Tag: Saifuddin

  • Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat iklim ketika ini

    Banjir: Tiada keperluan isytihar darurat iklim ketika ini

    BELUM ada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat iklim ketika ini susulan beberapa negeri terjejas teruk akibat banjir, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Beliau berkata untuk mengisytiharkan darurat iklim, beberapa proses dan penilaian tertentu perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab bagi keputusan dibuat apabila tiba masanya.

    “Buat masa ini belum ada keperluan isytihar Darurat Iklim kerana keadaan (banjir) masih lagi terkawal kerana untuk berbuat demikian ia ada proses dan penilaian tertentu oleh pihak yang bertanggungjawab.

    “Saya fikir keseluruhan operasi terkawal dan berjalan baik dan laporan telah diberikan secara berkala termasuk semasa mesyuarat jemaah menteri semalam,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Alor Pasir, di sini hari ini, selepas menyampaikan bantuan sumbangan kepada mangsa banjir.

    Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

    Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu mencadangkan pengisytiharan Darurat Iklim dan menggerakkan usaha yang radikal bagi membincangkan langkah-langkah mitigasi segera untuk membendung dan mengurangkan risiko dan impak banjir yang sedang melanda negara terutamanya di negeri Pantai Timur.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya turut memberi tambahan aset udara ke Kelantan dan Terengganu.

    “Aset tambahan udara yang saya minta dari pasukan polis sediakan adalah dua unit di Kelantan dan satu unit di Terengganu.

    “Pada masa sama, kita gesa mangsa terlibat agar beri kerjasama yang baik sekiranya diminta berpindah oleh pihak berkuasa kerana jika melengahkan masa ia boleh mengancan nyawa,” katanya. – BERNAMA

  • Muda bidas pendirian Saifuddin pertahankan Sosma

    Muda bidas pendirian Saifuddin pertahankan Sosma

    Parti ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengkritik pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang bercadang mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dikenali sebagai Sosma.

    “Laungan reformasi itu berasaskan dari semangat mahu mengubah institusi dan sistem kenegaraan yang lebih baik, saya kira wajar kerajaan hari ini berpandukan kepada hasrat murni ini.

    “Sekiranya kita kembali kepada sistem dan takuk yang lama, kelak apa bezanya dengan kerajaan-kerajaan sebelum ini,” soal Naib Presiden Muda, Zaidel Baharudin dalam satu kenyataan hari ini.

    Dalam sidang media pada 13 Disember lalu, Menteri Dalam nlNegeri yang baharu itu berkata, beliau tidak berhasrat untuk menyemak semula Sosma.

    Saifuddin menyatakan bahawa Sosma bukanlah undang-undang penahanan tanpa bicara tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang sudah dimansuhkan.

    Beliau berhujah bahawa undang-undang itu hanya membenarkan penahanan selama 28 hari dan suspek akan mendapat akses kepada perkhidmatan guaman jika kes itu dibawa ke mahkamah.

    Bagaimanapun, kata Zaidel pada asasnya Sosma masih satu ‘undang-undang yang sangat berat sebelah.’

    Ini walaupun akta itu kelihatan lebih progesif berbanding ISA, jelasnya.

    “Sosma memberikan banyak kuasa yang diberikan kepada pihak penguasa tanpa sebarang semak dan imbang, sebagai contoh penahanan selama 28 hari tanpa perlu melalui proses mahkamah (dalam tempoh penahanan) kalau jatuh kepada individu biasa, itu merupakan satu hukuman yang amat berat tanpa sebarang perbicaraan atau pertuduhan.

    “Sosma juga membenarkan pihak penguatkuasa memintas komunikasi secara terus tanpa sebarang mekanisme semak dan imbang yang jelas.

    “Saya berpendapat kuasa yang menyeluruh seperti ini membolehkan ianya terdedah kepada penyalahgunaan,” kata Zaidel lagi.

    Pakatan Harapan atau mana-mana parti lain tidak berjanji untuk mengkaji semula atau memansuhkan Sosma dalam manifesto menjelang pilihan raya 19 November.

    Namun, sebelum ini pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin ditahan pada 18 November 2016 selama 10 hari.

    Beliau dilaporkan berkata bahawa penahanan itu, yang berlaku pada malam perhimpunan Bersih 5.0, adalah zalim dan menindas.

    Maria ditahan dalam kurungan bersendirian dalam sel tanpa tingkap berukuran 15 kaki kali lapan kaki, dan dinafikan katil, dalam apa yang disifatkannya sebagai ‘penahanan ala ISA’.

    Pada Januari 2020, Peguam Negara ketika itu Tommy Thomas berkata, Putrajaya berhasrat untuk meminda Seksyen 13(1) pada Mac tahun itu. Bagaimanapun, berlaku pertukaran kerajaan tidak lama kemudian.

  • Malaysia sokong penyelesaian politik dipimpin, dikawal rakyat Afghanistan

    Malaysia sokong penyelesaian politik dipimpin, dikawal rakyat Afghanistan

    MENTERI Luar Datuk Saifuddin Abdullah menekankan sokongan Malaysia ke atas proses inklusif yang dipimpin, dimiliki serta dikawal oleh rakyat Afghanistan sendiri, ke arah penyelesaian politik berkekalan demi keamanan dan keselamatan negara itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) awal pagi ini, Saifuddin juga menggesa agar hak asasi manusia dan kebebasan asasi di Afghanistan dihormati, termasuk dengan penyertaan penuh dan bermakna oleh golongan wanita, belia dan minoriti.

    Saifuddin berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara maya pada Isnin.

    Menteri Luar Negeri itu turut mengumumkan sumbangan kewangan daripada Malaysia sebanyak USD100,000 bagi membantu dan menyokong rakyat Aghanistan.

    Semasa mesyuarat itu, beliau menekankan bahawa keselamatan, hak asasi manusia dan kebajikan seluruh warga Afghanistan dan warganegara asing di negara itu harus diberi keutamaan dan dilindungi, di samping memastikan akses bantuan kemanusiaan yang segera dan selamat.

    Mesyuarat tergempar anjuran António Guterres, Setiausaha Agung PBB ini bertujuan mengukuhkan solidariti masyarakat antarabangsa ke atas rakyat Afghanistan serta mengetengahkan keperluan mendesak untuk mendapatkan sumbangan dan sokongan masyarakat antarabangsa bagi mengatasi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu.

    Setiausaha Agung PBB menekankan keperluan sumbangan kewangan sebanyak USD604 juta bagi membantu 11 juta rakyat Afghanistan dalam tempoh masa empat bulan yang akan datang.

    Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini mencerminkan solidariti Malaysia ke atas rakyat Afghanistan serta sokongan teguh Malaysia kepada pihak PBB dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Afghanistan, tambah kenyataan itu.- BERNAMA

  • Pendirian Malaysia mengenai kerajaan Taliban di Afghanistan Jumaat ini

    Pendirian Malaysia mengenai kerajaan Taliban di Afghanistan Jumaat ini

    PENDIRIAN rasmi Malaysia mengenai pengambilalihan Afghanistan oleh Taliban akan diputuskan pada mesyuarat Kabinet Jumaat ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

    Saifuddin berkata Malaysia berhubung dengan semua pihak berkepentingan termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kumpulan kemanusiaan di Afghanistan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai isu itu.

    Beliau berkata Malaysia buat masa ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan pendirian rasminya mengenai perkara berkenaan, dan ia akan dibincangkan serta mendapatkan nasihat Kabinet bagi membolehkan keputusan konkrit dibuat.

    “Petang ini, saya akan menghubungi Menteri Luar Qatar (Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani) dan setiausaha agung OIC (Yousef Al-Othaimeen) untuk mendapatkan pandangan dan nasihat mengenai urusan (hal-ehwal) di Afghanistan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di sini, hari ini.

    Kumpulan Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos sekali gus menguasai Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun susulan pengunduran tentera Amerika Syarikat dari negara itu. Berikutan itu, presiden Mohammad Ashraf Ghani turut meninggalkan negara berkenaan.

    Saifuddin berkata, Malaysia memantau keadaan di Afghanistan menerusi pelbagai saluran termasuk melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India yang ditauliah serentak ke Kabul, selain perwakilan di Pakistan.

    Mengenai status duta Afghanistan di Malaysia Dr Moheb Rahman Spin Ghar, Saifuddin berkata, diplomat itu dilantik oleh kerajaan Afghanistan terdahulu dan beliau tidak dipanggil pulang ke negaranya. 

    Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sentiasa berhubung dengan dua rakyat Malaysia di Afganistan yang bekerja untuk pertubuhan kemanusiaan antarabangsa di Kabul.- BERNAMA