Tag: rundingan agihan kerusi

  • PRN: PN runding agihan kerusi 7 Februari ini

    PRN: PN runding agihan kerusi 7 Februari ini

    PERIKATAN Nasional (PN) dijangka mengadakan rundingan agihan kerusi melibatkan parti komponennya pada 7 Februari ini sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

    Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, perbincangan barisan kepimpinan peringkat pusat itu akan diadakan di ibu negara membabitkan enam negeri yang belum mengadakan PRN.

    “Perbincangan kerusi diadakan di peringkat pusat pada minggu depan.

    “Ada pun di negeri-negeri mereka (parti komponen) sebut nak itu nak ini, itu adalah perkara biasa, anak-anak (pemimpin negeri) akan minta macam-macam, mak ayah (pemimpin pusat) akan bincang dan selesaikan,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu kali ke-2 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di Kuala Terengganu.

    Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, pihaknya menyasarkan untuk memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu yang dipertandingkan dalam PRN nanti sekali gus mengekalkan pembentukan kerajaan negeri.

    Beliau yang juga Pengerusi PN Terengganu berkata, berdasarkan reaksi positif rakyat dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pihaknya yakin dapat mempertahankan 22 kerusi Pas dan merampas 10 kerusi milik UMNO.

    “Dalam PRU15, kita mendapat majoriti selesa di 31 kerusi. Cuma satu kerusi saja kita tewas dengan majoriti tipis, jadi dengan apa yang berlaku di peringkat pusat dan sebagainya, akan memberi kelebihan kepada kita,” katanya.

    Sementara itu, ditanya sama ada Terengganu akan mengikut jejak langkah Kedah yang akan membubarkan DUN selepas 18 Jun, Menteri Besar Terengganu itu akan mempertimbangkan keputusan tersebut.

    “Kita akan pertimbangkan apa yang disebut MB Kedah,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebanyak enam negeri yang tidak membubarkan DUN pada PRU15 lalu akan mengadakan PRN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

  • Rundingan agihan kerusi GRS, BN hampir selesai – sumber

    Rundingan agihan kerusi GRS, BN hampir selesai – sumber

    RUNDINGAN agihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dipercayai hampir selesai, dengan kedua-dua gabungan itu dikatakan bakal bertanding jumlah kerusi yang hampir seimbang.

    Sumber memberitahu, GRS dijangka bertanding di 13 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), manakala baki 12 kerusi akan ditandingi BN.

    Bagaimanapun katanya, terdapat kerusi yang masih menjadi pertikaian antara dua gabungan berkenaan iaitu Beluran yang disandang Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee.

    “Ada yang mengatakan kerusi Beluran mungkin ‘free for all’ (bebas untuk ditandingi) sekiranya rundingan tidak mencapai kata sepakat menjelang PRU15,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Usno.

    Sementara itu, BN Sabah yang dipengerusikan Datuk Seri Bung Moktar Radin terdiri daripada UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.

    Sebelum ini, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gabungan itu akan bekerjasama dengan GRS di Sabah pada PRU-15.

    Semalam, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberikan “restunya” untuk Bersatu bekerjasama dengan UMNO di Sabah.

    Katanya, Bersatu di Sabah menjalin kerjasama dengan UMNO sejak pilihan raya negeri (PRN) 2020 dan kerjasama itu boleh diteruskan pada PRU-15.

    Situasi berkenaan berbeza dengan Semenanjung, apabila Muhyiddin mengisytiharkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU-15.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi GRS, Jeffrey Kitingan ketika dihubungi berkata, gabungan itu akan memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan mereka dalam mesyuarat malam esok.

    Beliau berharap pengagihan kerusi dalam kalangan komponen GRS dapat diselesaikan dengan baik supaya mereka dapat memfokuskan usaha menghadapi PRU15.

    Presiden STAR itu juga berkata, partinya menyasarkan bertanding di empat hingga lima kerusi pada PRU15.