Tag: Sambutan Hari Kebangsaan

  • Sambutan Hari Kebangsaan: Pengawal keselamatan disiasat terbangkan dron

    Sambutan Hari Kebangsaan: Pengawal keselamatan disiasat terbangkan dron

    SEORANG pengawal keselamatan disiasat selepas disyaki menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka,hari ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya, berkata keterangan daripada lelaki berusia 50 tahun itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada  jam 1.54 tengah hari tadi.

    “Sebelum itu, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menurunkan satu dron secara ‘force landing’ iaitu balik ke tempat asal dron itu dinaikkan di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di Bulatan Dato Onn pada jam 9.30 pagi.

    “Keterangan daripada lelaki itu sudah diambil dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya kepada Bernama.

    Noor Dellhan berkata laporan tersebut diklasifikasikan sebagai merujuk kepada agensi lain (ROA) iaitu pihak CAAM untuk siasatan di bawah Peraturan 143 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

    Sebelum ini, CAAM menasihatkan orang ramai untuk tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalankan penerbangan formasi rendah pada sambutan tersebut.- BERNAMA

  • Dilarang terbangkan dron semasa sambutan Hari Kebangsaan

    Dilarang terbangkan dron semasa sambutan Hari Kebangsaan

    ORANG ramai dinasihatkan agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini dapat diraikan dengan selamat.

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata perkara ini juga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan keselamatan orang awam serta mengundang risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang menjalankan penerbangan formasi rendah di kawasan tersebut.

    “Suka diingatkan bahawa semua pengendalian aktiviti dron di negara ini adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Arahan Penerbangan Awam Civil Aviation Directives (CADs),” menurut CAAM.

    Bagi kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta 3, memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    “Bagi Peraturan 206(3) MCAR 2016, jika orang itu ialah seorang individu, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau jika orang itu ialah satu pertubuhan perbadanan akan didenda tidak melebihi RM100,000,” menurut CAAM. – BERNAMA

  • Dua kenderaan TDM rosak pada raptai sambutan Hari Kebangsaan

    Dua kenderaan TDM rosak pada raptai sambutan Hari Kebangsaan

    TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan bahawa dua kejadian kerosakan kenderaan Tentera Darat yang terlibat dengan raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

    Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian pertama berlaku pada semalam melibatkan sebuah kenderaan PT-91M Pendekar yang terlibat dalam acara perbarisan sambutan itu mengalami kerosakan di Jalan Damansara susur keluar Carcosa ke KL Sentral, di sini.

    Menurut kenyataan itu, PT-91M Pendekar baru sahaja selesai menjalani raptai perbarisan itu dan dalam perjalanan ke tempat parkir Kenderaan Jenis A (KJA) sebelum berhenti secara tiba-tiba akibat masalah enjin yang dihadapi pada 10.30 pagi itu.

    Armoured Recovery Vehicle telah diaturgerakkan memberi bantuan menarik kenderaan itu dan telah berjaya dialihkan ke tempat parkir KJA di Muzium Negara, di sini pada 11 pagi itu untuk kerja-kerja pembaikan.

    “Kejadian kedua berlaku pada hari ini iaitu pada 11.26 pagi tadi di Muzium Negara melibatkan sebuah Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai yang dalam perjalanan balik ke Kem Perdana Sungai Besi mengalami masalah enjin tidak dapat dihidupkan,” menurut kenyataan itu.

    “Berikutan itu, anggota mekanik diatur gerak ke lokasi dan membuat kerja pembaikan dan kenderaan tersebut siap dibaiki pada 12.30 tengah hari tadi dan meneruskan kembali perjalanan.

    “Untuk makluman, sebanyak 129 aset kenderaan tentera darat terlibat dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

    “Oleh yang demikian, Tentera Darat memohon maaf susulan dua insiden yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

    Tentera Darat juga akan memastikan kejadian sedemikian tidak berulang dan jika berlaku, Recovery Team bersama Kembalik (kenderaan trak tunda tentera) yang telah berada di lokasi berhampiran akan bertindak pantas menunda kenderaan tersebut bagi mengelak kesesakan lalu lintas.- BERNAMA