Tag: RUU

  • GEG: RUU tidak menjenayahkan kanak-kanak – Khairy

    GEG: RUU tidak menjenayahkan kanak-kanak – Khairy

    DAKWAAN Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 ‘menjenayahkan kanak-kanak’ adalah mengelirukan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata kompaun bagi orang belum dewasa yang merokok sememangnya wujud dalam peraturan sedia ada dan tidak boleh didaftar sebagai kesalahan jenayah.

    “Dia (perokok belum dewasa) bukannya masuk penjara dan tiada hukuman penjara bagi mereka ataupun dalam RUU baharu ini kepada mereka yang lahir selepas 2007.

    “Jadi janganlah kelirukan rakyat menyatakan bahawa kanak-kanak akan dijenayahkan. Itu tidak betul. Sekarang pun kalau ada kanak-kanak beli rokok dan sekiranya dikesan penguat kuasa, dia akan dikompaun RM50 sahaja,” katanya pada pemberita selepas merasmikan portal KKMNOW, sebagai mengulas penyerahan memorandum pihak Consumer Choice Centre (CCC) di Parlimen hari ini bagi membantah pelaksanaan RUU tersebut.

    Memorandum tersebut menyenaraikan tiga bantahan yang menyifatkan RUU itu mengandungi kuasa penguatkuasaan yang besar, menjenayahkan kanak-kanak dan menyebabkan golongan miskin terjejas.

    RUU berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG) bagi merokok.

    Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Khairy pada 27 Julai lepas tetapi kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi.

    Khairy berkata RUU tersebut telah melalui proses perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu yang wakilnya terdiri daripada pelbagai ahli politik dan antara pindaan dibuat adalah untuk memperkemaskan kuasa-kuasa penguatkuasaan supaya jelas bahawa tiada kuasa yang keterlaluan.

    Terdahulu, Khairy dalam ucapanya berkata KKMNOW merupakan kesinambungan atau peluasan kepada fungsi portal COVIDNOW, selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan satu platform bersepadu bagi tujuan perkongsian data kesihatan.

    Katanya skop KKMNOW yang lebih luas itu merangkumi paparan data berkaitan program kesihatan seperti pendermaan darah dan organ, saringan kesihatan dan data penyakit berjangkit.

    KKMNOW dibangunkan dengan kerjasama strategik dengan Jabatan Perangkaan (DOSM) dan ia oleh diakses menerusi https://data.moh.gov.my/. – BERNAMA

  • Kesalahan menghendap boleh dipenjara tiga tahun, denda

    Kesalahan menghendap boleh dipenjara tiga tahun, denda

    INDIVIDU yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Memetik laporan Berita Harian, peruntukan itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 (Akta 574), yang bertujuan menjadikan menghendap sebagai satu kesalahan, selain memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkenaan.

    RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermiyati Samsudin, di Dewan Rakyat, hari ini.

    Menurut naskah biru yang diedarkan di Parlimen, kesalahan menghendap itu merangkumi perbuatan mengekori; berkomunikasi atau cuba berkomunikasi dalam sebarang cara; berlegar-legar di kediaman atau tempat kerja seseorang dan memberi atau menghantar apa-apa sahaja kepada seseorang dalam sebarang cara.

    “Sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, mengetahui atau sepatutnya mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, maka ia sudah sudah melakukan kesalahan menghendap.

    “Mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan menghendap akan dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” menurut naskah biru itu.

    Di bawah seksyen 507A, berulang kali itu merujuk kepada sekurang-kurangnya dua kali perbuatan.

    Fasal 1 RUU berkenaan juga mengandungi tajuk ringkas dan bertujuan memberi Menteri kuasa untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

    Mas Ermiyati turut membentangkan bacaan kali pertama RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2022 (Akta 593), yang bertujuan memasukkan bab baharu XA ke dalam Akta 593.

    Ia bagi memberi mahkamah kuasa, atas permohonan, untuk mengeluarkan perintah perlindungan terhadap individu sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap di bawah seksyen baharu 507A Kanun Keseksaan.

    Bacan kali kedua kedua-dua RUU itu akan dibentangkan pada persidangan akan datang.

  • Draf RUU Anti-Gangguan Seksual mula digubal, dijangka dibentang tahun ini

    Draf RUU Anti-Gangguan Seksual mula digubal, dijangka dibentang tahun ini

    DRAF Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) telah mula digubal secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pasukan khas tersebut terdiri daripada wakil kementerian dan agensi yang berkaitan, badan bukan kerajaan serta ahli akademik yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam perkara tersebut.

    “Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuklah dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, PROLINTAS, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, dan Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, sebagai usaha untuk mendapatkan input untuk penggubalan RUU AGS ini,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

    Rina memaklumkan draf ini telah mula disemak secara bersama oleh KPWKM dan Jabatan Peguam Negara mulai Januari 2021, bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul.

    “Saya ingin tegaskan bahawa penggubalan RUU Anti-Gangguan Seksual ini tetap menjadi keutamaan kementerian dengan kerjasama erat Jabatan Peguam Negara.

    “Pada masa ini, KPWKM sedang menunggu ‘white bill’ atau kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara, sebelum RUU ini dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri, dan kemudiannya dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen yang dijangkakan pada tahun ini juga”, katanya.

    Menurut beliau KPWKM menyedari wujudnya kekangan daripada sudut perundangan dan polisi sedia ada seperti beban pembuktian yang tinggi, ketiadaan remedi khusus kepada mangsa selain wujudnya isu ‘under-reporting’ kerana mangsa takut dan malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

    Rina berkata walaupun RUU tersebut masih di dalam peringkat semakan, kes-kes gangguan seksual sedang ditangani melalui pelbagai akta dan peraturan lain.

    “Antara akta dan peraturan tersebut adalah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Kerja 1995 [Akta 265], Peraturan 4A, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 iaitu Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam.

    “Oleh itu, KPWKM menggesa mangsa untuk terus tampil membuat laporan segera kerana akta dan peraturan sedia ada boleh dikuatkuasakan, untuk melindungi kepentingan dan keselamatan mangsa,” katanya.

    Rina berkata kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga sedang melipatgandakan usaha meningkatkan kesedaran dan program-program advokasi, untuk mengelakkan perlakuan tersebut daripada terus berleluasa sama ada secara fizikal, visual dan bentuk-bentuk lain.

    Katanya sehingga Julai 2021 sebanyak 65 program kesedaran dan advokasi berkaitan gangguan seksual telah dilaksanakan oleh JPW pada tahun ini, dengan penglibatan seramai 10,952 peserta dari seluruh negara.- BERNAMA