Tag: rumah ibadat

  • Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    Tak salah umat Islam kunjungi tempat ibadat agama lain – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada apa yang menghalang umat Islam daripada mengunjungi tempat ibadat agama lain.

    Bagaimanapun, baginda bertitah, kunjungan itu mestilah tanpa mengambil bahagian dalam sebarang upacara atau amalan agama berkenaan.

    “Tidak salah untuk menghadiri majlis perkahwinan atau berada di gereja misalnya, tetapi umat Islam hanya perlu memerhati.

    “Orang Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam upacara atau amalan sama ada di kuil atau gereja,” titah baginda menurut The Star.

    Sultan Sharafuddin percaya penganut Kristian juga tidak akan menyertai sembahyang atau ritual di kuil Tao.

    Baginda turut mengimbau kisah silamnya ketika almarhum datuknya, Sultan Alam Shah, menghadiri pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953 di gereja Westminster Abbey di London.

    “Baginda baru pulang dari Mekah, kemudian berunding dengan mufti negeri jika berkenan untuk menghadiri pertabalan.

    “Mufti berkata tidak ada salahnya asalkan beliau tidak mengambil bahagian dalam mana-mana ibadat,” titah baginda.

    ‘Baca dan buat rujukan’

    Sultan Sharafuddin juga dilaporkan menggesa ahli politik untuk “membaca dan membuat rujukan” sebelum mengulas kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baru-baru ini bahawa haram bagi orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja dan gurdwara untuk mengenali agama lain.

    Sambil menyifatkan pandangan Mais sebagai betul dan jelas, baginda bertitah adalah baik untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham kerana terdapat undang-undang yang menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

    Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira kaum supaya tidak menjadikan agama untuk mempopularkan diri mereka.

    Baginda bertitah, larangan itu dibuat atas kapasitinya sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor bersama Mais.

    “Hanya saya sebagai ketua agama Islam di Selangor dan Mais pihak berkuasa agama di negeri ini,” titah baginda.

    Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa umat Islam di negeri itu boleh melawat rumah ibadat agama lain selagi mereka tidak terbabit dalam sebarang upacara dan sembahyang.

    “Ini adalah jelas dan saya percaya pada orang Islam kerana kepercayaan mereka kukuh dan tidak goyah. Saya tidak mahu terus memanjangkan isu ini. Tidak perlu lagi sebarang polemik isu ini,” titah baginda.

  • Pas hormat pembinaan rumah ibadat bukan Islam ikut peraturan

    Pas hormat pembinaan rumah ibadat bukan Islam ikut peraturan

    PAS Selangor membidas laporan sebuah portal berita yang mendakwa parti itu melarang sebarang pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri berkenaan dan menyifatkannya cukup jahat.

    Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, laporan oleh portal Malaysiakini bertajuk “Quit politicising religion – politicians told” menggambarkan seolah parti itu bermain isu perbezaan agama.

    Menurutnya, dakwaan itu kononnya Pas memperolehi sokongan politik dan mengaitkan ucapan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor di Parlimen baru-baru ini.

    “Ia (laporan) mendakwa gesaan Dr Ahmad Yunus agar pihak kerajaan tidak membina rumah ibadat bukan Islam berhampiran masjid sebagai bukti Pas memperalatkan agama untuk kepentingan politik.

    “Pas Selangor menganggap laporan ini cukup jahat dan malah ialah yang sesungguhnya cuba mempolitikkan kenyataan jujur seorang wakil rakyat yang dalam perbahasannya mahu melihat keharmonian kaum dikekalkan dan sebarang konflik dan ketegangan sesama rakyat berbilang agama dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, Dr Ahmad Yunus merujuk kepada cadangan pembinaan baru, yang melibatkan garispanduan sedia ada yang dikeluarkan pihak perancang bandar di PBT, Jabatan Perancangan Negeri dan di Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan dengan gesaan agar sensitiviti masyarakat setempat sentiasa diambil kira.

    Katanya, dalam ucapan pada 16 Mac lalu di Parlimen, Pesuruhjaya Pas Selangor itu membawa contoh sebuah tapak di sempadan kawasan beliau iaitu di Canary Garden, Bandar Bestari Klang, di bawah Majlis Perbandaran Klang dimana sebuah rumah ibadat bukan Islam sedang dibina tanpa kelulusan di tapak yang dikelilingi kampung Melayu Islam di Sijangkang, Kuala Langat.

    Penduduk di perkampungan itu katanya juga telah membuat bantahan ke PBT, malah beliau sendiri selaku wakil rakyat kerana itu, isu ini dibangkitkan di Parlimen untuk penyelesaian.

    “Untuk pengetahuan Malaysiakini dan pihak yang tidak bertanggungjawab menyerang Pas dalam isu ini, Manual Garispanduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor menetapkan bahawa sebarang tapak rumah ibadat perlu diwartakan di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara.

    “Ia juga perlu memperolehi Kebenaran Merancang dari PBT berkaitan, dalam kes ini tiada pewartawaan mahupun kelulusan diperolehi

    “Manual yang sama juga menyebut, pembinaan rumah ibadat bukan Islam di Selangor hendaklah di kawasan taburan penduduk 5,000 penduduk untuk 1 tapak atau 2,600 penganut bagi 1 tapak.

    “Di kawasan yang dibangkitkan ahli Parlimen Kuala Langat ini, tidak ada penduduk bukan Islam pun berhampiran kawasan berkenaan,” tegasnya.

    Dalam pada itu, Roslan Shahir berkata, tindakan memutarbelit kenyataan seorang wakil rakyat di Parlimen dengan niat jahat adalah cukup dikesali.

    Beliau menjelaskan, Pas tidak pernah ada masalah dengan rumah-rumah ibadat pelbagai agama termasuklah di Selangor yang ada sedia terbina sekian lama dan dapat diterima masyarakat setempat sejak awal lagi.

    “Isu ini berbeza kerana ia melibatkan rumah ibadat bukan Islam yang baru, dan yang tidak mendapat kelulusan. Ia pula dibina di kawasan perkampungan Melayu Islam yang mendapat bantahan masyarakat setempat.

    “Secara amnya mana-mana masyarakat tidak akan menyokong pembinaan rumah ibadat mana-mana agama sekalipun yang tidak memperolehi kebenaran pihak berkuasa tempatan dan negeri,” tegas beliau.

    Sementara itu, Roslan Shahir berkata, Pas Selangor berharap sebagai portal berita yang bertanggungjawab, Malaysiakini tidak menyalurkan maklumat tidak tepat dan tidak membantu dalam pembinaan sebuah negara yang bersatu-padu dan masyarakatnya patuh serta taat pada undang-undang dan peraturan negeri dan negara.

  • Umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan

    Umat Islam tidak boleh ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan

    Oleh BADLISHAH MAT

    MUFTI Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang menegaskan umat Islam dilarang berkunjung atau menziarahi rumah ibadat agama lain tanpa sebarang tujuan atau kepentingan berbuat demikian kerana dikhuatiri memesong akidah terutama melibatkan golongan muda.

    Beliau berkata, hanya golongan dan individu tertentu sahaja yang dibolehkan berbuat demikian namun dengan syarat tidak menyertai apa-apa ritual agama terbabit serta perkara lain berkaitan akidah.

    “Menziarahi rumah ibadat bukan Islam bukanlah suatu yang statik yang dikatakan tidak boleh dan begitu juga nak dikatakan boleh iaitu melihat kepada siapa yang akan membuat kunjungan itu.

    “Kunjungan-kunjungan yang ada keperluan dan kepentingan daripada kalangan pemimpin dan tokoh-tokoh agamawan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi yang tidak memberi kesan terhadap akidah misalnya, maka kunjungan itu dibolehkan.

    “Jika secara umum melibatkan remaja memang dilarang kerana persiapan dalaman golongan itu belum cukup untuk mereka berhadapan perkara-perkara seperti ini yang dibimbangi akan menyebabkan akidah mereka terjejas,” katanya selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Jom Sedekah Food Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Menara Zakat.

    Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Impact Malaysia menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ yang mempelawa belia bukan Kristian untuk menyertai program itu. Namun, program dijadual berlangsung di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes di Klang, Selangor telah dibatalkan.

    Jelas Syeikh Fadzil, golongan tertentu yang dibolehkan berkunjung ke rumah ibadat itu juga harus memiliki ketahanan dan kekuatan iman yang diyakini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada akidah mereka.

    “Itu pun ziarah untuk satu tujuan yang kita katakan ada keperluan dari segi hubungan dalam masyarakat. Jika ada keperluan pun ada batasannya supaya kita tidak melakukan ritual yang betul-betul berbentuk keagamaan mereka,” katanya.

    Dalam pada itu, Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali berkata, pihaknya melalui perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menetapkan empat kadar zakat fitrah di negeri itu tahun ini bermula daripada RM6.50 hingga RM21.

    Katanya, penetapan harga zakat fitrah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Kedah pada kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram (kg).

    “Penentuan kadar zakat fitrah ini dibuat berdasarkan pelbagai jenis tanaman padi di Kedah serta bentuk geografi, ada daerah yang usahakan tanaman padi setahun sekali dan dua kali setahun, beras di Sik contohnya berbeza dengan beras di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

    “Tahun ini ada kadar baharu RM6.50 iaitu untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis super spesial tempatan (10 peratus hancur) dan setaraf dengannya. Kadar RM7 pula bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super spesial tempatan (5 peratus hancur) dan setaraf dengannya.

    “Zakat fitrah RM14 ditetapkan bagi penduduk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya dan RM21 untuk yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis basmathi, beras jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” jelasnya.

  • Ahli Parlimen gesa kerajaan kaji lokasi sebelum bina rumah ibadat

    Ahli Parlimen gesa kerajaan kaji lokasi sebelum bina rumah ibadat

    SEORANG Ahli Parlimen Pembangkang menggesa kerajaan PH-BN mengkaji kesesuaian lokasi sebelum meluluskan pembinaan rumah ibadat terutama berdekatan kawasan perumahan bagi mengelakkan isu sensitif.

    Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengakui maklum mengenai piawaian ditetapkan bagi pembinaan rumah ibadat itu tetapi mencadangkan lot tanah rumah ibadat Islam diletakkan di kawasan berbeza dengan rumah ibadat bukan Islam.

    “Saya cadangkan kepada kementerian, sebaiknya rumah ibadat ini dapat diletakkan pada tapak berbeza. Contohnya rumah ibadat Islam berbeza dengan tapak rumah ibadat bukan Islam kerana ada beberapa sensitivitinya.

    “Kita nak hidupkan keharmonian, tapi tak mahu ada ‘ketajaman’ apabila rumah ibadat ini berada dalam satu lot yang sama kerana mungkin akan berlaku bunyi-bunyi, pembesar suara yang akan timbul sedikit ketidaktenteraman atau sedikit konflik di kawasan tertentu,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut Ahmad Yunus turut memberikan contoh rancangan pembinaan kuil di kawasan Canary Garden, Klang, yang berdekatan perkampungan Melayu, sehingga menimbulkan kerisauan dan bantahan masyarakat setempat.

    “Saya tak menafikan pembinaan itu keperluan penganut Hindu di Kampung Air Hitam, tetapi jaraknya agak jauh (dari masyarakat Hindu).

    “Baru-baru ini ada seolah-olah pecah tanah, timbul kerisauan masyarakat Islam di situ, saya mengharapkan menteri, kerajaan negeri dan PBT dapat menangani isu ini dengan terbaik,” katanya.