabinet yang lain, telah turun memantau dan memberi bantuan, sekali gus mengurangkan tekanan hidup bagi mangsa-mangsa banjir yang terpaksa berpindah dan mengalami kesusahan, kita cuba mengurangkan tekanan dan beban mereka,” kata Perdana Menteri.

    Beliau juga telah menghubungi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang penting, yang juga telah mengumpulkan dana tambahan RM20 juta, untuk membantu rakyat Johor.

    “Tenaga Nasional Bhd akan turun menyelesaikan masalah elektrik segera, Yayasan Sime Darby pula menyediakan kit-kit kesihatan, untuk lebih 1,500 keluarga dan (GLC) selainnya mengumpulkan dana RM20 juta tambangan untuk rakyat Johor,” kata Anwar.

    Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu mangsa banjir di PPS berkenaan, selain mendengar taklimat banjir daripada agensi berkaitan.

    Turut mengiringi beliau Menteri Besar Johor dan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat. – BERNAMA

  • Buku, peralatan sekolah rosak akibat banjir, peniaga rugi RM1 juta

    Buku, peralatan sekolah rosak akibat banjir, peniaga rugi RM1 juta

    SEORANG peniaga di Segamat, Johor mendakwa kerugian hampir RM1 juta selepas premis perniagaannya dinaiki air setinggi satu meter berikutan hujan lebat di daerah itu sejak Rabu lalu.

    Jason Ng Wai Kin, 43, yang menjalankan perniagaan memborong barangan keperluan sekolah di Jalan Genuang berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang jualannya berikutan paras air yang tinggi dan arus deras.

    Tambah menyedihkan bagi Jason yang mengusahakan tiga unit kedai alat tulis bersama isterinya, mereka baru sahaja menambah stok barangan sebanyak RM 600,000 sebagai persediaan membuka sesi persekolahan bulan ini.

    Menurutnya, dia hanya mampu melihat hampir separuh barangan di kedainya rosak berikutan ketika kejadian, dia dan isteri berada di Thailand atas urusan perniagaan.

    “Hampir 30 tahun saya menjalankan perniagaan sebagai pembekal buku sekolah terbesar di daerah ini, kali ini merupakan yang ketiga kedai saya naik air selepas tahun 2006 dan 2011 yang lalu.

    “Memang kedai saya sudah buat persediaan buka sekolah dan isteri saya sudah ‘restock’ barang lebih RM 600,000 selain sekolah-sekolah juga sudah buat tempahan buku-buku latihan dan semuanya hancur terendam air banjir.

    “Kalau berdasarkan pengalaman sebelum ini, untuk bersihkan keseluruhan kedai ini ambil masa lebih kurang dua bulan dan sepanjang tempoh itu juga saya tidak dapat jalankan perniagaan seperti biasa,” katanya, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Jason berharap kerajaan dapat melakukan langkah penyelesaian jangka panjang yang bukannya hanya sekadar menyalurkan sumbangan sekali bayar kepada mangsa banjir di daerah ini.

    Jason yang turut menjalankan perniagaan farmasi di lokasi sama menegaskan, dia bukan tidak mahu berpindah ke kawasan lain, namun, hampir keseluruhan kawasan di Segamat berisiko dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.

    “Jalan Genuang masih jalan besar Segamat, jadi ini masih ‘hotspot’ yang mana walaupun dilanda banjir kami masih di sini kerana kami sudah berpuluh tahun (berniaga) di sini.

    “Kalau nak berpindah bukan senang kerana sudah ada pelanggan tetap, jadi kami cuma harapkan perubahan yang boleh bantu peniaga semua supaya kami tidak lagi mengalami kerugian seperti ini,” katanya lagi.

    Banjir besar yang melanda daerah Segamat sejak Rabu lalu bukan sahaja menjejaskan ribuan rumah penduduk sehingga memaksa lebih 13,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Premis-premis perniagaan di bandar Segamat juga lumpuh seketika selepas turut dimasuki air dan merosakkan barangan jualan.

  • Wanita sarat mengandung nekad redah banjir ke klinik

    Wanita sarat mengandung nekad redah banjir ke klinik

    SEORANG wanita yang sarat mengandung tujuh bulan terpaksa meredah banjir paras betis untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Desa Gemas Baru, di Segamat hari ini.

    Nor Shamira Amiruddin, 27, yang ditemani suaminya, Mohd Ali Saharuddin, 32, berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter selepas meletakkan kereta mereka di tepi jalan memandangkan jalan utama ke klinik desa itu ditenggelami air.

    Mohd Ali yang merupakan anggota tentera berkata, beliau datang ke klinik mengikut janji temu ditetapkan kerana risau kesihatan dan kandungan isterinya.

    “Saya risau jika keadaan banjir semakin teruk, sebab itu saya bawa juga isteri ke klinik hari ini untuk memeriksa kandungan anak sulung kami.

    “Selepas urusan pemeriksaan kesihatan selesai, kami perlu pulang ke rumah di Taman Gembira untuk kemas dan selamatkan barang-barang yang perlu,” katanya ketika ditemui pemberita berhampiran klinik berkenaan.

    Mohd Ali berkata, banjir kali ini paling teruk pernah dialaminya sejak tinggal di kawasan Gemas Baru lima tahun lepas dan difahamkan banjir seumpama itu pernah berlaku pada 2011.

    Seorang suri rumah, Chong Soon Yan, 38, berkata, hujan lebat sejak Jumaat lepas menyebabkan rumahnya dinaiki air hingga paras betis walaupun sudah ditinggikan bagi mengelak bencana itu.

    “Sepuluh tahun lepas, banjir pernah lagi teruk dan rumah ditenggelami air setinggi 1.5 meter.

    “Di rumah sekarang ini ada anak kecil dan warga emas, sebab itu saya bimbang walaupun rumah sudah tinggi, saya tetap pantau dari semasa ke semasa kerana hujan kini semakin lebat, perabot dan peralatan elektrik saya sudah bawa ke tingkat atas,” katanya yang memiliki tiga anak.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Gemereh mendapati aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan tidak diabaikan khususnya merekod kehadiran orang ramai menggunakan aplikasi MySejahtera dan mengimbas suhu badan.

    Seorang penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Nor Ashekin Yahaya, 32, berkata, dia bersama anak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Syakir Ikbar, 12, berpindah ke PPS berkenaan sejak semalam selepas rumahnya dinaiki air.

    “Anak saya terpaksa didukung kerana tidak boleh berjalan, barang-barang seperti perabot dan elektrik terpaksa ditinggalkan kerana paras air naik begitu cepat, apatah lagi rumah di kawasan rendah.

    “Saya reda dengan apa yang berlaku. Syukur saya dan anak selamat dan dapat ditempatkan di PPS ini. Sangat selesa dan keperluan saya dan anak diutamakan,” katanya yang telah tinggal di daerah Segamat sejak lebih 30 tahun.

    Antara mangsa terawal dipindahkan di Segamat, Muhale Basiran, 63, berkata, hujan berterusan sejak Jumaat menyebabkan air di rumahnya di Kampung Logah naik dengan cepat hingga paras pinggang.

    Bagaimanapun Muhale yang juga OKU berkata, persiapan awal telah dilakukan dengan meletakkan barang-barang berharga di tempat tinggi selain membungkus pakaian, cadar, bantal dan tilam menggunakan plastik bagi mengelak dibasahi air.

    Setakat ini, 29 kampung dan tiga taman perumahan di Segamat terjejas banjir dengan 30 PPS dibuka bagi menempatkan 1,771 orang daripada 452 keluarga. – BERNAMA