Tag: Rusia

  • 6 maut ketika daki Gunung Berapi Klyuchevskaya Sopka

    6 maut ketika daki Gunung Berapi Klyuchevskaya Sopka

    ENAM orang maut ketika mendaki gunung Klyuchevskaya Sopka di Kamchatka Rusia pada Sabtu, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Menurut laporan TASS, sekumpulan 10 pelancong Rusia dan dua pemandu pelancong memulakan misi mendaki gunung itu pada Selasa.

    Pada Sabtu, sembilan daripada pendaki berkenaan mula mendaki Klyuchevskaya Sopka manakala yang selebihnya berada di kem yang terletak pada ketinggian 3,300 meter.

    Mangsa dipercayai meninggal dunia ketika berada pada ketinggian kira-kira 4,150 meter. Anggota penyelamat sedang mengesan pendaki yang lain.

    Maklumat lanjut mengenai kejadian itu masih belum diumumkan.

    Klyuchevskaya Sopka yang mempunyai ketinggian kira-kira 4,750 meter ialah gunung berapi aktif tertinggi di Eurasia.

  • [VIDEO] Nahas pesawat Il-76: 2 maut, 5 cedera

    [VIDEO] Nahas pesawat Il-76: 2 maut, 5 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA dua maut dan lima lagi cedera selepas sebuah pesawat penumpang Il-76 terhempas di wilayah Ryazan, Rusia pada pagi Jumaat, menurut pihak berkuasa Rusia.

    Kejadian berlaku pada 3.18 pagi waktu tempatan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Rusia TASS.

    Pesawat Il-76 itu terhempas sebelum terbakar ketika cuba mendarat berhampiran Ryazan, sebuah bandar yang terletak kira-kira 200 kilometer dari tenggara Moscow.

    https://youtu.be/JtMbACUc58Q

    Api berjaya dipadamkan, dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – BERNAMA

  • Konflik Rusia-Ukraine melarat cetus Perang Dunia Ketiga – Soros

    Konflik Rusia-Ukraine melarat cetus Perang Dunia Ketiga – Soros

    KONFLIK Rusia-Ukraine yang sedang meletus ketika ini dijangka melarat sehingga mencetuskan Perang Dunia Ketiga, ramal penyangak mata wang antarabangsa, George Soros.

    Memetik laporan Mirror, Soros, 91, meramalkan situasi itu akan menyebabkan tamadun dunia moden berakhir.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland baru-baru ini.

    Katanya, satu-satu harapan yang tinggal bagi dunia Barat adalah menumpaskan Presiden Rusia, Vladimir Putin secepat mungkin bagi menamatkan perang yang menggegarkan Eropah itu.

    “Penaklukan itu mungkin permulaan bagi Perang Dunia Ketiga dan tamadun kita mungkin berakhir.

    “Kita mesti menggerakkan segala sumber-sumber kita untuk menamatkan perang lebih awal.

    “Satu-satunya cara yang ada untuk memastikan kesinambungan tamadun kita adalah dengan menewaskan Putin secepat mungkin.

    “Walaupun pertempuran akan berhenti, situasi tidak akan kembali seperti sedia kala.

    “Konflik tersebut menyebabkan isu-isu kemanusian yang lain seperti melawan pandemik dan perubahan iklim, mengelakkan perang nuklear, mengekalkan institusi global tidak diberi keutamaan dan sebab itu saya kata tamadun kita mungkin akan tamat,” katanya.

    Soros memuji Ukraine yang mempertahankan nilai-nilai Barat dan berpandangan, negara itu sedang berperang untuk dunia Barat dan Eropah.

    “Mereka ada peluang untuk menang dan kita mesti memberikan segala bantuan yang mereka minta,” jelasnya.

    Pada masa yang sama, beliau mengkritik Jerman terutamanya bekas Canselor, Angela Merkel kerana menjalinkan ‘rundingan khas’ dengan Moscow bagi menjamin bekalan minyak.

  • ‘Mulut ke neraka’ muncul, penduduk setempat ketakutan

    ‘Mulut ke neraka’ muncul, penduduk setempat ketakutan

    FENOMENA yang digelar sebagai ‘mulut ke neraka’ muncul di Siberia, Rusia sehingga mencetuskan kegusaran penduduk setempat yang mengaitkannya dengan alam ghaib.

    Memetik laporan Mirror, penduduk di Batagay, Yakutia mengesan pembukaan yang luas di atas tanah dan sebahagian mereka percaya ia adalah laluan ke alam ghaib.

    Kawah Batagaika dilihat semakin bertambah kedalamannya dari semasa ke semasa dan ‘menelan’ benda-benda yang berhampiran dengannya sehingga mengubah landskap di kawasan berkenaan.

    Kejadian itu dikatakan berlaku apabila permafrost (air yang terperangkap dalam lapisan bumi) mula cair di tanah yang menjadi beku pada Zaman Ais kira-kira 2.58 juta tahun lalu.

    Apabila kawasan hutan tersebut ditebang pada 1960-an, cahaya matahari mula memanaskan tanah di situ justeru menyebabkan ais yang terperangkap di dalamnya cair dan tanah menggelongsor sehingga membentuk kawah.

    Lebih banyak ‘mulut ke neraka’ dijangka muncul di seluruh dunia ekoran kesan pemanasan global yang mencairkan ais yang terperangkap di dalam tanah.

    mulut ke neraka Batagaika crater
    Imej satelit kawah Batagaika yang dirakam Google Maps. (Gambar: Mirror)

    Kawah Batagaika mula diukur sejak 1980-an dan ketika ini, ia adalah sepanjang 1 kilometer dan kedalamannya 86 meter.

    Lapisan tanah paling dalam di situ mungkin berusia setua 650,000 tahun dan pergerakan tanah masih belum berhenti.

    Kawah tersebut membesar antara 20 ke 30 meter setiap tahun.

    Penduduk bimbang ‘mulut ke neraka’ yang semakin membesar itu akan menelan semua benda di sekelilingnya.

    Lebih membimbangkan, etnik Yakut yang mendiami kawasan tersebut mendengar bunyi ‘letupan’ yang menggerunkan dari kawah Batagaika.

    Walau bagaimanapun, seorang penyelidik, Julian Murton telah mengkaji kawah berkenaan dan hanya menemukan batu-batan.

    Tiada laluan yang menuju ke dalam bumi seperti yang disangka penduduk selama ini.

  • Mayat wanita tiba-tiba hidup semula sebelum dikebumi

    Mayat wanita tiba-tiba hidup semula sebelum dikebumi

    SEORANG wanita yang disahkan meninggal dunia oleh doktor tiba-tiba ‘hidup semula’ semasa majlis penghormatan terakhir sebelum pengebumiannya.

    Memetik laporan Mirror, Fagilyu Mukhametzyanov, 49, dari Kazan, Rusia sebelum itu pengsan di rumahnya setelah mengalami kesakitan pada bahagian dada.

    Suaminya yang berumur 51 tahun membuat keputusan untuk meletakkan mayat isterinya dalam keranda terbuka pada majlis penghormatan terakhirnya.

    Namun, dia menerima kejutan yang besar ketika memberi penghormatan terakhir terhadap isterinya di mana wanita itu tiba-tiba bangkit di hadapannya.

    Selepas mendengar hadirin berdoa untuk rohnya, Fagilyu membuka matanya dan mendapati dia berada dalam situasi yang pelik.

    Kemudian, dia mula menjerit sekuat-kuat hati sehingga menyebabkan semua yang hadir terkejut.

    Mereka kemudian segera membawanya ke hospital namun dia hanya sempat hidup selama 12 minit ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi.

    Kali ini, Fagilyu pergi untuk selama-selamanya.

    “Saya sangat marah dan mahu penjelasan. Dia tidak mati pada mulanya dan mereka boleh menyelamatkannya,” kata suaminya.

    Sementara itu, jurucakap hospital, Minsalih Sahapov berkata, siasatan akan dijalankan terhadap insiden tersebut.

    Kejadian ‘mayat hidup semula’ semasa majlis penghormatan terakhir itu bukan yang kali pertama berlaku.

    Awal bulan ini, Mirror melaporkan seorang wanita di Lambayque, Peru mengetuk kerandanya pada majlis tersebut.

    Sebelum itu, Rosa Isabel Cespedes Callaca disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

  • Kapal Moskva Rusia karam dibedil pengawal sempadan Ukraine

    Kapal Moskva Rusia karam dibedil pengawal sempadan Ukraine

    RUSIA pada Khamis berkata, kapal utama armadanya di Laut Hitam, kapal penjelajah peluru berpandu Moskva, tenggelam dalam laut bergelora ketika ia ditunda ke pelabuhan selepas rosak akibat letupan.

    Moskva hilang kestabilan berikutan kerosakan serius pada badan kapal selepas peluru di atas kapal itu meletup, kata Kementerian Pertahanan Rusia, sambil menambah anak-anak kapal dipindahkan ke kapal lain, lapor Xinhua.

    Moskva “rosak teruk” disebabkan letupan peluru di atas kapal akibat kebakaran, tetapi ia kekal terapung selepas api dipadamkan, kata kementerian itu.

    Gabenor Wilayah Odessa Ukraine, Maksim Marchenko pada Rabu berkata di Telegram bahawa pengawal sempadan Ukraine di Snake Island menggunakan peluru berpandu jelajah anti-kapal Neptune untuk membedil kapal penjelajah peluru berpandu itu sehingga mengalami kerosakan yang “sangat serius.” – BERNAMA

  • Tentera Rusia diusir lebih 70 km dari Kyiv

    Tentera Rusia diusir lebih 70 km dari Kyiv

    TENTERA Rusia berjaya diusir sejauh lebih 70 kilometer dari ibu negara, Kyiv di beberapa lokasi tertentu hasil “kejayaan operasi” ketenteraan Ukraine, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine pada Sabtu.

    “Di beberapa kawasan lain, unit Angkatan Tentera Rusia berada 35 kilometer (sekitar 22 batu) dari Kyiv,” kata Oleksandr Motuzyanyk pada sidang media, lapor Agensi Anadolu.

    Bagaimanapun,”tiada sebarang tanda pengunduran tentera Rusia dari kawasan tertentu di Kyiv buat masa ini,” katanya.

    Motuzyanyk mendakwa negaranya berjaya “melaksanakan mobilisasi,” dan kini “di peringkat kedua mobilisasi.”

    “Kami telah mengerah lebih 100,000 orang. Pada masa ini, seluruh negara menyertai usaha menentang penceroboh,” katanya.

    Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.

    Sekurang-kurangnya 1,081 orang awam telah terbunuh dan 1,707 yang lain cedera manakala lebih 3.7 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – BERNAMA

  • Rusia akan bertindak jika Bosnia sertai NATO

    Rusia akan bertindak jika Bosnia sertai NATO

    BOSNIA dan Herzegovina mempunyai hak untuk memilih sama ada mahu menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) atau sebaliknya, tetapi Moscow berhak bertindak berdasarkan kepentingan negaranya, lapor Agensi Anadolu, memetik perwakilan Rusia.

    “Jika Bosnia dan Herzegovina memutuskan untuk menjadi ahli sebarang pertubuhan, ia adalah perkara dalaman. Tetapi terdapat perkara lain boleh mencetuskan reaksi kami.

    “Dalam isu Ukraine, kami bertindak balas terhadap ancaman,” kata Duta Rusia ke Bosnia dan Herzegovina, Igor Kalabukhov kepada Persekutuan Televisyen Bosnia dan Herzegovina, pada Khamis.

    Kalabukhov berkata, rakyat Bosnia tidak perlu bimbang dengan Rusia.

    Beliau percaya keselamatan di Bosnia terjamin jika situasi politik berkembang menerusi dialog, tanpa sebarang tindakan radikal.

    Ahli Majlis Presiden Bosnia dan Herzegovina, Sefik Dzaferovic menyifatkan kenyataan Kalabukhov sebagai “serangan ke atas integriti wilayah Bosnia dan Herzegovina.”

    “Bosnia dan Herzegovina ialah sebuah negara berdaulat ia berhak membuat keputusan sendiri mengenai masa depannya berdasarkan rangka kerja Perlembagaan dan undang-undang, dan bertindak atas permintaan serta kepentingan rakyatnya. Kami tidak akan menurut kemahuan pihak lain dan Rusia tidak ada hak untuk memastikan masa depan Bosnia,” kata Dzaferovic.

    Dzaferovic sebelum ini berkata, Bosnia dan Herzegovina akan lebih selamat dan dilindungi jika menjadi sebahagian ahli Kesatuan Eropah dan NATO.

    Beliau menggesa EU dan NATO membuka pintu keanggotaan kepada Bosnia dan Herzegovina dan negara-negara barat Balkan yang lain, sambil berkata ia akan menghalang risiko, bahaya dan situasi sama seperti krisis di Ukraine. – BERNAMA

  • Bloomberg silap lapor Rusia serang Ukraine

    Bloomberg silap lapor Rusia serang Ukraine

    AGENSI berita Bloomberg membuat kesilapan dengan menyiarkan tajuk berita “Rusia Menceroboh Ukraine” (Russia Invades Ukraine) dan tidak lama kemudian menarik balik tajuk itu, lapor Sputnik.

    “Kami telah menyediakan tajuk utama untuk banyak senario dan tajuk ‘Russia Invades Ukraine’ secara tidak sengaja diterbitkan sekitar jam 4 petang ET (21:00 GMT) hari ini di laman web kami,” tulis Bloomberg di laman web rasminya.

    “Kami amat kesal atas kesilapan itu. Tajuk berita telah dikeluarkan dan kami sedang menyiasat punca kejadian,” katanya.

    Dalam beberapa bulan lalu, Rusia didakwa menempatkan anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk serangan.

    Bagaimanapun, Rusia berulang kali menyatakan bahawa ia tidak berniat menyerang Ukraine. – BERNAMA

  • Pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki, 8 maut

    Pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki, 8 maut

    SEBANYAK lapan orang terbunuh apabila sebuah pesawat pemadam kebakaran Rusia terhempas di selatan Turki semalam.

    Lapor Al Jazeera yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia, pesawat Be-200 itu terhempas kira-kira pukul 3.10 petang waktu Moscow dan ia membawa lima orang kru warga Rusia dan tiga lagi orang awam Turki.

    Agensi berita Anadolu berkata, pesawat malang itu berkaitan Jabatan Perhutanan Rusia dan pasukan penyelamat sudah dikerah ke lokasi nahas di Kahramanmaras.

    Punca nahas itu bagaimanapun masih tidak diketahui.

    Gabenor Kahramanmaras, Omer Faruk Coskun berkata, satu kebakaran hutan berlaku apabila kilat menyambar pokok.

    “Kita mengerahkan sebuah pesawat ke lokasi namun terputus hubungan dan ia terhempas.Kita menghantar sebanyak mungkin unit bantuan ke lokasi nahas,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menzahirkan ucapan takziah dan bersedih dengan kematian yang berlaku dalam insiden berkenaan.

    Turki memadamkan lebih 300 kebakaran hutan dalam tempoh 16 hari lalu, yang turut menyaksikan lapan nyawa terkorban.

    BE-200 merupakan pesawat dua enjin yang digunakan di Rusia dan negara lain untuk memadamkan kebakaran hutan.

    Ia mampu melepaskan sehingga 270 metrik tan air menerusi beberapa kali perjalanan dalam satu misi.