Tag: saringan

  • Saringan Covid-19 sebelum akad nikah di P Pinang

    Saringan Covid-19 sebelum akad nikah di P Pinang

    PASANGAN yang bakal menjalankan akad nikah di pejabat agama daerah (PAD) di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri 30 minit sebelum majlis berlangsung berkuat kuasa hari ini dan hanya pasangan yang didapati negatif dibenarkan untuk melangsungkan akad nikah.

    Perkara itu antara garis panduan terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di negeri berkenaan.

    Selain pengantin lelaki dan perempuan, wali dan saksi nikah juga diwajibkan untuk menjalani saringan Covid-19 sekurang-kurangnya menggunakan kit ujian kendiri.

    Pengarah JHEAIPP, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, pasangan pengantin yang diterima bagi tujuan akad nikah pula tidak boleh melebihi 10 orang setiap hari bagi setiap PAD.

    Jelasnya, pasangan pengantin yang tidak mendapat kebenaran untuk merentas daerah atau negeri pula boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.

    “Selain itu kesemua pihak perlu mematuhi tarikh dan masa yang ditetapkah oleh PAD antaranya tempoh masa pelaksanaan akad nikah tidak melebihi 30 minit.

    “Majlis boleh dibatalkan sekiranya ada pihak yang gagal hadir pada masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu kata beliau, kehadiran bagi majlis akad nikah dihadkan kepada tujuh orang sahaja  termasuk pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi, ayah atau ibu pengantin lelaki dan jurugambar.

    Tambahnya, semua permohonan perkahwinan luar negeri diterima dan hanya permohonan yang lengkap akan diproses.

  • 53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    53,571 pekerja industri di Selangor positif Covid-19 sejak Julai

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini bahawa, setakat ini seramai 53,571 orang pekerja industri telah dikenal pasti positif COVID-19 sejak Julai, melalui saringan yang dijalankan di tempat kerja masing-masing.

    Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan yang dijalankan itu adalah melalui pihak majikan sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja, kontak rapat kepada rakan kerja yang positif, dan saringan kendiri pekerja itu sendiri di fasiliti kesihatan swasta.

    “Daripada jumlah pekerja industri yang dinyatakan, 62 peratus adalah terdiri dari pekerja di sektor perkilangan (33,214 orang); 14.5 peratus adalah terdiri dari sektor perkhidmatan (7,768 orang); 13.5 peratus pekerja sektor pembinaan (7,232 orang) dan 10 peratus pekerja di sektor perdagangan (5,357 orang).

    “Secara kasarnya, jumlah tersebut meliputi 17.1 peratus kes yang dikenal pasti di Selangor adalah pekerja daripada (sektor) industri,” katanya yang menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang), yang ingin mengetahui jumlah individu yang disyaki dijangkiti dalam sektor industri semasa mereka bekerja.

    Dalam pada itu Amirudin berkata, sebanyak 79 buah kilang sektor pembuatan telah diberikan arahan penutupan, di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 disebabkan melakukan tiga atau lebih kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard akta tersebut, mulai 13 Julai sehingga 23 Ogos oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    “Arahan penutupan ini dikeluarkan selama tempoh tujuh hari dan pemilik industri turut diberikan arahan kerja serta penambahbaikan, untuk diselesaikan dalam tempoh penutupan tersebut,” katanya.- BERNAMA