Tag: SD

  • 5 ADUN UMNO serah SD sokong Hajiji, kata Shahelmey

    5 ADUN UMNO serah SD sokong Hajiji, kata Shahelmey

    ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya mengesahkan beliau dan empat wakil rakyat UMNO lain menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Hajiji Noor kekal sebagai ketua menteri Sabah.

    Menurutnya, beliau masih ahli UMNO dan menyerahkan kepada parti sekiranya mahu mengambil tindakan terhadapnya.

    “Pendirian saya teguh untuk sokong Hajiji sebagai ketua menteri, tidak berubah kerana bagi saya, bukan waktunya untuk menukar kerajaan buat masa ini.

    “Saya belum menukar kedudukan saya dalam parti, saya masih ahli UMNO dan jika ada sebarang tindakan yang perlu dibuat, saya serahkan kepada parti,” katanya ketika ditanya sama ada tindakannya itu bakal memberi kesan kepada kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putatan mengikut Akta Anti-lompat Parti.

    Selain Shahelmey, empat ADUN UMNO lain yang menandatangani SD itu ialah Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin) dan Arsad Bistari (Tempasuk).

    Shahelmey berkata, beliau belum dipanggil atau bercadang menemui Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin.

    “Saya tidak mendapat maklumat yang beliau akan datang ke Kota Kinabalu dan buat masa ini, tiada apa yang berlaku.

    “Saya juga telah membantah keputusan beliau (Bung) sebelum ini, jadi tidak (akan bertemu dengan Bung),” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, Hajiji mengumumkan beliau memiliki sokongan 44 daripada 79 ADUN Sabah untuk terus kekal sebagai ketua menteri, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin semalam.

    Beliau dilaporkan berkata, rombakan Kabinet negeri akan dilakukan kelak.

    Menurut sumber, Hajiji meminta anggota baharu Kabinet Sabah mengangkat sumpah esok dan sedang menunggu jawapan daripada pihak istana.

  • SD: ‘Nama besar’ UMNO, komponen BN antara 10 MP sokong Muhyiddin

    SD: ‘Nama besar’ UMNO, komponen BN antara 10 MP sokong Muhyiddin

    BEBERAPA pemimpin komponen UMNO dan Barisan Nasional (BN) antara 10 Ahli Parlimen gabungan itu yang menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, menurut sumber.

    Sepuluh Ahli Parlimen berkenaan, yang kini telah menarik sokongan daripada pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu antara lain dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.

    “Ada seorang pemimpin UMNO yang sangat lantang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    “Beliau mengetuai sembilan Ahli Parlimen lain menandatangani SD menyokong Muhyiddin itu. Antara mereka turut termasuk beberapa ‘nama besar’,” kata sumber itu kepada FMT.

    Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lebih lanjut. Difahamkan, nama 10 Ahli Parlimen itu tersebar di media sosial hari ini.

    BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

    Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Presiden MIC SA Vigneswaran berkata 10 Ahli Parlimen BN telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

    Susulan itu, katanya, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat kepada Istana Negara menyatakan bahawa kesemua 30 Ahli Parlimen BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

    Portal itu turut melaporkan hanya 28 daripada 30 Ahli Parlimen BN telah menandatangani aku janji sebelum pilihan raya umum untuk memberi mandat kepada Zahid mengadakan perbincangan bersama mana-mana parti berhubung pembentukan kerajaan.

    BN kini dalam perbincangan dengan PH dan PN mengenai pembentukan kerajaan campuran.

  • Wakil BN tarik balik SD kepada Muhyiddin, surat Ahmad Zahid ditolak

    Wakil BN tarik balik SD kepada Muhyiddin, surat Ahmad Zahid ditolak

    TINDAKAN saat akhir 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik perakuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu hilang majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10).

    Mereka berbuat demikian selepas diarah kepemimpinan parti, susulan pertemuan di antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Lapor Berita Harian, usaha membentuk Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula pada 20 November lalu, apabila Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menulis surat kepada ketua parti yang memenangi banyak kerusi susulan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

    Menerusi surat itu, semua ketua parti dijemput mengemukakan cadangan kepada Istana Negara untuk membentuk kerajaan gabungan dan menamakan calon masing-masing sebagai PM10 dengan tempoh diberikan sehingga 2 petang pada 21 November.

    Pada hari sama juga, Azhar Azizan kemudian menghantar sepucuk lagi surat kepada semua ketua parti itu, meminta Ahli Parlimen masing-masing, menandatangani Perakuan Bersumpah (SD), menyatakan sokongan kepada calon PM10 yang dinamakan mereka.

    Susulan surat speaker itu, PN yang mempunyai 73 Ahli Dewan Rakyat, mengemukakan surat sokongan daripada ketua parti GPS (23); GRS (6) dan KDM (1) berserta 10 wakil BN dan dua Bebas, kepada Istana Negara.

    Langkah itu bagi membuktikan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai PM10, mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Malah, PN turut menambah satu lagi SD sebelum menjadikan kepada 115 sokongan SD sebelum dipanggil menghadap di Istana Negara.

    Bagaimana pun susulan pertemuan di antara kepemimpinan BN dan PH pada pagi 21 November, seramai 10 Ahli Parlimen BN yang dikenal pasti memberi sokongan mereka kepada Muhyiddin diarah membatalkan SD sokongan itu.

    Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya pada malam 21 November, kemudian memutuskan supaya semua wakil rakyat gabungan itu tidak memberi sokongan kepada mana-mana parti yang membentuk kerajaan, sebaliknya akan menjadi pembangkang.

    Langkah 10 wakil BN menarik balik sokongan itu hanya diketahui Muhyiddin ketika beliau bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira 4.15 petang semalam.

    Tanpa SD mencukupi menyebabkan Muhyiddin terlepas peluang dilantik sebagai PM10.

    Pada masa sama, Anwar mengemukakan 86 SD dipercayai merangkumi 82 daripada wakil PH, Warisan (3) dan PBM (1) serta surat sokongan daripada Ahmad Zahid, selaku Pengerusi BN yang mempunyai 30 Ahli Dewan Rakyat.

    Bagaimanapun, tanpa 30 SD ditandatangani semua Ahli Dewan Rakyat BN itu seperti diarahkan dalam surat dihantar Speaker Dewan Rakyat kepada ketua parti, menyebabkan Anwar juga tidak berpeluang memanfaatkan sokongan disuarakan Ahmad Zahid untuk dilantik sebagai PM10 .

    Dalam sidang media petang semalam, Muhyiddin mendedahkan bukti SD dimilikinya ketika dihantar menunjukkan beliau mempunyai sokongan lebih daripada 112 Ahli Parlimen terhadap pencalonannya sebagai PM10.

    Pada masa sama, beliau menjelaskan, langkahnya menolak cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan PH, kerana ia bertentangan prinsip PN sejak ditubuhkan BERSATU dan PAS, yang menolak sebarang kerjasama dengan PH terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH.

    Susulan itu, kegagalan PN dan PH setakat ini, memperoleh sokongan mencukupi majoriti minimum 112 kerusi, menyebabkan tiada mana-mana parti berpeluang membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

    PH dengan 82 kerusi yang dimilikinya, masih berpeluang memperoleh majoriti mudah (112 kerusi) jika dapat menarik sokongan GPS (23 kerusi), GRS (6), Warisan (3), BEBAS (2) dan PBM (1) serta KDM (1).