Tag: sayur

  • KPDNHEP lancar Op Pasar (Sayur 2) ekoran harga melambung

    KPDNHEP lancar Op Pasar (Sayur 2) ekoran harga melambung

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai semalam.

    Op Pasar (Sayur 2) dilancarkan susulan laporan kenaikan harga barangan makanan itu yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran.

    Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat hari pertama, 43 premis dan 131 jenis sayur seperti sawi, kacang buncis, brokoli dan cili merah telah diperiksa meliputi semua peringkat rangkaian pengedaran iaitu pembekal, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

    “Kementerian tidak pernah memandang ringan keluhan pengguna dan peniaga terhadap kenaikan harga barang di pasaran kerana kami juga mempunyai keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang turut merasai tempias ini.

    “Setakat semalam, KPDNHEP telah mengeluarkan 43 notis pengesahan maklumat bertulis dan 40 notis bertulis kepada peniaga bagi mendapatkan pengesahan sama ada wujud unsur pencatutan atau ambil untung berlebihan atas harga jualan sayuran,” katanya ketika ditemui pada program kempen keselamatan pengguna kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Kuala Berang, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga merangkap Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad Azrul Osman Rani.

    Tambah Rosol lagi, bagi notis pengesahan maklumat bertulis, peniaga diberi masa dua hari untuk menjawab manakala untuk notis bertulis, tempoh lima hari diperuntukkan untuk mendapatkan maklum balas.

    Pada masa sama, seramai 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk membuat pemantauan di 1,500 lokasi setiap hari bagi meninjau serta merekodkan perubahan harga sayur-sayuran di pasaran.

    “PPH dan pegawai penguat kuasa kita memang turun padang setiap hari tanpa gagal untuk memantau harga barangan di lapangan dan sentiasa melaporkannya sekiranya berlaku perubahan harga,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dijangka akan memberi maklum balas berhubung saranan kementerian kepada syarikat itu untuk menangguhkan sementara kenaikan harga roti esok.

    Beliau berkata saranan itu disampaikan kepada syarikat berkenaan dalam satu pertemuan pada Jumaat untuk mendapatkan justifikasi mengenai perubahan harga itu.

    “Walaupun begitu, kita juga sedang memikirkan mekanisme untuk membantu mereka (Gardenia (KL) Sdn Bhd) yang turut terkesan dengan peningkatan harga gandum yang membawa kepada kenaikan harga roti. Kita seboleh-bolehnya mahu mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak dan peniaga tidak perlu sampai tutup kilang sementara pengguna juga tidak terbeban dengan kenaikan harga walaupun 10 sen,” katanya. – BERNAMA

  • Kurang pekerja jadi alasan harga sayur naik mendadak

    Kurang pekerja jadi alasan harga sayur naik mendadak

    KEKURANGAN tenaga kerja dikatakan salah satu isu yang menyebabkan harga sayuran melonjak secara mendadak di pasaran ketika ini.

    Sehubungan itu, pekebun dan peniaga sayuran menggesa kerajaan menangani masalah tersebut dan isu-isu lain yang berkaitan.

    Memetik laporan Malaysiakini, Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi 2,000 pekebun di kawasan itu semakin memburuk apabila mereka gagal mengekalkan tenaga kerja sedia ada, walau setelah menaikkan gaji bulanan sebanyak 30 peratus, kepada RM1,800.

    Menurut beliau, sektor perladangan dan pembinaan berdepan masalah kurang tenaga kerja yang sama sejak kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing pada 2018.

    Ee Mong memberitahu, ia ditambah lagi dengan majikan di sektor lain menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja asing ketika pembukaan semula ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Pekerja asing ditawar sehingga RM3,000 sebulan dan pekebun tidak mampu untuk mengikutnya. Sektor perladangan mampu berbuat demikian kerana harga masa depan minyak sawit mentah naik kepada RM5,000 setan.

    “Bagi kami pula, kami telah memohon untuk dapatkan tenaga kerja dan jelaskan semua bayaran yang diperlukan, tapi kami hilang pekerja kerana gaji yang lebih tinggi.”

    “Kami perlukan sehingga empat pekerja bagi setiap ekar kebun. Tanpa tenaga kerja, kami terpaksa kurangkan pengeluaran,” katanya, sambil berkata isu tersebut perlu diselesaikan kerana tidak adil buat pekebun yang tidak dapat bersaing dengan pemain yang mempunyai kemampuan kewangan yang lebih kuat dalam sektor pembinaan dan perladangan,” katanya kepada Malaysiakini.

    Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini membangkitkan kebimbangan selepas mendapati harga sejumlah sayuran meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu lalu.

    Ee Mong menambah, satu lagi faktor di sebalik kenaikan harga mendadak adalah cuaca yang buruk, dengan pekebun terpaksa berdepan dengan hujan lebat, cuaca mendung, suhu rendah dan tanah runtuh di Cameron Highlands.

    “Cuaca buruk mengurangkan lagi kapasiti pengeluaran kami dan menjejaskan kualitinya. Cuaca tidak menentu adalah fenomena seluruh dunia yang telah melanda negara pengeluar sayuran di rantau ini.

    “Kami juga terkesan dengan peningkatan kos material plastik kerana kami sangat bergantung kepadanya untuk melindungi sayuran daripada hujan lebat dan ia perlu ditukar setiap tiga atau empat tahun. Harganya naik sehingga RM200,000 untuk setiap ekar kebun berbanding RM130,000 sebelum ini,” katanya.

    Beliau berkata, masalah semakin bertambah akibat kenaikan harga racun perosak dan baja import.

    Katanya, kenaikan itu selepas langkah pencatuan elektrik di Cina, yang memberi kesan kepada industri pembuatan di sana.

    “Misalnya baja urea yang kami import dari China – harga urea global naik daripara RM1,000 kepada RM,4,000, dan kami terus berdepan kekurangan bekalan baja yang berlaku di seluruh dunia.

    “Kami diberitahu harga baja akan terus naik tahun depan,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt menyalahkan keadaan cuaca buruk sejak November untuk kenaikan harga sayuran.

    Beliau menjangka harga akan kekal tinggi sehingga musim perayaan Tahun Baharu Cina awal tahun depan.

    “Walaupun pada masa lalu musim tengkujuh akhir tahun memang akan memberi kesan terhadap pengeluaran sayuran, cuaca mutakhir ini lebih buruk dengan mendung dan hujan lebat setiap hari.

    “Pengeluaran sayur berkurangan sebanyak 30 hingga 50 peratus dengan fotosintesis yang baik tidak berlaku, dan menyebabkan kenaikan harga terutamanya sayuran hijau.

    “Ketika musim hujan, lebih banyak sayuran yang rosak dibuang. Ini akan dianggap sebagai kos oleh peniaga,” katanya lagi.

    Namun, Keng Fatt berkata, tidak semua sayuran berdepan kenaikan harga, dengan berkata harga borong untuk kacang, labu dan tomato kekal sama atau telah berkurangan.

    Pada masa yang sama beliau mengakui bahawa harga sayuran import kini lebih mahal susulan penurunan pengeluaran di negara seperti China, Thailand dan Vietnam.

    “Negara-negara ini sama ada terjejas akibat cuaca sejuk atau banjir,” katanya lagi.

    Sementara itu, seorang penjual sayuran yang hanya ingin dikenali sebagai Tan berkata, kos pengeluaran hiliran yang lebih tinggi memaksa penjual menjual lebih separuh sayuran mereka di pasar di Lembah Klang.

    “Mengapa saya kata begitu? Penjual biasanya dapatkan bekalan sayuran di pasar borong, berbeza dengan pasar raya yang mendapatkannya terus dari kebun,” kata Tan yang memiliki gerai di pasar Jalan Klang Lama.

    “Misalnya sawi pendek, harga naik sehingga RM8 sekilogram berbanding Oktober. Harga kubis bunga import naik sehingga RM13 hingga RM20, berbanding dengan RM6 sekilogram sebelum ini.

    “Malah, harga sayur kekal tinggi ketika wabak COVID-19 atas pelbagai sebab, dan kali ini sebabnya adalah cuaca buruk.

    “Ada pelanggan yang faham keadaan yang kami hadapi dan melawak yang ‘sekarang lebih mahal untuk beli sayur berbanding beli ikan dan daging’,” keluhnya.

    Terdahulu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beberapa pelan tindakan sedang dirangka untuk membantu industri yang berdepan masalah peningkatan kos pengeluaran.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mengumumkan peruntukan sebanyak RM262 juta untuk membantu peladang dan petani yang terkesan dengan kenaikan harga racun perosak dan baja.

    Ia termasuk RM200 juta untuk pinjaman agromakanan tanpa faedah serta moratorium pembayaran selama enam bulan, serta RM62 juta untuk insentif dan subsidi padi.

  • Harga sayur tak naik sampai 200 peratus – KPDNHEP

    Harga sayur tak naik sampai 200 peratus – KPDNHEP

    HASIL siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga sayur dikatakan meningkat hingga 200 peratus tidak berlaku seperti didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Selasa lepas.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata hasil siasatan pegawai penguat kuasa kementerian turut mendapati persatuan itu tidak dapat menentukan lokasi berlaku kenaikan harga itu.

    “(Mengenai) harga sayur yang dikatakan hingga 200 peratus kenaikan, tetapi hasil siasatan kita mendapati bahawa bila kita tanya di mana ia berlaku, tidak ada.

    “…bila pegawai penguat kuasa kita ke lapangan untuk melihat dan meninjau apa yang dimaklumkam, jadi bila tanya CAP mereka tidak boleh tentukan di mana, cuma mereka kata hanya cakap-cakap,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

    Bagaimanapun Rosol berkata kajian daripada pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP mendapati memang berlaku kenaikan harga sayur tetapi tidak setinggi didakwa.

    Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen ketika sesi perbahasan membangkitkan isu mengenai kenaikan harga barang seperti sayur dan roti yang dikatakan begitu tinggi sehingga memberi kesan kepada rakyat.

    Sehubungan itu, Rosol menyeru rakyat supaya memaklumkan kepada saluran KPDNHEP seperti di portal e-Aduan sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga barang yang mendadak supaya pegawai penguat kuasa dapat memantau dan mengambil tindakan secepat mungkin.

    Mengenai isu kenaikan harga roti oleh syarikat pengeluar roti terkemuka negara pada 1 Dis ini, beliau berkata kementerian akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti perkara itu.

    “… sehingga hari ini, ia (syarikat pengeluar roti itu) tidak memaklumkan kepada kementerian untuk menaikkan harga (roti),” katanya.

    Seramai 17 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu.

    Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,094,676,700 yang diperuntuk kepada KPDNHEP dalam Bajet 2022 dengan lebih suara menyokong.

    Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. – BERNAMA