Tag: saman fitnah

  • Bicara kes saman Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin bermula 16 Okt ini

    Bicara kes saman Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin bermula 16 Okt ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 10 hari bermula 16 Okt ini untuk mendengar kes saman difailkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris menetapkan 16 hingga 20 Okt dan 23 hingga 27 Okt untuk perbicaraan kes itu.

    “Perbicaraan kes saman itu akan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff dan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 19 Mei ini,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas pengurusan kes berkenaan hari ini secara dalam talian.

    Prosiding hari ini turut disertai peguam Shu Ivy yang mewakili Muhyiddin.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid, 70, berkata Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.

    Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

    Sementara itu, Muhyiddin, 75, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei tahun lepas mendakwa kenyataan beliau bahawa Ahmad Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.

    Presiden Bersatu itu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam. – BERNAMA

  • Ali Puteh gagal rayuan ketepikan saman kakak ipar

    Ali Puteh gagal rayuan ketepikan saman kakak ipar

    PELAWAK Ali Puteh hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada kakak iparnya Siti Nor Hidayah Mohd Ali kerana memfitnahnya di media sosial, dua tahun lepas.

    Peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan pelawak tersebut dengan kos RM5,000.

    Selain itu, Ahmad Shahrir turut menolak rayuan Siti Nor Hidayah yang merupakan isteri kepada Allahyarham Abam Bocey untuk menaikkan jumlah ganti rugi RM60,000 yang diiperintahkan oleh Mahkamah Sesyen dengan kos RM5,000.

    “Rayuan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman fitnah mereka terhadap usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah turut ditolak dengan kos sama (RM5,000),” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.

    Sementara itu, Noorazmir berkata beliau belum mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

    Pada 18 Feb lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah, 30, selepas berpendapat hantaran Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Feb 2020 menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.

    Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa usahawan itu tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama isteri arwah memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu isteri arwah.

    Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Syed Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.

    Syed Ali dan tiga ahli keluarganya juga menfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu. – BERNAMA

  • Kalau anak tirikan Kedah, Anwar koyak – Sanusi respon saman PM

    Kalau anak tirikan Kedah, Anwar koyak – Sanusi respon saman PM

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yakin saman difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya tidak akan menjadi penyebab kepada kerajaan Kedah dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan.

    Muhammad Sanusi berkata, tindakan Anwar mengemukakan saman terhadapnya adalah urusan peribadi kedua-dua mereka dan langsung tidak ada kaitan dengan hubungan antara kerajaan negeri serta Persekutuan.

    “Kes saman itu melibatkan Anwar Ibrahim dengan Sanusi. Saya tidak meletakkan itu sebagai satu asbab yang menjadi punca kepada ‘pemisahan’ antara negeri dan Persekutuan.

    “Semua itu tak perlu kerana apa yang berlaku adalah antara saya dengan Anwar. Kalau beliau ambil perkara itu untuk menganak tirikan Kedah, saya rasa beliau koyaklah.

    “Panas tak apa, jangan koyak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Alor Setar.

    Kelmarin, Anwar memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar berhubung ucapan berbaur fitnah yang didakwa dilafazkan dalam kempen ceramah Jelajah PN Best di Tambun, Perak.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyatakan kesediaan untuk berdepan Anwar di mahkamah tanpa menunjukkan sebarang keinginan untuk meminta maaf.

    Dalam pada itu, ditanya pandangannya mengenai isu empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Muhammad Sanusi berkata, semua pihak harus menunggu keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.

    “Saya pun tak tahu siapa yang akan buat keputusan kerana ada yang kata jawatan ahli Parlimen mereka itu gugur dan ada yang kata tidak. Saya tak tahu siapa nak buat keputusan itu, mungkin mahkamahlah agaknya.

    “Kerana mereka melompat ‘pergi’ kepada kerajaan dosanya kurang tetapi kalau lompat ke pembangkang, dosanya mungkin besar. Sebab kita berada dalam majlis sastera, macam itulah jawapannya,” katanya.

  • ‘Pertemuan’ di Jakarta: Ismail Sabri arah peguam saman fitnah

    ‘Pertemuan’ di Jakarta: Ismail Sabri arah peguam saman fitnah

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebaran “fitnah” yang mendakwa beliau “merancang sesuatu” dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jakarta, baru-baru ini.

    Dakwaan itu tersebar gara-gara ketidakhadirannya dalam mesyuarat majlis kerja tertinggi (MKT) UMNO pada 8 Disember lalu.

    “Kalau nak fitnah orang pun biarlah munasabah sikit. Kalau dalam rekod imigresen, saya tak keluar negara. Maknanya saya dalam negaralah.

    “Saya sudah pun mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pemfitnah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

    Selain Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga naib presiden UMNO tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

    Mesej di media sosial yang dikongsi berulang kali oleh individu yang tidak dikenali, mendakwa Ismail Sabri dan pemimpin UMNO yang tidak hadir mesyuarat MKT UMNO pada malam itu, berada di Jakarta dan “sedang merancang sesuatu.”

    Menggelarkannya sebagai “Langkah Jakarta”, Muhyiddin juga dikatakan turut berada di sana.

    Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan Mahdzir.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau berada di Bera ketika mesyuarat MKT dan makan nasi daun pisang bersama seorang wartawan veteran ketika itu.

    Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi berkenaan.

    Pada sebelah malamnya pula, kata Ismail Sabri, beliau berada di kawasan parlimennya di Bera, Pahang untuk perasmian perlumbaan kereta pacuan empat roda terkenal Rainforest Challenge International (RFC).

    Dakwaan sedemikian bukanlah yang pertama kali.

    Ismail Sabri dan beberapa pemimpin BN sebelum ini turut didakwa dalam pertemuan tertutup bersama parti dari gabungan lain sebelum ini.

    Khabar angin seperti itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem antara mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH, dan mereka yang tidak bersetuju.

  • Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    Bekas pembantu Anwar, Yusoff Rawther menang saman fitnah RM200,000

    MAHKAMAH Sesyen Shah Alam memerintahkan Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah membayar ganti rugi RM200,000 kerana memfitnah Yusoff Rawther.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Ishak Bakri Yusof berkata, Yusoff yang merupakan bekas pembantu penyelidik Anwar, membuktikan dakwaannya berhubung imbangan kebarangkalian.

    Peguam Yusoff, Tetuan Haniff Khatri Abdulla dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi berkata, defendan juga diperintahkan membayar kos RM25,000 kepada Yusoff.

    Menurut kenyataan itu, Nashrul akan menerbitkan permohonan maaf dalam tempoh 45 hari dari hari ini dan kandungan itu perlu diterima oleh Yusoff.

    Beliau juga perlu menarik balik kenyataan media fitnahnya yang dikeluarkan pada 10 Jun 2019.

    Yusoff memfailkan saman itu pada 12 Sept 2019 atas dakwaan kenyataan akhbar yang dikeluarkan Nashrul menjatuhkan reputasinya di mata orang ramai.

    Selain saman fitnah terhadap Nashrul, Yusoff memfailkan satu lagi saman terhadap setiausaha politik Anwar ketika itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi menuntut pampasan atas kecederaan yang didakwa dialaminya selepas serangan.

    Yusoff turut memfailkan saman terhadap Anwar atas dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadapnya 10 hari sebelum memenangi pilihan raya kecil Port Dickson pada 13 Okt 2018.

    Yusoff mendakwa mengalami trauma fizikal, psikologi dan sosial yang serius akibat kejadian itu.

    Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan kes itu belum selesai di mahkamah.