Tag: sebat

  • Amang seksual kanak-kanak lapan tahun lelaki dipenjara 7 tahun, sebat

    Amang seksual kanak-kanak lapan tahun lelaki dipenjara 7 tahun, sebat

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Tawau hari ini, atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, dalam sebuah kereta, Oktober lalu.

    Hakim Rosli Ahmad, membuat keputusan itu selepas tertuduh Jumaidi Abdillah Adi Basar, 40, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia lapan tahun dalam sebuah kereta di tepi jalan, belakang sebuah bangunan restoran makanan segera, di Tawau kira-kira pukul 8.30 malam, 20 Oktober lalu.

    Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau didenda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Suhaimi Suriana, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada hari kejadian dilihat menghampiri mangsa yang ketika itu berada di tepi jalan sebuah kedai runcit sebelum menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih yang dipandunya.

    Tertuduh kemudiannya membawa mangsa menuju kawasan belakang bangunan sebuah restoran makanan segera dan melakukan amang seksual terhadap mangsa sebelum meninggalkan mangsa dalam keadaan lemah di kawasan itu, lapor BH.

    Mangsa yang ditemukan oleh orang awam dibawa ke hospital dan hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati empat kesan koyakan baharu pada selaput dara mangsa.

    Hukuman penjara ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 22 Oktober 2022

  • Rogol budak perempuan 12 tahun: Mekanik dijel 7 tahun, sebat

    Rogol budak perempuan 12 tahun: Mekanik dijel 7 tahun, sebat

    SEORANG mekanik dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, kerana merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Amirul Abdullah, 27, yang juga bapa kepada dua anak, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya. 

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 14 Okt lepas.

    Muhammad Amirul mengaku melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di  Flat Puchong Permai di Puchong, dekat sini kira-kira 9.30 malam, 29 Julai tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Ketika rayuan, lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia menyesal dengan tindakannya selain merupakan penanggung utama keluarga.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh kerana perbuatan itu dipandang jijik dan hina oleh masyarakat apatah lagi mangsa ialah kanak-kanak.

    “Saya mohon mahkamah mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak terutama dari jenayah seksual. Saya percaya hasrat kerajaan ini boleh dizahirkan mahkamah hari ini melalui hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh,” katanya. – BERNAMA

  • Rogol kenalan TikTok, lelaki dipenjara tujuh tahun dua sebatan

    Rogol kenalan TikTok, lelaki dipenjara tujuh tahun dua sebatan

    SEORANG lelaki dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur hingga melahirkan anak, bulan lalu.

    Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hazziq Ramdan, 20, selepas menerima pengakuan tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

    Dalam penghakimannya beliau menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

    “Kesalahan yang kamu lakukan ini adalah serius kerana membabitkan mangsa bawah umur 18 tahun yang mengandung dan melahirkan bayi.

    “Saya juga mengambil kira peningkatan kes-kes sebegini di seluruh negara, justeru mahkamah perlu memberikan hukuman tegas sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya, lapor Berita Harian.

    Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa merogol perempuan berusia 17 tahun di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Siantan, dekat Ayer Keroh, pada akhir Februari lalu, kira-kira 3 petang.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan mencium leher, meramas payu dara dan kemaluan mangsa sama di tempat, masa dan pada tarikh sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

    Mengikut fakta kes, mangsa melahirkan bayi di dalam tandas di rumahnya pada 18 November lalu, kira-kira pukul 12 tengah malam dan dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.

    Satu laporan dibuat oleh ibu kandung mangsa (pengadu) berusia 42 tahun di Balai Polis Kandang selepas menguruskan bayi dilahirkan anaknya.

    Pengadu kemudian menerima mesej daripada mangsa yang berada di wad HM memaklumkan dia dipaksa melakukan hubungan seks dengan tertuduh yang dikenali di aplikasi Tik Tok dan tinggal di Pangsapuri Flat Sri Siantan, Bukit Baru, dekat sini.

    Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir untuk siasatan lanjut hingga membawa kepada penahanan suspek pada 23 November lalu di Muar, Johor.

    Terdahulu tertuduh yang beralamat di Taman Tangkak Jaya, Jalan Payamas Tangkak, Johor merayu hukuman ringan atas alasan mahu menjaga mangsa dan bayi terbabit.

    Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asyraf Anuar Sharuddin yang menjalankan pendakwaan bagaimanapun berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh atas dua kesalahan dilakukan.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh dan lima tahun tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua.

    Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 November lalu.

  • Rogol adik ipar: Pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    Rogol adik ipar: Pemandu lori dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

    SEORANG pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 20 kali sebatan, selepas gagal dalam rayuan mengenepikan sabitan atas dua pertuduhan merogol adik iparnya.

    Panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah, menolak rayuan lelaki itu selepas mendapati rayuannya itu tidak mempunyai merit.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan lelaki berusia 33 tahun itu untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 15 tahun kepada 10 tahun bagi setiap sabitan.

    Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Kamaludin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat 10 kali terhadap lelaki itu bagi setiap sabitan dan mengarahkan hukuman itu dijalankan secara berturut-turut, menjadikan lelaki itu dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

    Sebelum ini Mahkamah Sesyen pada 3 Julai 2019 mendapati lelaki itu bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan 20 sebatan kerana merogol seorang remaja berusia 14 tahun dalam dua kejadian berasingan dalam sebuah rumah di Pasir Puteh, Kelantan pada Februari 2018 dan 19 April 2018.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan dan mengarahkan beliau menjalaninya secara berturut-turut.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, iaitu barang siapa melakukan rogol ke atas seseorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan perempuan itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

    Sebelum Mahkamah Tinggi pada 23 Nov tahun lepas, juga menolak rayuan lelaki itu.

    Mengikut bukti dikemukakan pihak pendakwaan, lelaki tersebut merupakan bekas suami kepada kakak mangsa dan pasangan itu telah bercerai enam tahun selepas kejadian rogol itu dilaporkan kepada polis.

    Dalam penyataan pembelaannya, lelaki itu berkata beliau ada bertemu dengan mangsa pada kedua-dua tarikh tersebut, namun menafikan telah merogol remaja itu.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, manakala pembelaan oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Eu Kah Mun. – BERNAMA

  • Penganggur dipenjara 2 tahun, sebat, hanya kerana telefon bimbit

    Penganggur dipenjara 2 tahun, sebat, hanya kerana telefon bimbit

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan selepas merompak seorang wanita.

    Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ali Zainal, 36, selepas lelaki itu mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di Mahkamah Majistret di Kuala Pilah, lapor Harian Metro hari ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu pukul 5.30 petang pada 23 Mei lalu di kaunter sebuah syarikat insuran di Bahau dengan merompak sebuah telefon bimbit jenama iPhone 12 pro.

    Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan seorang wanita berusia 42 tahun dalam ketakutan dan kecederaan boleh berlaku serta merta.

    Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

    Mengikut fakta kes, tertuduh meluru masuk dan menuju ke kaunter dalam keadaan tergesa-gesa sambil memasukkan tangan ke dalam beg sandang yang dibawanya sebelum diminta keluar oleh staf lain namun tertuduh enggan dan berlaku pertengkaran mulut.

    Ini menyebabkan staf di premis berkenaan ketakutan dan terus berlari ke belakang sebelum seorang wanita terlihat tertuduh mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di atas meja kaunter.