Tag: Rumah terbakar

  • Wanita OKU maut rumah terbakar

    Wanita OKU maut rumah terbakar

    SEORANG wanita golongan orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kira-kira pukul 5 petang tadi.

    Ketika kejadian, mangsa, Nuraida Hashim, 43, yang mengalami masalah ketidakupayaan mental dikatakan berada di atas katil di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa berjaya dibawa keluar ke tempat selamat ketika kejadian, namun pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital kemudian mengesahkan wanita tersebut telah meninggal dunia.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Terdahulu, ujar beliau, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu yang melibatkan sebuah rumah dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 40 peratus.

    “Seramai 15 anggota termasuk penyelia dengan diketuai oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam terlibat dalam misi memadam kebakaran itu.

    “Turut memberi bantuan ialah jentera dari BBP Bandar Perda serta beberapa pasukan bomba sukarela (PBS) iaitu dari Kota Permai, Cross Street dan Juru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelasnya, kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 5.31 petang dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 6.26 petang.

    “Kerja-kerja ‘overhaul’ kemudian dijalankan di kawasan yang terbakar dan operasi tamat sepenuhnya pukul 7.48 malam,” ujarnya.

  • Kanak-kanak perempuan tujuh tahun rentung rumah terbakar

    Kanak-kanak perempuan tujuh tahun rentung rumah terbakar

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Air Itam, George Town, Pulau Pinang tengah malam tadi.

    Mangsa, G. Sri Laavanya ditemukan maut setelah terperangkap di dalam rumahnya yang musnah akibat kebakaran berkenaan.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 11.19 malam.

    Jelasnya, Seramai 19 anggota termasuk penyelia dan ketua balai kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian.

    ”Apabila pihak bomba tiba di tempat kejadian didapati terdapat kebakaran melibatkan dua buah rumah di mana anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 80 peratus pada rumah pertama dan 50 peratus pada rumah bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, menerusi maklumat awal yang diterima oleh orang awam terdapat seorang mangsa kanak-kanak yang terperangkap di dalam salah sebuah rumah yang terbakar.

    ”Komander Operasi membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.

    ”Kebakaran dapat dikawal pukul 12.45 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pukul 12.55 pagi,” katanya.

    Tambahnya, mangsa ditemukan dalam keadaan rentung pada pukul 12.33 pagi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis.

    ”Kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan sehingga operasi tamat sepenuhnya pukul 1.23 pagi dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

    ,

  • Rumah terbakar, warga emas OKU rentung

    Rumah terbakar, warga emas OKU rentung

    SEORANG warga emas orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Pelantar, Bentong semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Yusof Idris, 65, ditemukan di tepi tingkap biliknya.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 9.02 malam sebelum 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dan Karak digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Rumah separuh kekal dipercayai didiami mangsa berseorangan itu musnah 90%,” katanya dalam kenyataan.

    Mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, tambahnya.

  • Pasangan suami isteri OKU, nyaris maut rumah terbakar

    Pasangan suami isteri OKU, nyaris maut rumah terbakar

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) yang bisu dan pekak nyaris maut dalam kebakaran di rumah mereka di Kota Kemuning, Shah Alam pada awal pagi ini.

    Kejadian pada jam 4.17 pagi itu melibatkan kebakaran rumah dua tingkat berkeluasan kira-kira 400 meter persegi yang terbakar sebanyak 50 peratus di tingkat bawah.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam yang tiba di lokasi kejadian sejurus selepas itu berjaya memadamkan api serta mengeluarkan mangsa terperangkap dalam rumah.

    “Ketika kejadian, suami isteri bisu dan pekak berusia 39 serta 31 tahun itu ditemui berlindung dalam tandas.

    “Isterinya yang mengalami sesak nafas telah diserahkan kepada pasukan perubatan untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya hari ini.