Tag: sampah

  • Selesaikan segera isu saliran, sampah, pengangkutan awam di Parit Yaani: Ahmad Nawfal

    Selesaikan segera isu saliran, sampah, pengangkutan awam di Parit Yaani: Ahmad Nawfal

    MASALAH sistem perparitan dan saliran, serta isu pengurusan sampah yang menghantui penduduk di sekitar Parit Yaani, Batu Pahat, Johor perlu diselesaikan secepat mungkin.

    Dua isu utama membabitkan aspek kemudahan asas itu dianggap sebagai keperluan segera oleh calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Nawfal Mahfodz yang bertanding di kerusi Parit Yaani.

    Anak muda berusia 38 tahun ini sedar, jika dua isu utama itu ditangani secara berkesan, secara tidak langsung akan membantu mengatasi masalah banjir kilat.

    “Kedua-dua perkara ini patut disegerakan. Jika dua perkara ini diselesaikan, kita akan dapat menangani isu banjir kilat di kawasan ini terutama di Parit Besar.

    “Masalah ini sampai sekarang masih tiada penyelesaian,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

    Sebagai kawasan yang dikategorikan sebagai pinggir bandar, katanya kawasan ini sepatutnya turut menerima limpahan ekonomi dari kawasan bandar, namun isu pengurusan kemudahan asas perlu diselesaikan terlebih dahulu.

    “Kita sebenarnya berada di pinggiran bandar dan sangat strategik untuk menerima limpahan ekonomi. Ia sepatutnya masuk dengan baik jika beberapa perkara asas penting diutamakan dan inilah yang akan menjadi tumpuan saya untuk diketengahkan.

    “Contohnya peluang perniagaan Industri Kecil Sederhana (IKS). Saya melihat kepada pola maysrakat setempat. Peluang perlu diberikan kepada anak muda dengan komponen anak muda wanita.

    “Mereka ada peluang yang sangat baik dan kita bercadang untuk mengadakan latihan atau kursus yang boleh melonjakkan peluang ini,” katanya.

    Namun, pada masa sama, katanya perkara itu juga perlu bergerak seiring dengan penyediaan lebih banyak kemudahan asas sistem perbankan, termasuk kiosk dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

    Katanya, walaupun pada ketika ini banyak urusan perniagaan dijalankan secara dalam talian, tetapi masyarakat tetap perlu meraikan golongan yang memerlukan atau berniaga secara tunai.

    “Sebenarnya mereka juga tidak kahu ketinggalan. Apabila ada lebih banyak kiosk bank tadi, masyarakat di sini boleh mendapatkan penerangan lebih jelas, boleh menggalakkan mereka beralih kepada perbelanjaan tanpa tunai.

    “Kita perlu akur, kawasan ini juga adalah kawasan industri, ramai pekerja asing menggunakan mesin ATM,” katanya.

    Jika diberi peluang menjadi ADUN di situ, beliau juga akan memperjuangkan isu masalah pengangkutan awam yang dilihat meminggirkan sesetengahkan penduduk.

    Ini kerana katanya, kadar laluan bas awam di sini sangat sedikit sekaligus membuatkan penduduk tidak berminat menggunakan khidmat pengangkutan awam.

    “PBT (pihak berkuasa tempatan) PBT bagi alasan disebabkan ramai penduduk yang tidak naik bas, tetapi sebenarnya bas yang langsung tiada atau lambat, jadi siapa yang nak naik bas kalau begitu keadaannya. Masalah ini perlu diselesaikan.

    “Ramai penduduk di kawasan pendalaman yang perlukan khidmat bas awam. Janganlah pinggirkan mereka. Ada juga yang bergantung harap kepada bas untuk bekerja di kawasan bandar,” katanya. 

  • Sampah oh sampah! Pengunjung cemari imej pantai peranginan

    Sampah oh sampah! Pengunjung cemari imej pantai peranginan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    ISU melibatkan sampah bertaburan di lokasi tumpuan ramai khususnya di taman rekreasi dan pantai peranginan di Terengganu tidak pernah reda.

    Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan pihak kerajaan negeri dan pertubuhan sukarela, namun bahan terbuang seperti plastik, serpihan kayu, botol minuman, bekas makanan, tali dan kertas masih kelihatan bertaburan di merata tempat di kawasan tumpuan ramai tersebut.

    Malah, keadaan sampah sarap yang berlonggok itu semakin menimbun pada setiap hujung minggu iatu hari Jumaat dan Sabtu.

    Perkembangan ini bukan sahaja  mewujudkan persekitaran kurang sihat serta menjejaskan imej pantai peranginan terbabit, namun ia juga boleh mengancam nyawa kehidupan marin.

    Ini terbukti apabila beberapa kejadian  bangkai penyu mati terdampar di pantai negeri ini beberapa  hari lalu dikatakan berpunca daripada memakan plastik.

    Justeru, suatu tindakan wajar perlu diambil bagi memastikan tiada  lagi longgokan sampah kelihatan menimbun di lokasi pantai peranginan negeri ini.

    Tinjauan WartaRakyat di beberapa lokasi tumpuan ramai seperti Dataran Shahbandar, Pantai Batu Burok, Chendering di Kuala Terengganu, Pantai Teluk Ketapang dan Seberang Takir di Kuala Nerus serta Pantai Seberang Marang, Ru Renggeh dan Kelulut di Marang mendapati lokasi berkenaan seakan bertukar menjadi ‘pantai sampah’?

    Hal ini berlaku kerana beberapa faktor iaitu tiadanya tong sampah di lokasi berkenaan, penyediaan tong sampah tidak mencukupi dan juga sikap para pengunjung pantai atau taman rekreasi yang suka membuang sisa buangan di  merata tempat.

    Seorang penduduk Kampung Pantai Seberang Marang, Azmi Salleh memberitahu, kebanyakan pengunjung yang mengunjungi kawasan pantai di situ bersama keluarga dan sahabat handai.

    Menurutnya, pada hari Jumaat dan Sabtu, jumlah pengunjung semakin bertambah dan ada yang membawa bekalan makanan serta minuman.

    azmi salleh terengganu
    Azmi Salleh

    “Malangnya, selepas menikmati hidangan, ada di antara mereka bertindak meninggalkan bungkusan plastik, botol minuman dan kertas begitu sahaja.

    “Kadang-kadang saya bersama rakan rakan terpaksa mengutip dan kumpulkan sampah sarap yang dibuang untuk dibakar.

    “Namun, mereka tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana  tiada tong sampah disediakan di lokasi ini,” ceritanya kepada WartaRakyat.

    Bercakap mengenai masalah sampah, pada minggu lalu sekumpulan pelajar antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya mengutip lebih satu tan sampah termasuk botol plastik dan jala ikan lama menerusi program pembersihan diadakan di Pantai Seberang Takir,  Kuala Nerus.

    Sampah pantai terengganu
    Pelajar antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) mengadakan aktiviti mengutip sampah di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus.

    Sampah tersebut dikumpulkan dalam tempoh tiga jam, bermula Pukul 7.30 pagi dengan membabitkan seramai 37 penuntut  dari luar negara.

    Selain penuntut UniSZA, pertubuhan sukarela seperti Geng Plastik Ija (Kuala Terengganu) juga pernah mengadakan pelbagai aktiviti mengutip sampah di beberapa lokasi pantai  tumpuan pengunjung di negeri ini.

    Aktiviti yang dilakukan tertumpu kepada mengutip sampah sarap seperti botol minuman dan bungkusan makanan yang ditinggalkan di merata tempat di sekitar kawasan pantai.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak ketika bercakap kepada pemberita minggu lalu berkata, kerajaan negeri sentiasa  memandang serius berhubung masalah longgokan sampah di negeri ini.

    Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada mana mana kontraktor pembersihan yang secara berterusan melanggar syarat ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dikenakan  tindakan tegas.

    DR ALIAS RAZAK
    DR ALIAS RAZAK

    Katanya, antara syarat ditetapkan termasuklah melibatkan isu kelewatan mengangkut longgokan sampah di kawasan berkaitan.

    Menurut Dr Alias, kerajaan negeri melalui MBKT ketika ini melonggarkan syarat dengan melanjutkan sewaan lori sampah MBKT sehingga Mac depan bagi mengatasi masalah tersebut.

    Bagaimanapun ujarnya, sikap segelintir kontraktor kutipan sampah yang tidak mematuhi syarat, iaitu memiliki lori sampah sendiri sebagaimana kontrak perjanjian menyebabkan timbul isu longgokan sampah.

    Sehubungan itu beliau meminta kontraktor terbabit agar dapat menyediakan sendiri lori-lori bagi mengangkut sampah sepertimana perjanjian awal.