Tag: sarawak

  • PKR lantik Pengerusi MPN Sabah, Sarawak

    PKR lantik Pengerusi MPN Sabah, Sarawak

    PKR hari ini mengumumkan pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah dan Sarawak bagi penggal 2022 hingga 2025.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berkata, di Sarawak jawatan itu akan disandang oleh Ketua Cabang, Baram Roland Engan manakala MPN Sabah dipengerusikan oleh Ketua Cabang Keningau, Datuk Dr Sangkar Rasam.

    “Saudara Roland akan menggerakkan MPN bersama Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang juga Ketua Cabang Hulu Rajang, Abun Sui Anyit bagi memantapkan PKR di Sarawak.

    “Datuk Dr Sangkar Rasam pula akan menjalankan tugas dalam satu pasukan bersama Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari dan Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Datuk Christina Liew,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi miliknya. – Bernama

  • [VIDEO] Serpihan roket China lintas ruang udara Malaysia

    [VIDEO] Serpihan roket China lintas ruang udara Malaysia

    KEMASUKAN semula serpihan (debris) roket Long March 5B milik China ke ruang udara bumi dikesan berlaku pada 12.55 pagi (31 Julai), demikian menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

    MYSA menerusi pemantauan berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan kenyataan Agensi Angkasa China memaklumkan serpihan roket berkenaan telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar itu turut melintasi ruang udara Malaysia dan dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk ruang udara Sarawak.

    “Sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur, hari ini,” menurut MYSA dalam kenyataan hari ini.

    Tular di media sosial mengenai perkongsian warga maya mengenai rakaman video dipercayai serpihan roket berkenaan yang berlaku di Kuching, Sarawak awal pagi tadi. – BERNAMA

  • Lelaki maut dibaham buaya

    Lelaki maut dibaham buaya

    SEORANG pemuda ditemukan maut dibaham buaya awal pagi tadi selepas dilaporkan hilang ketika memancing di Kampung Seberang Meludam, Saratok, Kuching, semalam.

    Mayat mangsa, Abang Mohd. Norazat Abang Salim, 27, ditemui terapung oleh bapanya sendiri bersama tiga lagi penduduk kira-kira pukul 2 pagi berdekatan loji air Meludam di kawasan hulu sungai yang terletak sejauh 2.1 kilometer daripada Pusat Kawalan Bomba (PKB).

    Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pemeriksaan mendapati terdapat kesan gigitan buaya di muka mangsa.

    “Mayat mangsa juga dalam keadaan tidak sempurna apabila kedua-dua kaki serta tangannya hilang. Ia kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Berita Harian.

    Sebelum itu, mangsa dikatakan keluar memancing di tebing sungai kira-kira pukul 3 petang namun tidak pulang ke rumah hingga malam, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

    Polis kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok pada pukul 7.25 pagi semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan menumpukan pencarian di sepanjang Sungai Meludam.

    Pasukan itu hanya menemui kasut serta peralatan memancing serta kasut milik mangsa di tepi sungai dan seekor buaya bersaiz besar turut dilihat berdekatan lokasi itu.

    Sarawak Forestry Corporation (SFC) turut dimaklumkan berhubung penemuan buaya itu kerana dikhuatiri mengancam keselamatan pasukan SAR.

  • Kapal bawa pasir karam, dua pekerja hilang

    Kapal bawa pasir karam, dua pekerja hilang

    DUA pekerja sebuah kapal membawa muatan pasir hilang sementara dua orang lagi berjaya diselamatkan selepas kapal berkenaan karam di Sungai Batang Igan berdekatan Kampung Bungan Kecil, kira-kira 45 km dari Sibu dari awal pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, identiti dua mangsa yang hilang itu masih belum dikenal pasti namun mereka dianggarkan berumur dalam lingkungan 20-an, sementara yang selamat berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an.

    Beliau berkata, PGO Sarawak menerima laporan dari Balai Polis Sungai Merah pada pukul 6.05 pagi menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah telah digerakkan ke lokasi.

    “Semasa kejadian pelapor sempat menyelamatkan dua orang pekerja kapal dan dipercayai ada dua lagi pekerja kapal itu masih berada di dalam kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan pasukan siasatan masih berada di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • PBB bukan lagi parti kampung – Abang Johari

    PBB bukan lagi parti kampung – Abang Johari

    PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah berjaya mengatur langkahnya dalam membawa Sarawak ke era pembangunan yang seiring dengan perkembangan semasa dunia.

    Presidennya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, parti itu kini tidak lagi terhad kemampuannya dalam memperjuangkan isu tempatan negeri tetapi sedang memacu potensi baharu yang boleh meningkatkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa.

    “PBB bukan lagi parti kampung. PBB hari ini melangkah satu langkah ke hadapan seiring dengan apa yang berlaku di dunia… dunia telah mengiktiraf potensi Sarawak di Malaysia,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan PBB kali ke-15 di Kuching hari ini.

    Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, PBB telah melalui beberapa cabaran getir sewaktu beliau mengambil alih tampuk kepimpinan namun dengan niat ikhlas untuk memastikan negeri ini terus maju, cabaran berkenaan telah berjaya diatasi.

    Ini termasuk menghadapi ketidaktentuan politik nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dengan PBB bersama-sama pimpinan tiga parti tempatan lain di Sarawak mengambil keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN).

    Abang Johari berkata, tindakan yang dibuat PBB bersama-sama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membolehkan mereka membuat keputusan tanpa terikat dengan konsensus yang perlu diikuti sewaktu masih dalam BN.

    Menurutnya, ini turut membawa PBB memperjuangkan agenda ‘Sarawak Diutamakan’ dengan lebih berkesan khususnya dalam mendapatkan kembali hak-hak negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

    Katanya, beberapa kejayaan dalam mendapatkan kembali hak-hak tersebut telah ditempa dalam tempoh lima tahun lepas yang membolehkan Sarawak meningkatkan pendapatannya seterusnya digunakan untuk membantu seluruh rakyat negeri ini.

    Beliau berkata, pendapatan yang meningkat juga membolehkan kerajaan GPS membuat perancangan pembangunan jangka panjang termasuk cadangan menubuhkan dana berdaulat untuk manfaat rakyat Sarawak.

    “Daripada sumber yang kita ada, kita tambah nilai kepada sumber kita (untuk meningkatkan pendapatan) dan seterusnya kita bangunkan seluruh Sarawak. Niat mesti betul. Tuhan akan menolong orang yang mempunyai niat yang betul. Tapi kalau niat tak betul, Tuhan pun memerhati kita juga,” katanya. – BERNAMA

  • Tiket harga kayangan, aktivis pengguna bidas syarikat penerbangan

    Tiket harga kayangan, aktivis pengguna bidas syarikat penerbangan

    KENAIKAN harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching pada tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianggap melampau dibidas oleh aktivis pengguna, Patrick Sindu.

    Memetik laporan FMT, beliau menyifatkan harga yang dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan adalah terlalu tinggi.

    Sehubungan itu, Patrick merayu kepada syarikat penerbangan supaya bersimpati dengan orang ramai yang tidak dapat melakukan perjalanan selama dua tahun kerana pandemik COVID-19.

    “Ini tidak adil kepada orang ramai yang ingin pulang bertemu keluarga di Sabah atau Sarawak. Syarikat penerbangan mesti mempunyai tanggungjawab sosial, terutama dalam mengambil kira kesan COVID-19.

    “Pengguna masih belum pulih daripada pandemik dan oleh itu kuasa beli mereka mungkin tidak ada untuk kebanyakan perkara, apatah lagi tiket penerbangan yang terlalu mahal,” jelasnya.

    Minggu lalu, Bernama melaporkan tiket pergi balik itu meningkat sebanyak 566 peratus bagi tempoh perayaan bermula 29 April hingga 8 Mei.

    November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa syarikat penerbangan menyelesaikan isu harga tiket mahal ke Sabah dan Sarawak terutamanya ketika cuti akhir tahun dan musim perayaan.

    Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak akan menetapkan harga siling kerana memahami keadaan syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik.

    Patrick menambah, lonjakan harga itu akan menjejaskan usaha kerajaan untuk merangsang ekonomi kerana ia akan menghalang orang ramai daripada melakukan perjalanan walaupun sempadan negara dibuka semula.

    Beliau menggesa supaya Putrajaya mewujudkan satu sistem untuk mengawal harga, terutamanya untuk rakyat Malaysia.

    “Jika syarikat penerbangan tidak dapat menurunkan harga mereka kepada kadar yang boleh diterima, maka lebih baik untuk membuka ruang udara. Saya pasti ada syarikat penerbangan yang berminat untuk menyediakan laluan ini.” katanya,

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan bersimpati dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang ingin bertemu keluarga selepas sekian lama berjauhan namun kini berdepan ‘satu lagi halangan’.

    “Anda (syarikat penerbangan) boleh menjalankan perniagaan dan menjana keuntungan, tetapi jangan bersikap kejam terhadap pengguna,” katanya.

  • Kanak-kanak rentung dalam kebakaran, warga emas melecur

    Kanak-kanak rentung dalam kebakaran, warga emas melecur

    SEORANG kanak-kanak lelaki rentung sementara seorang lelaki warga emas melecur 30 peratus di bahagian belakang badannya, dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah kediaman di Kampung Masjid, Kuala Baram dekat sini petang tadi.

    Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Muhd Ikram Abdullah, 12, di mana mayatnya ditemukan di bawah timbunan zink rumah berkenaan, apabila kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira pukul 6.21 petang.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata, warga emas berusia 60 tahun itu, merupakan di antara tujuh penghuni rumah berkenaan yang berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

    “Sebaik saja panggilan kebakaran diterima pada jam 4.59 petang, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dengan kekuatan 10 anggota, satu jentera serta tiga kenderaan bomba digerakkan ke lokasi,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Selain itu, lapan anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral turut berkejar ke tempat kejadian, yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai berkenaan. Punca kebakaran itu masih lagi dalam siasatan. – BERNAMA

  • Sarawak tetap tuntut peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen

    Sarawak tetap tuntut peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen

    SARAWAK akan tetap menuntut diberi satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen tanpa mengira sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat atau tidak.

    Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata, ini kerana perkara tersebut adalah antara hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    “Sama ada (dapat dipenuhi tuntutan) sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya itu saya tak tahu, tapi kita memang sentiasa bawa perkara ini ke atas, ke peringkat yang tertinggi dan di Parlimen,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ‘Let’s Talk With Wanita Pemadam’ sempena Sambutan Hari Antidadah Pemadam Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya di Kuching hari ini.

    Sharifah Hasidah malahan mengalukan sekiranya tuntutan Sarawak terbabit boleh dipenuhi kerajaan Persekutuan sebelum ketibaan PRU15.

    “Kalau tidak (dipenuhi tuntutan terbabit sebelum PRU15) kita akan teruskan juga sampai bila-bila perjuangan kita ini,” katanya. – BERNAMA

  • Gelaran Premier bukan langkah megah diri – Abang Jo

    Gelaran Premier bukan langkah megah diri – Abang Jo

    PERUBAHAN gelaran Ketua Menteri Sarawak kepada ‘Premier’ bukan satu langkah untuk megah diri, kata Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Ketua Menteri itu berkata, langkah tersebut bagi membezakan status Sarawak daripada negeri lain dalam persekutuan.

    “Saya hanya ingin mengatakan bahawa ia bukan mengagungkan diri sendiri dan juga sesuatu yang boleh dibanggakan.

    “Kerajaan negeri berpandangan bahawa gelaran ketua kerajaan (Sarawak) perlu berbeza daripada negeri-negeri lain dalam persekutuan.

    “(Perubahan jawatan adalah untuk) menekankan bahawa Sarawak berbeza daripada negeri lain di Malaysia, bukan untuk saya tetapi untuk Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Tahun Perpaduan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Sarawak di Miri, malam tadi.

    Pada 15 Feb, Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ dengan majoriti lebih dua pertiga ahli dewan menyokongnya.

    Pindaan itu juga melibatkan pertukaran gelaran ‘Menteri Muda’ kepada ‘Timbalan Menteri’.

    Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang membentangkan rang undang-undang tersebut berkata pindaan gelaran jawatan Ketua Menteri kepada ‘Premier’ itu hanya akan berkuat kuasa selepas diwartakan. – BERNAMA

  • PICKids: 15 peratus ibu bapa Sarawak tak setuju

    PICKids: 15 peratus ibu bapa Sarawak tak setuju

    SEBANYAK 15 peratus daripada 40,000 responden dalam kalangan ibu bapa di Sarawak tidak bersetuju dengan Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hasil tinjauan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dari 26 hingga 31 Jan itu mendapati sebanyak 59.7 peratus sangat bersetuju manakala 25.3 peratus tidak pasti.

    Beliau berkata, antara sebab utama responden tidak setuju atau tidak pasti adalah kerana kerisauan berkenaan komplikasi yang bakal berlaku selepas mengambil vaksin.

    “Ada juga yang risau berkenaan keselamatan vaksin dan mahu memilih jenis vaksin yang diberikan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kepada pemberita selepas majlis pelancaran PICKids peringkat Sarawak di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching hari ini.

    Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 517,107 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin Pfizer COVID-19 setakat 1 Feb.

    Menurutnya, angka itu merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

    Sementara itu, Uggah berkata, 272,500 orang kanak-kanak berumur 5 hingga kurang 11 tahun di Sarawak yang layak untuk PICKids.

    “Kita menyasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak dan di dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh 2 bulan dari sekarang,” katanya. – BERNAMA