Tag: Sedia hadapi banjir

  • Penduduk beli bot, sedia hadapi banjir

    Penduduk beli bot, sedia hadapi banjir

    SEDIAKAN payung sebelum hujan, peribahasa itu menjadi pegangan hampir rata-rata penduduk Kampung Batu Badak, di Segamat yang menyediakan bot fiber di kediaman masing-masing bagi menghadapi kejadian banjir yang berlaku saban tahun.

    Ternyata pelaburan penduduk kampung yang menempatkan lebih 30 keluarga itu tidak sia-sia, bahkan mampu menyelamatkan harta benda dan nyawa keluarga tersayang.

    Bagi Mohammad Yahaya, 49, bot fiber dan enjin yang dibeli sejak beberapa tahun lalu itu adalah hasil titik peluh bekerja sebagai penoreh getah bagi memudahkan kerja-kerja memindahkan kira-kira 12 ahli keluarganya ketika banjir.

    Menurutnya, bot dan enjin yang bernilai lebih RM8,000 itu banyak membantu mereka sekeluarga dan penduduk setempat untuk keluar dari kawasan yang tenggelami banjir dan berteduh ke kawasan yang lebih tinggi.

    “Kawasan ini berhampiran dengan Sungai Muar iaitu kira-kira satu kilometer dari penempatan kami, jadi apabila paras air sungai ini naik, pasti rumah kami dinaiki air.

    “Walaupun kebanyakan rumah di sini dibina lebih daripada 14 kaki tetapi, ia masih dinaiki air dan kami anggap ini perkara biasa kerana rumah dekat dengan sungai,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

    Mohammad berkata kejadian banjir besar yang dialaminya pada 2006 dan 2011 adalah lebih teruk berbanding kali ini apabila rumah penduduk di kawasan itu ditenggelami air sehingga bumbung rumah tidak kelihatan.

    Jelasnya, air di kawasan tersebut akan mengambil masa lama untuk surut dan boleh mencecah sehingga sebulan untuk kembali seperti biasa. 

    Tinjauan Bernama di kampung tersebut mendapati kawasan kediaman masih ditenggelami air dengan penduduk meletakkan bot fiber mereka berhampiran jambatan Seberang Batu Badak, Segamat.

    Beberapa penduduk kampung membina khemah di jalan tersebut bagi memastikan bot berkenaan tidak dicuri atau hanyut dibawa arus air. – Bernama

  • Bomba kenal pasti enam negeri tumpuan hadapi Monsun Timur Laut

    Bomba kenal pasti enam negeri tumpuan hadapi Monsun Timur Laut

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) telah mengenal pasti enam negeri untuk diberikan perhatian khusus dalam menghadapi Monsun Timur Laut atau bencana banjir yang dijangka bermula Oktober hingga Mac 2022.

    Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata negeri terbabit adalah Sarawak, Sabah, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

    “Tidak menidakkan negeri yang lain, persiapan menghadapi bencana pun kita (Bomba) buat, cuma dari segi logistik akan diletakkan di pangkalan hadapan (zon yang telah dikenal pasti) macam di Sarawak kita telah tetapkan tiga zon iaitu Kuching, Sibu dan Miri.

    “Pangkalan hadapan kita (Bomba) akan sediakan peralatan logistik untuk Marin seperti pengangkutan bagi mengendali mangsa banjir dan juga bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Kesiapsiagaan Bencana Banjir di Balai Bomba dan Penyelamat di Kuching, hari ini.

    Mohammad Hamdan berkata di Sarawak, pangkalan udara JPBM akan berpangkalan di Miri sebagai persediaan jika berlakunya sebarang bencana di kawasan pedalaman sekiranya jalan utama atau jalan darat telah terputus akibat banjir.

    “Kita juga telah mengenal pasti kawasan hotspot yang mempunyai cerun berbahaya. Di Sarawak kita telah kenal pasti ada 77 (cerun berbahaya) dan 97 jalan yang mungkin terputus dan lebih 100 hotspot banjir.

    “Tempat-tempat ini kita akan fokus untuk memberikan bantuan dari aspek pengendalian bencana, pemindahan mangsa dan juga menyelamatkan harta benda,” katanya.

    Tambah Mohamad Hamdan, sebanyak 1,300 orang anggota bomba dari 36 balai bomba di seluruh negeri ini juga telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bencana.

    “JBPM turut bekerjasama serta berkolaborasi dengan agensi-agensi berkaitan sebagai kesiapsiagaan dari aspek tenaga manusia, logistik, maklumat, tugasan lapangan dan sebagainya.

    “Kita (Bomba) akan cuba sebaik mungkin bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat jika berlakunya sebarang bencana,” katanya.

    Beliau juga menasihati orang ramai agar peka dengan segala maklumat terkini mengenai amaran bahaya bencana yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan sebagai langkah berjaga-jaga. – Bernama