Tag: sanusi md nor

  • ‘Hari ini hari aman’ – Sanusi

    ‘Hari ini hari aman’ – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Alor Setar hari ini berlangsung dengan baik.

    “Hari ini hari aman,” katanya ringkas ketika disapa semasa menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan di Hotel Raia.

    Muhammad Sanusi hadir ke rumah terbuka itu bagi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berangkat sama.

    Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet dan kepimpinan lain.

    Sebelum ini, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani menjadi polemik antara kerajaan dan pembangkang apabila pertama kali dianjurkan di Kedah dan lima lagi negeri berbanding kelaziman di Seri Perdana, Putrajaya.

    Semalam, Muhammad Sanusi mengesahkan akan hadir ke rumah terbuka tersebut setelah Sultan Kedah berkenan berangkat memenuhi undangan Kerajaan Persekutuan.

    Rumah terbuka itu turut mendapat perhatian pemantau pilihan raya, Bersih yang meminta undang-undang penggunaan sumber kerajaan diperketat ekoran kontroversi penganjurannya yang didakwa berunsur politik.

    Pengerusi Bersih, Thomas Fann dilaporkan berkata, penganjuran majlis rumah terbuka raya di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bukan satu kebetulan.

  • Sanusi iringi Sultan Kedah ke Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani esok

    Sanusi iringi Sultan Kedah ke Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani esok

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dijadualkan akan hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang bakal turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Raia, Alor Setar, esok.

    Setiausaha Akhbarnya, Muhamad Mat Yakim berkata, kehadiran Muhammad Sanusi ke majlis itu bagi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

    “‘MB’ Kedah dijadual hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani mengiringi Sultan Kedah esok,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat melalui aplikasi Whatsapp, hari ini.

    Dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon semalam, Muhammad Sanusi berkata beliau akan tetap menghadiri majlis itu bagi mengiringi Sultan Kedah sekiranya baginda berkenan berangkat ke majlis tersebut.

    Menerusi kenyataan dikeluarkan pagi tadi, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Sultan Kedah berkenan bercemar duli ke majlis rumah terbuka tersebut.

  • Rumah Terbuka MB Kedah diserbu 50,000 pengunjung

    Rumah Terbuka MB Kedah diserbu 50,000 pengunjung

    KEDIAMAN rasmi Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon dibanjiri orang ramai sejak pukul 11 pagi bersempena Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah, hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, suasana pekarangan Seri Mentaloon dipenuhi orang ramai yang hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dijadual berakhir pada 4 petang.

    Sebanyak 28 menu disajikan kepada pengunjung yang dijangka mencecah 50,000 orang.

    Muhammad Sanusi ketika ditemui menyatakan rasa gembira dengan kehadiran 30,000 pengunjung setakat jam 1 tengah hari tadi.

    “Kehadiran di luar jangka hingga menu makanan ditambah lagi untuk jangkaan 10,000 hingga 15,000 orang lagi.

    “Ini membuktikan serangan terhadap saya sebelum ini tidak beri kesan negatif, sebaliknya mendapat sambutan baik,” katanya.

    Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

    Muhammad Sanusi juga menyifatkan sambutan luar jangka ini sebagai petanda baik kepada Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.