Tag: Sajat

  • Sajat lolos guna gerabak keretapi: KTMB jalankan siasatan dalaman

    Sajat lolos guna gerabak keretapi: KTMB jalankan siasatan dalaman

    KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menjalankan siasatan dalaman mengenai tindakan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang dikatakan meloloskan diri ke Thailand menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar, Perlis.

    KTMB dalam reaksinya terhadap laporan muka hadapan sebuah akhbar hari ini berkata, fasiliti dan terminal kargo KTMB dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    Menurutnya, kontena kargo yang dibawa ke Thailand pula adalah milik syarikat perkapalan yang disewa oleh pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand.

    “KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena berkenaan sama ada kontena kosong atau bermuatan,” katanya dalam satu kenyataan itu, hari ini.

    KTMB memberitahu, setiap tren kargo yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang diteliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara sempadan.

    Ujarnya, proses itu membabitkan pemeriksaan dokumentasi dan fizikal ke atas gerabak serta barangan.

    “KTMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara itu,” katanya lagi.

    Harian Metro hari ini melaporkan, misteri ‘kehilangan’ usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

    Untuk rekod, Nur Sajat, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen jam 6 petang (waktu Thailand).

    Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Usahawan kosmetik itu bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

    Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

    Skuad Khas Harian Metro turut mendedahkan, bagaimana penyamaran dilakukan usahawan kosmetik itu yang mengenakan purdah dan niqab serta membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.

    Lelaki terbabit dilaporkan berjaya menyeludup keluar Nur Sajat menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar Perlis, sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.

    Nur Sajat kemudian dibawa lelaki kedua itu ke Bangkok dan menjadikan sebuah kondominium mewah di kota raya itu sebagai pusat persembunyian sehinggalah dia ditahan.

  • Sajat ditahan di Thailand, rundingan bawa pulang ke Malaysia

    Sajat ditahan di Thailand, rundingan bawa pulang ke Malaysia

    MISTERI ‘kehilangan’ usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

    Nur Sajat ditahan pihak berkuasa negara itu selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik di Bangkok, Thailand daripada pihak berkuasa Malaysia.

    Sumber memaklumkan Nur Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama-sama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.

    Memperincikan perkara itu, sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa berdasarkan maklumat dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak berkuasa Thailand mengenai lolosnya usahawan berkenaan ke negara berkenaan pada awal Mac lalu, usaha mengesannya dilakukan jabatan imigresen Thailand.

    “Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.

    “Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya. Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

    “Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” lapor Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.

    “Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

    “Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.

    Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.

    “Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.

    Menjawab soalan wartawan, sumber itu memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

    “Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.

    “Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” katanya.