Tag: samun

  • Empat anggota polis ditahan bantu siasatan kes samun, cabul

    Empat anggota polis ditahan bantu siasatan kes samun, cabul

    EMPAT anggota polis di Kelantan masing-masing tiga berpangkat konstabel dan seorang koperal ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan cabul di Tanah Merah, Rabu lepas.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua suspek yang berusia 22 hingga 28 tahun itu ditahan oleh pasukannya pada 29 Dis lepas dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    “Pada 28 Dis lalu, lebih kurang pukul 11.24 malam, polis Daerah Tanah Merah telah terima satu laporan polis berkaitan kes samun dan cabul melibatkan suspek anggota polis. 

    Saya mengesahkan perkara tersebut dan pada 29 Dis pihak polis telah menjalankan tangkapan ke atas semua suspek yang akan direman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah seksyen 395/354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Muhamad Zaki berkata ujian saringan air kencing kesemua suspek juga didapati negatif dadah. – BERNAMA

  • Duda dipenjara 3 tahun samun warga emas di dobi layan diri

    Duda dipenjara 3 tahun samun warga emas di dobi layan diri

    SEORANG duda dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita warga emas di sebuah dobi layan diri, dua minggu lepas.

    Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas pekerja restoran Mohamed Ghibran Mohamed Yusof, 23, selepas dia mengaku melakukan samun dengan mengambil dan melarikan sebuah beg tangan mengandungi barangan peribadi dan wang tunai RM200, milik seorang pesara kerajaan berusia 64 tahun yang juga seorang ibu tunggal.

    Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa secara tiba-tiba telah merentap beg tangan yang disandang pada bahu kanan wanita itu sebelum melarikannya dengan motosikal semasa mangsa ingin memasukkan kain langsir ke dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi di Cheras, di sini pada 7.30 pagi, 11 Dis lepas.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

    Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 21 Dis lepas.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Izralizam berkata tertuduh tidak sepatutnya mengambil kesempatan melakukan jenayah terhadap ibu tunggal itu yang kematian suami.

    “Kamu masih muda dan tidak mempunyai penyakit, namun kamu memilih untuk melakukan jenayah samun bagi mendapat duit dengan mudah. Cuba bayangkan kalau mangsa itu adalah ibu kamu sendiri yang direntap. Kamu tidak fikirkan perkara itu ketika melakukan jenayah,” kata hakim itu.

    Mohamed Ghibran, yang menangis ketika berada dalam kandang tertuduh berkata, “saya tahu, Yang Arif”.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama, manakala Mohamed Ghibran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung dua anak serta ibu yang sakit.

    “Saya dan isteri telah bercerai dan dua anak kami berada dalam jagaan saya. Saya minta maaf Yang Arif. Saya mohon tidak dipenjarakan kerana saya perlu jaga anak-anak saya,” kata tertuduh dalam nada sebak. – BERNAMA

  • Wanita hamil lima bulan trauma disamun hampir RM30,000

    Wanita hamil lima bulan trauma disamun hampir RM30,000

    SEORANG wanita mengandung lima bulan berdepan detik cemas apabila barangan kemas dan wang tunai miliknya yang keseluruhannya dianggar bernilai RM30,000 disamun oleh seorang lelaki di rumahnya di Kampung Gong Mengkelih, di sini semalam.

    Siti Nur Rafeeqa Abdul Hamid, 29, berkata dia berada di dalam bilik tidur bersama anak lelakinya berusia lima tahun pada 9.50 pagi sebelum didatangi suspek yang menceroboh masuk ke dalam rumah melalui tingkap diumpil menggunakan cangkul.

    “Lelaki itu mengambil pisau di dapur dan mengarahkan saya menyerahkan beg tangan yang di dalamnya berisi rantai, gelang dan cincin emas serta sejumlah wang tunai.

    “Saya tidak berfikir panjang dan terus mengikut arahannya kerana bimbang keselamatan diri dan anak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

    Suami suri rumah itu, Ruzman Ishak, 46, pula berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja dan dimaklumkan mengenainya kira-kira 10.40 pagi.

    “Suspek turut mengambil sebuah telefon pintar dan melarikan motosikal jenis Honda EX5 milik saya sebelum ditemukan semula di lorong kubur Kampung Chengal Pusas, Jalan Jeram Pasu di sini kira-kira dua kilometer dari rumah pada 4 petang semalam,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria dalam kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

    Beliau berkata lelaki berkenaan sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.- BERNAMA

  • Lelaki langgar kereta, samun wanita diburu polis

    Lelaki langgar kereta, samun wanita diburu polis

    POLIS memburu seorang lelaki selepas didakwa terlibat kejadian langgar dan samun seorang wanita di Lorong Stampin, Kuching, Sarawak hari ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku apabila suspek melanggar belakang kenderaan dipandu mangsa sebelum melakukan samun.

    Katanya, susulan itu polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

    “Hari ini, polis mengesan satu rakaman video tular berdurasi 27 saat yang dimuat naik di media sosial dengan memaparkan seorang wanita diragut,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan dan sehingga kini belum ada tangkapan dibuat.

    “Polis mengalu-alukan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berkenaan kejadian itu,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki yang juga penunggang motosikal dipercayai merempuh kereta dipandu seorang wanita.

    Suspek dilihat berhenti di hadapan kereta mangsa sebelum menghampirinya konon untuk memeriksa kenderaan dilanggar.

    Bagaimanapun, suspek merampas beg tangan lalu melarikan diri. Mangsa cuba mengejar namun gagal.

  • Remaja mengaku tidak bersalah rogol wanita di hotel bajet

    Remaja mengaku tidak bersalah rogol wanita di hotel bajet

    TINDAKAN kejam seorang remaja yang didakwa melakukan samun sebelum merogol seorang wanita di sebuah hotel bajet, minggu lalu membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh hari ini.

    Memetik laporan Astro Awani, tertuduh, K.P Suren, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan luar tabii terhadap mangsa yang berusia 34 tahun tanpa kerelaannya.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

    Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan wang tunai bernilai RM100 dan sebuah telefon bimbit milik mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan.

    Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

    Selain itu, tertuduh turut bertindak kejam merogol mangsa sama tanpa kerelaannya sehingga mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu dan didakwa di bawah Seksyen 376(2)(a) dan berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.

    Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel bajet di Taman Paya Rumput, Melaka Tengah antara pukul 1.11 hingga 1.20 pagi, 3 Ogos lalu.

    Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

    Nariman pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September ini sebagai sebutan semula kes.

    Tertuduh diwakili peguam Suresh Balakrishnan.

  • 2 beradik ditahan samun serbaneka cari duit beli dadah

    2 beradik ditahan samun serbaneka cari duit beli dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BERBEKALKAN sebuah motosikal curi dan sepucuk pistol mainan, dua beradik berusia 23 dan 26 tahun menjadikan kegiatan samun di kedai serbaneka 24 jam sebagai sumber pendapatan untuk menyara hidup selain membeli dadah.

    Kegiatan mereka yang berusia 23 dan 26 tahun itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila kedua-duanya dicekup Ahad minggu lalu hanya selepas kira-kira tiga minggu mereka dipercayai bergiat dalam akiviti haram tersebut.  

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, penahanan dua beradik itu dibuat tidak sampai 16 jam selepas mereka melakukan samun buat kali ketiga di kedai serbaneka 24 jam dalam daerah tersebut.

    “Demi melakukan kegiatan jahat itu, dua beradik tersebut dipercayai terlebih dulu mencuri sebuah motosikal untuk memudahkan mereka bergerak sebelum mula menjadikan kedai serbaneka dalam daerah ini sebagai sasaran.

    “Dalam kejadian terakhir pada Ahad minggu lalu, si abang dikatakan masuk ke kedai sebuah kedai serbaneka di Taman Setia Budi kira-kira pukul 1.30 pagi untuk melakukan samun manakala adiknya pula menanti di atas motosikal di luar premis.

    “Bagaimanapun kedua-dua mereka berjaya ditahan kira-kira pukul 5.30 petang hari sama melalui serbuan dilakukan polis berhampiran Sungai Pinang Tunggal, Tikam Batu,” katanya.

    Zaidy menambah, pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan tiga kes samun kedai serbaneka, satu kes curi motosikal dan satu kes khianat dengan penahanan dua beradik tersebut.

    “Pihak kami turut merampas sepucuk pistol mainan berwarna hitam, peralatan mencuri motosikal, beg pinggang biru serta tiga plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 2.62 gram daripada kedua-dua mereka.

    “Selain itu polis turut merampas motosikal curi digunakan suspek dalam kejadian samun tersebut,” katanya.

    Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

  • Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    Beg dilarikan 5 suspek kes samun berisi barang kemas bernilai RM500,000

    POLIS sedang memburu lima lelaki bersenjatakan parang yang melakukan samun dan melarikan satu beg berisi barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 di sebuah stesen minyak di Lukut, Pert Dickson, semalam.

    Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu suspek menyamun mangsa yang merupakan pemilik kedai emas.

    Menurutnya, suspek mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

    “Bagaimana pun dua daripada tiga beg itu telah dijumpai semula di dalam Honda CRV yang terbalik di hadapan deretan kedai.

    “Siasatan awal mendapati tiada unsur penglibatan orang dalam walaupun ada pihak yang mengatakan seolah-olah kes samun itu telah dirancang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, kumpulan suspek ini dipercayai telah mengekori mangsa sejak dari awal sehingga berhenti di stesen minyak.

    “Usaha mengesan kesemua suspek yang dipercayai bukan penduduk Port Dickson itu giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat diminta membantu siasatan.

    “Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999,” katanya.

  • 3 kes samun bersenjata parang, 4 lelaki ditahan

    3 kes samun bersenjata parang, 4 lelaki ditahan

    POLIS Melaka menahan empat lelaki berusia antara 32 dan 42 tahun dipercayai terbabit dalam tiga kes samun bersenjatakan parang di sekitar Ayer Keroh dan Batu Berendam di sini pada 9 hingga 15 Jan lepas.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata, kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan di sekitar Bukit Beruang dan Bukit Katil pada Selasa lepas.

    “Semasa tangkapan dilakukan, seorang suspek telah melarikan diri ke atas bumbung bangunan rumah pangsa empat tingkat namun berjaya ditahan.

    “Polis terpaksa meminta bantuan Bomba Ayer Keroh bagi menangkap lelaki tersebut yang bersembunyi di dalam tangki air di atas bumbung bangunan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kumpulan samun bersenjata itu terdiri daripada orang tempatan dan warga asing membabitkan kerugian wang tunai, telefon bimbit serta dokumen penting.

    Menurutnya, turut dirampas dua kenderaan, dua parang dan empat telefon bimbit dipercayai digunakan bagi kegiatan samun bersenjata itu.

    Christopher berkata, kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 394, Seksyen 395/397 serta Seksyen 393 Kanun Keseksaan

    “Polis percaya dengan tumpasnya kumpulan samun bersenjatakan parang ini, tiga kes samun di daerah Melaka Tengah yang berlaku sejak awal Januari lepas berjaya diselesaikan.

    “Kami juga ingin mengingatkan bahawa sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” katanya. – BERNAMA

  • Polis tahan dua penyamun menyamar jadi polis

    Polis tahan dua penyamun menyamar jadi polis

    POLIS menahan dua lelaki pada Jumaat lepas dan semalam yang dipercayai terlibat dalam tujuh kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis di Tanah Merah.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Zainuddin Md Yusuf berkata, kedua-duanya yang berumur 22 dan 38 tahun ditahan pada 7.15 malam di Taman Kota Harmoni dan 5.30 petang di sebuah bengkel di Jalan Wan Ahmad.

    “Selain penahanan lelaki berumur 22 tahun di Taman Kota Harmoni itu, polis turut menahan seorang lelaki berumur 38 tahun bersama-samanya namun hasil soal siasat, lelaki itu tidak terlibat samun dan mengaku hanya menemani untuk menjual dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zainuddin berkata, penahanan dibuat susulan pihaknya menerima aduan berkaitan samun oleh seorang pengadu yang dipercayai melibatkan kedua-dua suspek di tepi Jalan Lawang, Kampung Batu Jong, Batu Gajah, di sini pada 6.15 petang, Khamis lepas.

    Beliau berkata, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga BLM mengaku mereka anggota polis dan menahan pengadu yang menunggang motosikal supaya menyerahkan kesemua barang untuk diperiksa kerana disyaki pengedar dadah.

    “Pengadu yang diugut akan ditahan sekiranya tidak menyerahkan barang-barang miliknya terpaksa menyerahkan barang itu yang merangkumi beg silang, dompet duit serta dua telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,350 dan kemudian datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

    Zainuddin berkata, hasil penahanan kedua-dua suspek, polis merampas beberapa barangan termasuk kereta Proton Saga itu, 4,000 biji pil kuda, lima telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg silang, dua topeng muka serta wang tunai berjumlah RM1,752.

    Beliau berkata, siasatan terhadap kedua-dua lelaki itu, mereka mengaku terlibat dalam tujuh kes samun membabitkan empat kes terhadap warga asing di rumah kongsi, dua kes ke atas penunggang motosikal dan satu kes membabitkan kedai runcit.

    Katanya, hasil ujian saringan mendapati kedua-duanya positif terhadap dadah dan sedang direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    POLIS menumpaskan sindiket samun kedai emas dikenali ‘Geng Amir @ Kecik’ yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak Mei lepas melibatkan kerugian lebih RM879,000 setelah menahan 23 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di Lembah Klang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan menerusi Op Dulang yang dijalankan pada 13 hingga 20 Sept lepas.

    “Hasil daripada maklumat, sepasukan polis JSJ Selangor telah menjalankan operasi dan menahan 21 lelaki dan dua wanita termasuk ketuanya disyaki terlibat dalam kes samun di empat buah kedai emas di Setapak, Kepong, Gombak dan Seri Kembangan bermula Mei lepas.

    “Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan samun ke atas kedai emas dengan bersenjatakan parang, kapak serta tukul besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.

    Sebahagian daripada senjata serta hasil samun kedai emas yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut beliau hasil siasatan lanjut mendapati ahli kumpulan itu berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang akan dijadikan sasaran bagi menentukan kelemahan yang ada di premis terbabit.

    “Tujuh suspek berperanan melakukan samun, enam lagi bertindak sebagai pembeli barang kemas hasil samun manakala dua suspek berperanan menyimpan hasil samun selain lapan lagi mempunyai pengetahuan tentang kegiatan samun yang dilakukan,” katanya.

    Abd Jalil berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas enam ketulan emas, empat utas rantai leher emas, dua utas rantai tangan emas serta satu rantai kaki emas yang kesemuanya bernilai lebih RM193,479 serta barang-barang berkaitan dipercayai digunakan bagi tujuan samun.

    Menurutnya polis sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Boy Selayang’ atau nama sebenar Mohd Hafizuddin Roslan beralamat di No 12, Jalan Mutiara 5/6 Taman Selayang Mutiara, Batu Caves serta ‘Atai’ dengan nama sebenar Ataillah Ghazi beralamat No 128, Jalan Pelangi 1, Taman Pelangi Jaya, Kuala Lumpur yang dipercayai turut terlibat dengan kumpulan itu.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA