Tag: Sabah

  • Pelancongan Sabah rancak selepas rentas negeri dibenarkan

    Pelancongan Sabah rancak selepas rentas negeri dibenarkan

    SEKTOR pelancongan di Sabah akan rancak semula sebaik sahaja kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri.

    Keyakinan itu disuarakan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

    “Sekarang ini, kadar vaksinasi di peringkat nasional telah mencapai 87.2 peratus dan dijangka mencecah 90 peratus dalam tempoh kurang seminggu lagi.

    “Apabila angka ini dicapai, rentas negeri akan dibenarkan dan saya berharap mampu merancakkan semula sektor pelancongan di Sabah,” katanya.

    Beliau mengulas tentang pemerhatiannya semasa lawatan singkat di Sabah yang berakhir hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut meluangkan masa meninjau sendiri para peniaga di kawasan Sembulan, Kota Kinabalu.

    Muhyiddin menambah, rata-rata perniagaan mula dibuka, selari dengan peralihan Sabah ke Fasa 2 pada Julai lalu.

    Beliau memberitahu, Sabah yang telah mencapai kadar vaksinasi lebih 70 peratus dijangka beralih ke Fasa 3 tidak lama lagi.

    “Di sebalik pembukaan sektor ekonomi ini, saya sedar banyak industri di Sabah masih terkesan selagi sektor pelancongan belum boleh dijalankan sepenuhnya,” jelasnya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut menerima maklum balas daripada para peniaga mengenai masalah biaya dan modal untuk membuka semula perniagaan mereka selain isu tenaga kerja.

    “Insya-Allah, perkara yang mereka bangkitkan ini akan saya bawa ke mesyuarat Majlis Pemulihan Negara akan datang untuk dibincangkan dan dicari penyelesaiannya,” katanya.

  • Kerajaan komited selesai isu Sabah, Sarawak secara tuntas

    Kerajaan komited selesai isu Sabah, Sarawak secara tuntas

    RMK12

    KOMITMEN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah gambaran jelas kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikannya secara tuntas.

    Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, Perdana Menteri yang menyentuh perkara itu semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) semalam, telah mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam mengharmonikan lagi hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Isu berkenaan MA63 ini tidak boleh dilewat-lewatkan lagi sebab ia sudah sekian lama dibincangkan. Harus dilihat pencapaian yang pantas, yang konkrit melalui strategi di bawah tempoh tertentu (dalam mencari penyelesaian).

    “Hanya dengan (penyelesaian) ini sahaja bukan sahaja dapat memuaskan hati rakyat Sabah dan Sarawak tetapi akan lebih memberi makna kepada aspirasi awal pejuang kemerdekaan dan juga gagasan Keluarga Malaysia yang dikemukakan Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama, hari ini.

    Menurutnya, jika tuntutan di bawah MA63 ini dapat dipenuhi dalam tempoh terdekat ini, sudah pasti akan memberikan kelebihan kepada kerajaan negeri sekarang dalam persiapannya menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

    “Ini (menyelesaikan isu MA63) merupakan langkah ke hadapan untuk memastikan akan wujud keharmonian dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan dan kemudiannya memberi kesan kepada bagaimana rakyat di negeri ini bertindak balas dalam pilihan raya akan datang,” kata Jeniri.

    Menurutnya, Perdana Menteri turut memberikan komitmen yang jelas untuk memastikan pembangunan di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo itu dapat dipacu dengan lebih pesat berdasarkan perancangan untuk merapatkan lagi jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    “Saya percaya jika semua projek ini dilaksanakan dengan efektif tanpa ketirisan, dilaksanakan mengikut jadual akan memberi kesan limpahan besar dalam usaha untuk memacu dari segi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di bandar dan luar bandar,” tambahnya. – BERNAMA

  • Sabah, Sarawak terima sehingga 18% peruntukan pembangunan setahun

    Sabah, Sarawak terima sehingga 18% peruntukan pembangunan setahun

    RMK12

    SABAH dan Sarawak masing-masing akan menerima antara 15 peratus hingga 18 peratus setahun daripada jumlah peruntukan pembangunan asas dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, peratusan yang lebih tinggi daripada peruntukan itu akan diagih kepada sektor ekonomi di kedua-dua negeri yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan infrastruktur dan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak.

    Selain itu, sepanjang tempoh 2021-2025, lima bangunan Mahkamah Anak Negeri akan dibina di Sabah, sementara 10 Mahkamah Bumiputera di Sarawak bakal dinaik taraf untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada komuniti.

    “Kerajaan juga menetapkan sasaran untuk melaksanakan pemetaan tanah adat seluas 65,000 hektar di Sabah dan 397,000 di Sarawak sepanjang lima tahun RMK-12,” demikian menurut dokumen itu yang dikeluarkan hari ini.

    Turut diberi perhatian adalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) yang proses penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik di bawah perjanjian tersebut akan diteruskan dalam RMK-12 dengan pindaan terhadap beberapa klausa perundangan selain mewujudkan badan kawal selia.

    Sementara itu, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan merangkumi pelbagai agensi utama Persekutuan dan negeri yang bertanggungjawab dalam perancangan wilayah, penyelarasan serta penilaian seterusnya merapatkan jurang pembangunan di seluruh wilayah dan negeri.

    Dalam RMK-12, sebanyak tujuh projek Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dijenamakan sebagai Rumah Malaysia di Sabah dan Sarawak melibatkan 3,202 rumah kos rendah akan disiapkan untuk memastikan penyediaan rumah mampu milik adalah mampan dalam jangka panjang.

    “Selain itu, lebih banyak rumah mampu milik akan dibina untuk kumpulan sasar di Sabah dan Sarawak termasuk 2,400 unit Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad,” demikian menurut dokumen itu.

    Kerajaan juga akan menambah bilangan pos keselamatan di sepanjang sempadan antarabangsa Sabah dan Sarawak untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin serta membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang.

    Menurut dokumen itu, pelan yang menyeluruh akan dilaksanakan untuk menguruskan pendatang tanpa izin merangkumi strategi penguatkuasaan yang komprehensif melibatkan agensi berkaitan, kerajaan negeri dan orang awam.

    Berdasarkan potensi Leburaya Pan Borneo sebagai pemacu perubahan di Sabah dan Sarawak, hub pengumpulan yang bersepadu akan diwujudkan di sepanjang laluan itu bagi menambah naik kecekapan pengendalian kargo.

    Selain itu, peraturan pendaftaran perniagaan akan dikaji semula dan diperbaharui untuk memudahkan urusan menjalankan perniagaan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan lagi pertumbuhan perniagaan di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

  • RMK-12: 6 sasaran terpilih mantap infrastruktur Sabah, Sarawak

    RMK-12: 6 sasaran terpilih mantap infrastruktur Sabah, Sarawak

    RMK12

    RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK-12) menetapkan enam sasaran terpilih bagi memantapkan penyediaan infrastruktur di Sabah dan Sarawak kerana ia memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi di kedua-dua negeri.

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, bagi tempoh 2021-2025, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan liputan akses kepada air bersih dan selamat sebanyak 98 peratus di kedua-dua negeri .

    “Antaranya membina infrastruktur baharu bagi perkhidmatan air seperti empangan, takungan air pinggiran sungai, loji rawatan air dan loji rawatan kumbahan manakala infrastruktur sedia ada akan dinaik taraf.

    “Bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW), peruntukan akan disediakan di bawah Program Pengurangan NRW di kedua-dua negeri,” menurut dokumen itu.

    Selain itu, kerajaan juga menyasarkan untuk membina dan menaik taraf jalan luar bandar berturap sebanyak 700 kilometer di kedua-dua negeri.

    Turut diberi perhatian adalah liputan jalur lebar yang akan ditingkatkan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam usaha menyediakan peluang digital yang saksama kepada penduduk, dan bagi tujuan itu 382 tapak infrastruktur digital baharu akan dibina di Sabah, manakala 636 lagi di Sarawak sepanjang RMK-12.

    Dokumen itu juga menyatakan, capaian jalur lebar di sekolah dan kawasan sekitar juga akan ditambah baik dengan penyediaannya di kawasan bandar diterajui oleh pihak industri, manakala kerajaan memberi tumpuan di kawasan luar bandar.

    Di bawah RMK-12, sebanyak 781 points of presence (PoP) disediakan di Sabah dan 643 di Sarawak bagi membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan bangunan komersial berdekatan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar, seterusnya mengalakkan aktiviti dalam talian di kawasan luar bandar.

    Bagi menambah baik sistem bekalan elektrik di kedua-dua negeri, kerajaan antaranya akan membina loji jana kuasa baharu dan menaik taraf talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah, selain memulakan kerja awalan projek talian penghantaran Southern Link sepanjang RMK-12.

    Menurut dokumen itu, Sarawak akan membina satu lagi talian penghantaran 500 KiloVolt (kV) sebagai talian penghantaran utama yang kedua di samping membina Grid Utara untuk meningkatkan Sistem Grid Negeri meliputi seluruh negeri.

    “Pelaksanaan projek ini membolehkan tenaga elektrik dibekalkan ke Sabah dan dieksport ke Kalimantan pada masa hadapan,” demikian menurut dokumen itu yang turut menyasarkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem kepada 150 minit bagi Sabah dan 60 minit untuk Sarawak.

    Kerajaan juga akan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam dan logistik termasuk pelabuhan dan lapangan terbang bagi melancarkan pergerakan pengguna serta barangan yang seterusnya dapat membantu menarik lebih banyak pelaburan. – BERNAMA

  • PKPD Kampung Bambangan di Sabah mulai Isnin – MKN

    PKPD Kampung Bambangan di Sabah mulai Isnin – MKN

    KAMPUNG Bambangan di Telupid,  Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin ini sehingga 10 Oktober, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.

    Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di lokaliti berkenaan.

    Dalam pada itu, PKPD di Ladang Insanjaya dan Ladang Darabif di Pekan, Pahang dan Taman Semarak Mega di Tawau, Sabah masing-masing ditamatkan hari ini mengikut jadual.

    PKPD di Perumahan IOI Plantation Unico Oil Mill Sdn Bhd di Segama dekat Lahad Datu dan Kampung Dumpiring Bawah, Ranau di Sabah serta Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Simpangan di Pengkalan Kubur dekat Tumpat, Kelantan, turut ditamatkan hari ini sehari lebih awal daripada jadual.- BERNAMA

  • 69 mangsa banjir di dua PPS di Sabah

    69 mangsa banjir di dua PPS di Sabah

    SERAMAI 69 mangsa banjir daripada 19 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini pagi ini.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memberitahu, 33 mangsa banjir daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol, Sipitang.

    Menurut kenyataan itu 36 mangsa banjir daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Tamau, Kota Belud.

    “Paras air sungai di Kota Belud meningkat, maka persediaan dilakukan untuk membuka PPS baharu sekiranya diperlukan. Pemantauan sedang dilakukan di kawasan ‘hotspot’ banjir,” menurut kenyataan tersebut.

    Pagi ini terdapat 39 kawasan di Kota Belud dan 10 kawasan di Sipitang masih terjejas akibat banjir, manakala cuaca ketika ini mendung.- BERNAMA

  • Kampung Garib, Kudat dikenakan PKPD bermula Rabu – MKN

    Kampung Garib, Kudat dikenakan PKPD bermula Rabu – MKN

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Garib, Matunggong di Kudat, Sabah bermula Rabu ini hingga 5 Okt, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

    Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuatkan di laman sosial Facebook hari ini.

    Menurutnya PKPD di Kampung Dusun Pak Senam, Mukim Ulu Jelai di Lipis, Pahang yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan hingga 5 Okt, manakala PKPD di beberapa kawasan di Sabah yang dilaksanakan sebelum ini akan ditamatkan esok.

    Lokaliti terlibat ialah Kampung Tanjung Batu Tengah, Tawau; Taman Limauan, Kinarut, Papar; Kampung Pantai Emas dan Kampung Lentigi, Kota Belud; Kampung Mompilis, Matunggong, Kudat; serta Kampung Pahu Pinawantai, Ranau.

    Rodzi turut berkata PKPD di Kampung Lotong, Kota Marudu, Sabah juga akan ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 28 Sept.- BERNAMA

  • PKPD di dua lokaliti di Sabah

    PKPD di dua lokaliti di Sabah

    DUA lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 9 hingga 22 Sept ini susulan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad dalam kenyataan hari ini memaklumkan lokaliti itu melibatkan Kampung Sugiang Baru, Tenom dan Kampung Rapak, Ranau.

    PKPD di Kampung Rempayan Laut, Kota Belud juga di Sabah yang sepatutnya tamat esok pula dilanjutkan bagi tempoh sama sehingga 22 Sept.

    Sementara itu, PKPD yang dilaksana di tiga lokaliti di Pahang dan lapan di Sabah ditamatkan hari ini seperti dijadualkan manakala lapan lagi PKPD di Sabah, dua di Pahang serta tiga di Kelantan turut ditamatkan hari ini, masing-masing lebih awal daripada yang ditetapkan.- BERNAMA

  • Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

    Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Penampang

    EMPAT sekeluarga terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan, ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Taman Hungap, di sini awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.40 pagi.

    Beliau berkata mangsa kebakaran dikenal pasti sebagai pasangan Matthew Wong, 50; dan Jecky Vun Kon Fung, 48; bersama dua anak mereka Brendan Wong, 18; dan Eric Wong, 15.

    “Pada awalnya kita diberitahu jiran mungkin penghuni rumah itu masih di dalam dan selepas JBPM berjaya mengawal kebakaran dan membuat pemeriksaan kebakaran rumah tersebut, empat mangsa itu ditemukan rentung kira-kira 5 pagi tadi.

    “Operasi di tempat kejadian ditamatkan pada pukul 6.10 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Misran berkata 90 peratus daripada rumah teres teres itu terbakar, selain dua buah kenderaan yang terbakar 10 peratus.- BERNAMA

  • Mayat penumpang Myvi ditemukan

    Mayat penumpang Myvi ditemukan

    MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam, selepas kenderaan itu berjaya dikeluarkan dari dalam air pada 11.28 pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan terbaru memaklumkan, mangsa yang ditemukan merupakan penumpang kereta tersebut iaitu Juning Maturun, 37, dan mayat mangsa telah diserah kepada pihak polis.

    “Operasi pencarian bagi mangsa kedua (pemandu Simon Sanga Tupe, 68) masih dijalankan bersama Unit K9, Pasukan Penyelamat di Air, pihak polis dan penduduk kampung,” menurut kenyataan itu.

    Semalam tular video kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.- BERNAMA