Tag: Sany Hamzan

  • Dewan Rakyat gamat kerana kenyataan ‘perangai macam kera’

    Dewan Rakyat gamat kerana kenyataan ‘perangai macam kera’

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas perang mulut tercetus antara Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung kenyataan ‘perangai macam kera’.

    Kekecohan itu berlaku ketika Shahidan mengakhiri perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 dan berkata: “Saya kesal dengan Hulu Langat yang perangai lebih teruk daripada kera di hutan,” katanya merujuk Sany yang kerap mengganggu perbahasannya.

    Lapor Malaysiakini, Ahli Parlimen Amanah itu yang tidak berpuas hati kemudiannya meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengarahkan Shahidan menarik balik kenyataannya itu.

    “Sepatutnya orang lama bagi contoh, bagi contoh (yang baik), minta tarik balik perkataan itu, sepatutnya Arau bagi contoh kepada kami yang baharu ini,” katanya.

    Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) tampil mempertahankan Shahidan dengan berkata, sikap Sany yang sebenarnya menimbulkan masalah.

    Kedua-duanya terus berbalah dengan Misbahul berulang kali meminta Sany mengubah perangainya.

    Melihatkan keadaan tidak terkawal, Johari masuk campur dan bertanyakan Shahidan adakah beliau menggelar Sany “kera”.

    “Tidak. Saya hanya cakap jangan berperangai seperti kera di hutan. Ini dibenarkan (di Parlimen),” kata Shahidan.

    Johari bagaimanapun tidak mengambil tindakan lanjut dan sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) membahaskan belanjawan itu.

  • Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang – Shahidan

    Sany tak layak jelaskan isu peruntukan MP pembangkang – Shahidan

    AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tidak layak memberi penjelasan berhubung isu peruntukan kerajaan yang didakwa tidak diterima oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

    Tegas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim, penjelasan sebaiknya perlu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau juga mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah memperoleh peruntukan, sebaliknya tidak bagi Ahli Parlimen pembangkang.

    “Saya mendapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan. Tetapi hingga ke hari ini, tiada peruntukan diterima oleh pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

    “Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan dari YAB Perdana Menteri. Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

    Beliau turut meminta supaya peruntukan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen kerajaan turut diterima Ahli Parlimen pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.

    “Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” katanya lapor BH.

    Mohd Sany semalam mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan isu peruntukan itu, dengan mendakwa Ahli Parlimen Arau itu cuba ‘memancing’ dan menekan Kerajaan Perpaduan supaya mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil Kerajaan menerusi Belanjawan 2023.

    Beliau juga menyifatkan tuduhan Shahidan itu bersifat melulu dan berniat jahat, sambil mengucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu.