Tag: salah guna kuasa

  • Muhyiddin mohon ketepi empat pertuduhan salah guna kuasa

    Muhyiddin mohon ketepi empat pertuduhan salah guna kuasa

    BEKAS perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan untuk mengetepikan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

    Peguam ahli Parlimen Pagoh itu, Chetan Jethwani mengesahkan permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, Chetan berkata salinannya juga telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

    Muhyiddin juga memohon menangguhkan kes jenayah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sementara menunggu keputusan permohonannya itu.

    Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terdapat empat pertuduhan salah guna kuasa dan pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM232 juta.

  • Penjawat awam didakwa enam tuduhan rasuah

    Penjawat awam didakwa enam tuduhan rasuah

    SEORANG penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas enam pertuduhan menggunakan jawatannya sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 untuk mendapatkan suapan berjumlah RM13,480.20, tiga tahun lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, Nurul Syahirah Omar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keenam-enam pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita yang bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Mersing itu didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dalam mengemukakan sebut harga Amir Barakah Enterprise berjumlah RM13,480.20 melalui dokumen Borang Kajian Pasaran yang mana tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

    Sebut harga terbabit adalah untuk melaksanakan pembekalan bagi alat ganti kenderaan, kelengkapan pejabat, pembaikan kenderaan jabatan, kelengkapan penyiaran dan perhubungan, kelengkapan elektrik dan elektronik serta pelaksanaan kerja penyelenggaraan kenderaan penumpang.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat JPS Mersing dekat Mersing, antara Ogos 2020 hingga November 2020.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

    Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor, memaklumkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) akta berkenaan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM30,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

    Peguam Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik yang mewakili tertuduh membantah dan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah lebih rendah.

    “Tertuduh mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun dan turut menanggung ibu bapanya. Sebaik pertuduhan ini dihadapkan kepadanya, tertuduh digantung kerja.

    “Tertuduh juga sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang memerlukan perbelanjaan yuran lebih RM15,000,” katanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor Bahru.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mei depan.

  • Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung wang dalam akaun parti Bersatu.

    Berdasarkan semakan sistem e-kehakiman, kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen 1, di hadapan Hakim Rozilah Salleh pada 9 pagi.

     Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam jemputan media memaklumkan pihaknya telah mendapat izin mendakwa seorang Ahli Parlimen esok di mahkamah sama.

    Ahli Parlimen  Pagoh itu dijangka menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu pada 10 Mac lepas.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta. – BERNAMA

  • Seleweng lebih RM30,000 masuk akaun sendiri, profesor ditahan SPRM

    Seleweng lebih RM30,000 masuk akaun sendiri, profesor ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang Timbalan Pengarah di sebuah universiti awam kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang berjumlah lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan. 

    Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu merupakan profesor gred Jusa C ditahan pada  jam 3.30 petang hari ini di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Katanya, dalam kejadian yang berlaku pada Ogos 2021 itu, suspek dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman. – BERNAMA

  • PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PN gesa polis siasat dakwaan MB Selangor salah guna kuasa beri projek RM700j

    PERIKATAN Nasional (PN) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

    Gesaan itu dibuat selepas tular di media sosial semalam mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

    Menurut Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, pihaknya tampil membuat satu laporan polis berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan pihak PDRM memulakan siasatan terhadap Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yang didakwa mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan.

    Katanya, laporan polis dibuat berdasarkan laporan berita disiarkan sebuah portal berita semalam berkaitan Amirudin dan EXCO Selangor, Izham Hashim yang didakwa mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dianugerahkan projek mega itu iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).

    “Syarikat itu dianugerahkan satu projek untuk mendalamkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer berjumlah RM700 juta secara rundingan terus.

    “Tujuan saya membuat laporan supaya pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan salah guna kuasa yang serius,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, di Serdang, hari ini.

    Katanya, laporan berita diterbitkan portal berita itu adalah berdasarkan pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    Abdul Razak mendakwa Amirudin dan Izham yang juga EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor disenaraikan sebagai pengarah syarikat terbabit bersama empat lagi individu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

    Semalam, Abdul Razak menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat LLB dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

    Dalam perkembangan sama, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis memaklumkan projek itu bukan dianugerahkan oleh kerajaan negeri secara terus kepada LLB.

    “LLB sedang mengumpul dana melalui Inisiatif Kewangan Swasta (PFI). Syarikat ini adalah anak syarikat kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

    “Beliau (Amirudin) adalah pengarah syarikat itu memandangkan projek itu berada di bawah MBI,” katanya ketika dihubungi.

    Tambahnya, Amirudin ada dalam syarikat itu sebagai Menteri Besar Selangor bagi memastikan usaha kerajaan negeri memulihkan kualiti air dan pemulihan Sungai Klang tercapai, selaras dengan keputusan mesyuarat EXCO kerajaan negeri.

  • Ketua jabatan bergelar ‘Datuk’ ditahan terima rasuah, salah guna kuasa

    Ketua jabatan bergelar ‘Datuk’ ditahan terima rasuah, salah guna kuasa

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar ‘Datuk’ kerana disyaki terlibat menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat kenderaan pada 2017.

    Lelaki berumur 40 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 8 malam semalam, dan kini direman selama empat hari hingga 21 Okt ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Menurut sumber SPRM, perolehan empat kenderaan itu bernilai lebih RM290,000 untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan lelaki berkenaan ketika dihubungi hari ini berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

  • Nik Abduh perjelas dakwaan salah guna kuasa

    Nik Abduh perjelas dakwaan salah guna kuasa

    SELEPAS tular surat yang meminta kemudahan perkhidmatan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) untuk majlis perkahwinan anaknya, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menjelaskan ia sebenarnya turut melibatkan jamuan rakyat di Masjid Tok Guru.

    Free Malaysia Today melaporkan, Nik Abduh berkata, ia juga menjadi majlis kesyukuran keluarga besarnya, diketuai bapa saudaranya, Nik Razi Nik Mat yang bersepakat untuk menganjurkannya bersama sejak pemergian bapa mereka, bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, tujuh tahun lalu.

    “Selepas kematian ayahanda saya tujuh tahun lepas, inilah julung kalinya keluarga besar kami menganjurkan jamuan rakyat dengan jemputan kepada seluruh masyarakat setempat, terutama rakan taulan dan anak murid kepada ayahanda yang sememangnya dibayangi dengan memori kerinduan kepadanya.

    “Saya anggarkan sekitar 8,000 hingga 10,000 orang tetamu telah hadir dan lebih 30 kawah gulai telah dinikmati bersama selain juadah yang lain. Alhamdulillah..,” katanya di Facebook.

    Menurutnya, majlis itu turut dihadiri beberapa pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am, Hashim Jasin, timbalannya yang merangkap Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah dan beberapa pimpinan utama parti terdiri daripada ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

    Beliau turut berterima kasih bukan sahaja kepada MPKB sebaliknya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta polis yang menerima permohonan untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak.

    “Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pungutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat,” katanya.

    Terdahulu, tular surat permohonan bertarikh 20 Sept daripada Nik Abduh kepada MPKB bagi memohon kemudahan majlis anaknya termasuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas.

    Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin kemudian mengesahkan menerima surat permohonan itu namun tidak membuat sebarang keputusan.

    Tindakan pemimpin PAS itu turut dipersoalkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Nik Abduh atas salah guna kuasa kerana meminta “kerjasama” daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk menyediakan kemudahan majlis perkahwinan anaknya.

  • Salah guna kuasa, pengurus pemasaran ditahan SPRM

    Salah guna kuasa, pengurus pemasaran ditahan SPRM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengurus pemasaran bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa membabitkan penyelewengan bayaran hasil buah tandan segar sawit berjumlah lebih RM85,000.

    Suspek lelaki yang berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pukul 12.30 tengahari tadi selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2018 hingga 2019, suspek yang bertugas sebagai pengurus pemasaran telah menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng wang bayaran bagi hasil jualan buah tandan segar sawit tersebut untuk kepentingan dirinya sendiri.

    Azmi Alias

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

  • Salah guna kuasa: Pengurus Felda direman lima hari

    Salah guna kuasa: Pengurus Felda direman lima hari

    Oleh:Bernama

    SEORANG pengurus Felda direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan projek pertanian berjumlah RM64,739.

    Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Kuantan Humairah KM Haider selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pahang, di sini, selepas hadir memberi keterangan kira-kira 7 malam semalam.

    Suspek yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan pada 9.30 pagi dengan berkemeja-T lokap SPRM, disyaki menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perolehan Rancangan (JKPR) melantik syarikat yang mempunyai kepentingan dengan dirinya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan penahanan lelaki itu dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – BERNAMA