Tag: Saifuddin Nasution Ismail

  • Usaha pembentukan kerajaan perpaduan digerakkan sebelum PRU-15 – Saifuddin

    Usaha pembentukan kerajaan perpaduan digerakkan sebelum PRU-15 – Saifuddin

    SETIAUSAHA Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan bermula pada tarikh keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diumumkan pada 19 November lalu, sebaliknya digerakkan lebih awal daripada itu.

    Beliau yang menjadi sebahagian daripada watak utama yang turut menyumbang kepada pembentukan kerajaan pasca PRU-15 itu menyatakannya menerusi hantaran di Facebook.

    Menceritakan kisah di belakang tabir bagaimana bermulanya gerakan membentuk kerajaan menerusi pintu rundingan bersama parti atau gabungan di luar PH, katanya beliau bertuah kerana diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam PKR, malah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut mendukung pendekatan itu.

    “Kita sudah lama membaca perubahan landskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri.

    “Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding. Saya bertuah kerana pandangan jauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ikut mendukung pendekatan ini (iaitu) pendekatan politik inklusif, meramaikan kawan dan mengurangkan musuh.

    “Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam KEADILAN,” katanya, lapor Berita Harian.

    Prinsip ‘percaya dan hormat’ kunci rundingan

    Kerajaan Perpaduan dibentuk atas saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tiada mana-mana parti atau gabungan politik berjaya mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas PRU15.

    Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar sebagai Perdana Menteri dianggotai PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata atas dasar ‘percaya dan hormat’ hubungan sesama pimpinan dalam PH cukup akrab dengan masing-masing saling memahami gerak politik satu sama lain.

    “Hubungan peribadi sekian lama dengan pimpinan BN pula khususnya UMNO, MIC dan MCA memudahkan saya berunding dan berbincang. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Wee Ka Siong (Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dan Tan Sri Vicky (Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran) dan Saravanan (Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan) rakan dekat sejak puluhan tahun.

    “Rakan dari Sarawak Joseph Salang (Presiden Parti Rakyat Sarawak, Datuk Joseph Salang Gandum); Alex Linggi (Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi); Tiong (Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing); Ibrahim Baki (Ahli Parlimen Satok, Datuk Ibrahim Baki) dan Wan Junaidi (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) antara beberapa nama amat mudah untuk diajak berbicara.

    “Shafie Apdal (Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal); Darell Leiking (Datuk Darell Leiking) dan Hajiji (Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor) dari Sabah juga kalangan teman yang ikut mendokong,” katanya.

    Gerakan rundingan pasca PRU15

    Mengulas gerakan sejurus keputusan PRU15 diumumkan pula, beliau berkata memandangkan tiada parti memperoleh majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti lain.

    Beliau mengakui, menjadi pembangkang bukannya satu pilihan kerana PH mesti menjadi kerajaan dengan Anwar diletakkan sebagai Perdana Menteri.

    “Bermula dari situ, saya diarah mengatur gerak mendekati watak utama parti bukan PH yang memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta.

    “Ternyata langkah diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah tatkala idea Kerajaan Perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

    Mengambil kira rentetan berlaku, Saifuddin mengakui pendekatan politik terbuka yang sentiasa diamalkan menjadi kunci kepada kejayaan pembentukan Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.

    “Politik itu dinamik, justeru pendekatan politik juga harus fleksibel

    “Hormat kawan dan lawan kerana kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan, selain bersabar kerana politik suatu ‘marathon’ yang lambat untuk mencapai destinasinya,” katanya.

  • [VIDEO] Lebih berpengalaman dan setia, Saifuddin yakin tewaskan Rafizi

    [VIDEO] Lebih berpengalaman dan setia, Saifuddin yakin tewaskan Rafizi

    SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin beliau mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan kesetiaan kepada parti berbanding pesaingnya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

    Sehubungan itu, Saifuddin menganggap faktor tersebut memberi kelebihan kepadanya untuk menewaskan Rafizi dalam pemilihan PKR bulan depan.

    Memetik laporan FMT, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu merujuk kepada rekodnya yang tidak pernah berundir daripada perjuangan parti lebih-lebih lagi semasa PKR dilanda pelbagai masalah termasuk selepas rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

    “Saya bawa pengalaman yang lama dalam parti.. selama 23 tahun. Saya kekal dalam parti PKR tanpa rehat dan tanpa undur, saya bawa kesetiaan dalam parti…ketika parti diuji dengan episod khianat,” katanya dalam wawancara khas bersama FMT.

    Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan tiba-tiba membuat penampilan semula dalam politik arus perdana menjelang pemilihan PKR.

    Sebelum itu, beliau ‘bercuti’ sejak penghujung 2019 selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Naib Presiden PKR itu dikecam oleh pemimpin-pemimpin partinya sendiri apabila mengumumkan ingin mencuba nasib sekali lagi bertanding jawatan nombor dua PKR serta memberi bayangan bakal kembali ke pentas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Berhubung tindakan Rafizi ‘bercuti’ ketika PKR berdepan krisis yang dianggap oleh pihak tertentu sebagai satu pengkhianatan, Saifuddin berpandangan sebaliknya.

    Beliau berkata, Rafizi tidak keluar PKR selepas meraih jawatan, dalam parti dan kerajaan seperti mana dilakukan individu lain.

    “Saya tidak melihat itu sebagai satu pengkhianatan. Rafizi memilih untuk berehat sementara dengan tujuan memberikan fokus kepada perniagaan. Sampai masa, beliau kembali ke gelanggang. Itu bezanya.

    “Setelah beliau tampil menawarkan diri, saya kira beliau sudah mampu menguruskan perniagaannya itu dengan jayanya, dan masanya (sampai) untuk beliau kembali menawarkan diri. Saya kekal menganggap beliau sebagai satu aset yang penting untuk parti,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, Saifuddin percaya beliau mempunyai kelebihan dari segi menguruskan parti berbanding Rafizi.

    “Saya juga membawa kemahiran dalam berurusan dengan parti politik sahabat mahupun dengan parti lawan. Misalnya sekarang saya mengetuai jawatankuasa PH dalam MoU (kerjasama) dengan kerajaan persekutuan membolehkan saya berunding dengan Perdana Menteri atau menteri yang terlibat.

    “Jadi semuanya itu saya percaya akan memberikan nilai tambah dengan kedudukan saya untuk parti itu sendiri dan juga gabungan (PH),” ujarnya.

  • Rafizi tak pernah ada hubungan baik dengan Guan Eng – Saifuddin

    Rafizi tak pernah ada hubungan baik dengan Guan Eng – Saifuddin

    RAFIZI Ramli tiada kaitan dengan pelantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku penasihat kepada Lim Guan Eng ketika Ahli Parlimen Bagan itu menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu selama setahun.

    Memetik laporan FMT, Saifuddin mendakwa, Rafizi yang juga pesaingnya bagi jawatan Timbalan Presiden PKR tidak mempunyai hubungan baik dengan Guan Eng.

    “Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang?

    “Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Guan Eng, apa lagi untuk mencadangkan pelantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

    Saifuddin turut menafikan kenyataan Rafizi yang mengatakan dirinya telah berkorban demi membantunya yang ‘hilang kerja’ selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13),

    Menurutnya, beliau dilantik semula sebagai Setiausaha Agung PKR pada 2016 bagi menggantikan Rafizi kerana bekas ahli Parlimen Pandan itu berdepan dengan kes-kes mahkamah termasuk kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp).

    “Hampir dua tahun selepas itu, iaitu pada November 2016 saya kembali dilantik oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Rafizi yang berdepan kes-kes mahkamah.

    “Rafizi kata dia beri laluan kepada saya. Laluan selepas dua tahun,” ujarnya.

    Semalam, Rafizi berkata beliau berkorban demi membantu Saifuddin ketika ‘hilang kerja’ selepas kalah pada PRU-13.

    Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau memujuk Saifuddin kembali aktif dalam politik susulan kekalahannya pada 2013 selain memberi laluan kepadanya menjadi setiausaha agung parti, jawatan yang kekal disandang Saifuddin sehingga kini.

    Sementara itu, Saifuddin menganggap percubaan Rafizi menjawab isu ‘bercuti’ adalah satu usaha yang baik.

    Beliau tidak mempunyai niat memanjangkan isu ini dan sentiasa menghormati Rafizi sebagai rakan seperjuangan.

    “Saya yakin pertandingan Timbalan Presiden ini tidak akan mencarikkan silaturrahim,” katanya.

  • Saifuddin berentap dengan Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

    Saifuddin berentap dengan Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

    PERSAINGAN menjelang pemilihan PKR semakin berbahang apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR akan berentap dengan Rafizi Ramli, dan setakat ini belum ada calon lain yang mengumumkan bertanding jawatan tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini, Saifuddin membuat pengumuman itu dalam perutusan khas selepas Mesyuarat Agung Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan Kelantan di Mulong, Kota Bharu.

    Saifuddin membangkitkan pengalamannya dalam PKR dan ketaatannya kepada pimpinan dan perjuangan parti selama lebih dua dekad dan memohon agar seluruh anggota memberi sokongan kepadanya.

    “Saya bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi Presiden yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana sebelumnya membantu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiap parti menghadapi pilihan raya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya,” katanya.

    Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan mesyuarat agung tersebut.

    Saifuddin dan Rafizi sebelum ini pernah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, masing-masing pada 2014 dan 2018. Kedua-duanya tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Bekas Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga dikatakan akan bertanding jawatan itu, namun berkata sedia memberi laluan kepada Saifuddin.

    Sementara itu Saifuddin mengalu-alukan pengumuman awal Rafizi yang turut menawarkan diri.

    “Sejujurnya Rafizi merupakan aset parti, seorang yang kreatif, intektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan dan lawan.

    “Justeru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan di dalam perlembagaan parti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru.

    Beliau juga komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan diri sebagai ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti

    Katanya, ia terbukti apabila turut mempersiapkan parti dalam menghadapi tiga pilihan raya umum sebelum ini, termasuk urusan rundingan kerusi, perangkaan manifesto, perancangan strategi, pengukuhan jentera dan kempen seluruh negara.

    “Pada ketika lanskap politik negara sudah banyak berubah yang menyaksikan tiada lagi dominasi tunggal satu parti politik yang mampu menang pilihanraya, maka kemahiran diplomasi politik menjadi suatu keperluan.

    “Saya membawa pengalaman tatkala parti bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Saya berhasrat memanfaatkan sedikit kemahiran membantu parti dalam perkara berkait diplomasi politik dalam memelihara hubungan dengan parti-parti sahabat di dalam PH dan parti-parti lain di negara kita.

    “Saya juga berjanji akan menghormati keputusan setiap anggota parti yang membawa maksud jika terpilih, saya akan tunaikan amanah dan jika sebaliknya saya akan terus kekal berkhidmat untuk PKR dalam apa jua peranan,” jelasnya.