Tag: Sandakan

  • Mayat remaja perempuan ditemui dalam semak, dipercayai dibunuh

    Mayat remaja perempuan ditemui dalam semak, dipercayai dibunuh

    MAYAT seorang remaja perempuan ditemukan dalam satu kawasan semak selepas dipercayai dibunuh dalam kejadian di perkampungan setinggan Kampung Forest, Sandakan.

    Mayat remaja berusia 15 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

    Menurutnya, sebaik tiba polis menemui mayat remaja perempuan itu dalam kawasan semak dan berlumpur.

    “Siasatan awal mendapati mangsa mati dibunuh dan mayatnya dibawa ke Bilik Mayat Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.

    Susulan itu, 12.30 tengah hari, dua jam lebih kemudian polis menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 22 tahun berhampiran lokasi kejadian.

    “Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi polis bagi membantu siasatan lapor Astro AWANI.

  • Rokok, arak hampir RM8 juta dirampas

    Rokok, arak hampir RM8 juta dirampas

    SINDIKET penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai hampir RM8 juta tumpas dalam serbuan Op Kontraban di tiga lokasi di Sandakan, Sabah kelmarin.

    Serbuan oleh pasukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan itu turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 29, 37 dan 45 tahun.

    Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, serbuan ke atas dua gudang dan sebuah rumah yang menemukan rokok pelbagai jenama dianggarkan RM5,950,740.09.

    “Pasukan serbuan merampas minuman keras, juga tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan RM1,714,437.

    “Hasil serbuan itu juga merampas dua van dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan berkenaan, dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM7,915,177.45,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Idris berkata, siasatan mendapati tiga suspek yang ditahan adalah penjaga premis dan pemandu, yang dipercayai aktif dengan kegiatan penyeludupan berkenaan.

    Katanya, rampasan dan tahanan diserahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyem 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

  • Air pasang besar: Penduduk pesisir pantai Sandakan diminta kosongkan rumah

    Air pasang besar: Penduduk pesisir pantai Sandakan diminta kosongkan rumah

    PENDUDUK di pesisir pantai Sandakan, Sabah dinasihatkan supaya mengosongkan rumah masing-masing sebelum pukul 6 petang ini, susulan fenomena air pasang besar yang berlaku di sekitar daerah sini semalam, dijangka akan berlaku sekali lagi malam ini dan malam esok.

    Ketua Polis Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata Jabatan Meteorologi juga telah mengeluarkan amaran hujan berterusan di kawasan sekitar sini hingga esok.

     “Saya telah meninjau beberapa tempat yang berisiko dan menasihatkan penduduk supaya berpindah ke rumah saudara mara atau ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan dikenal pasti di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 di sini hari ini.

    Kira-kira 100 rumah di Kampung Forest di sini rosak akibat fenomena air pasang besar yang berlaku sejak kira-kira pukul 10 malam tadi menjejaskan lebih 300 penduduk, dan kebanyakan mangsa ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2.

    Selain Kampung Forest, beliau berkata Kampung Tinusa 2 dekat sini juga mengalami air pasang dan ombak kuat malam tadi, namun tidak melibatkan kerosakan rumah.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong berkata beliau akan berjumpa dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi meminta unit Program Perumahan Rakyat (PPR) yang kosong untuk digunakan sebagai tempat tinggal sementara bagi mangsa berkenaan.

    “Mangsa tidak ada tempat tinggal dan PPS bukan solusi jangka masa panjang. Saya difahamkan ada rumah PPR yang belum didiami boleh digunakan sementara mangsa mencari rumah lain,” katanya.

    Suri rumah Nurita Mohammad Jara, 35 memberitahu beliau bersama keluarganya dan jiran lain mulai berpindah dari rumah mereka pukul 8 malam tadi, dan paras air mulai meningkat serta berombak ketika itu.

    Ali Osman Isnani, 62, pula berkata pukulan ombak kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini, dan beliau sendiri melihat beberapa rumah berlanggar dengan rumah lain selepas dipukul ombak.

    “Apabila keadaan semakin pulih, saya cuba balik ke rumah dalam pukul 2.30 pagi, tetapi dihalang oleh pihak polis kerana keadaan berbahaya.

    “Memang sedih sebab tahun-tahun dulu tidak seteruk ini, tetapi saya bersyukur keluarga dan penduduk selamat semua,” katanya. – BERNAMA

  • 105 rumah roboh dipukul ombak, 96 keluarga terjejas

    105 rumah roboh dipukul ombak, 96 keluarga terjejas

    SEKURANG-kurangnya 105 rumah dilaporkan roboh dipukul ombak ketika fenomena air laut pasang besar berlaku di dua kampung di Sandakan, Sabah malam tadi.

    Lebih 200 mangsa dilaporkan terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, membabitkan Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua.

    Sebahagian rumah yang roboh dipukul ombak di Kampung Forest, Sandakan, malam tadi. Foto MEDIA SOSIAL

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan media, pagi ini memaklumkan, dianggarkan 100 rumah roboh di Kampung Forest.

    Katanya, sebanyak 500 rumah lain turut terancam dalam kejadian berkenaan.

    “Lima rumah turut roboh di Kampung Tinusa Dua dan 20 lagi dilaporkan terancam.

    “Namun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata kejadian itu membabitkan lebih 200 mangsa daripada 96 keluarga.

    “Semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kebangsaan (SMK) Sungai Anib Dua.

    “Namun, pecahan mangsa belum dikenal pasti dan proses pemindahan masih dijalankan,” katanya.

  • ‘Aku sudah sah Islam’- Pesakit Covid

    ‘Aku sudah sah Islam’- Pesakit Covid

    SEORANG pesakit COVID-19 yang memeluk Islam di katil hospital tempatnya menerima rawatan, melahirkan kegembiraan dengan agama baharunya itu.

    “Aku sudah sah Islam,” kata Laimi @ Nur Laila Tinggi, 66, yang berketurunan Dusun dan dilahirkan dalam agama Kristian dari Beluran.

    Itulah reaksinya selepas memeluk agama Islam, seperti yang dikongsikan oleh anak sulungnya Firdaus Fringco Abdullah, 45.

    Sebuah video berdurasi dua minit yang memaparkan Nur Laila mengucap dua kalimah syahadah ketika terbaring di atas katil dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan, di hadapan tiga jururawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini, tular sehingga mengundang tanggapan netizen bahawa dia memeluk Islam tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

    “Kami (keluarga) membuat panggilan video minggu lepas dan pada masa itu ibu menyatakan niatnya (untuk memeluk Islam) yang menyentuh hati kami,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

    Firdaus berkata beliau membuat hantaran dalam Facebook untuk menjelaskan tanggapan yang timbul mengenai keadaan ibunya ketika menerima rawatan di HDOK.

    “Saya rasa bertanggungjawab untuk menjelaskan hal itu menerusi Facebook kerana ibu saya masih mempunyai saudara-mara yang bukan Muslim.

    “Ibu pernah menyatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam kerana empat daripada lima anaknya serta beberapa adik-beradiknya juga telah memeluk Islam,” katanya.

    Firdaus berkata beliau telah menghubungi seorang pegawai di hospital itu memohon sekiranya ibunya boleh dibimbing untuk mengucap dua kalimah syahadah di atas katil hospital dan kira-kira 4 petang 9 Sept lepas ibunya sah bergelar saudara baharu.

    Beliau berkata Nur Laila yang menghidap penyakit buah pinggang dan telah melengkapkan vaksinasi COVID-19, dimasukkan ke hospital pada 4 Sept dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

    “Alhamdulillah, ibu saya semakin pulih dengan tiada lagi batuk dan dia juga boleh merasa makanan sekarang.

    “Ibu tidak ditidurkan dan tidak dirawat di unit rawatan rapi,” katanya.

    Firdaus berkata ibunya belum lagi dibenarkan keluar dari hospital dan masih dalam pemantauan berikutan keadaan buah pinggangnya.

    Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan kakitangan kesihatan atas dedikasi mereka dalam merawat pesakit COVID-19 termasuk sepanjang rawatan ibunya di HDOK itu.

    “Mereka (hospital dan kakitangan kesihatan) wajar diiktiraf sepanjang masa. Perkhidmatan mereka melangkaui tugas yang bukan hanya perubatan tetapi juga kemanusiaan,” katanya.- BERNAMA