Tag: RSN Rayer

  • MP PN mahu Rayer dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    MP PN mahu Rayer dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen

    WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menggesa RSN Rayer (PH-Jelutong) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat sangkaan jahat terhadapnya di Dewan Rakyat.

    Menurut Ketua Armada Bersatu itu, dakwaan Rayer menuduh beliau membuat laporan palsu terhadap Lim Guan Eng (PH-Bagan) tidak benar.

    “Laporan polis itu bukan dibuat oleh saya.

    “Saya hanya baca laporan polis itu. Laporan polis dibuat oleh ahli Pemuda Bersatu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau merujuk laporan dibuat ahli Pemuda Bersatu di IPD Dang Wangi pada 24 Mac lalu terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Lim yang juga pengerusi DAP berkait isu pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

    Sebelum ini, bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Lim membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan, tetapi Anwar pada 21 Mac lalu menafikan Lim membuat pembatalan itu.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat seperti didakwa Rayer.

    Katanya, beliau sudah menjawab surat yang dikeluarkan pejabat Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul dan menjelaskan perkara itu.

    “Jelutong (Rayer) juga telah langgar peraturan dalam hal ini.

    “Ini supaya Jelutong tidak buat prasangka terhadap kami di dalam Dewan Rakyat.”

  • Dewan Rakyat kecoh, Rayer bikin panas isu MITRA

    Dewan Rakyat kecoh, Rayer bikin panas isu MITRA

    SESI penggulungan Bajet 2022 Kementerian Perpaduan bertukar kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang, tidak berpuas hati dengan jawapan Datuk Halimah Mohamed Sadique berhubung isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

    Situasi mula ‘hangat’ selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mencelah sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi kementerian berkenaan, kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Halimah, menyebabkan berlaku ‘pertikaman lidah’ antara mereka.

    “Perkara ini penting kerana selepas perkara ini dibongkarkan pada sesi lalu, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah), telah buat satu penyiasatan dan ada tangkapan telah dibuat.

    “Persoalan saya sama ada, ada pemimpin parti politik MIC terlibat secara langsung, maka Dewan ini perlu tahu, kerana 16 orang biasa telah ditahan dan melontarkan nama-nama (terlibat),” kata Rayer.

    Terdahulu, Halimah berkata keputusan untuk tidak menjawab berhubung isu berkenaan adalah atas nasihat SPRM, kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

    “Selepas perkara-perkara ini dibangkitkan dalam sesi lepas, kementerian saya telah menyatakan kerjasama dengan SPRM, kita minta SPRM masuk ke dalam kementerian (untuk) menjalankan siasatan ini.

    “Sebelum dibangkitkan pun kita telah minta SPRM masuk untuk lihat segala proses permohonan dan kelulusan, yang dibuat dari tahun 2019,” katanya.

    Selain Rayer, alasan diberikan Halimah tidak diterima beberapa Ahli Parlimen lain daripada blok pembangkang, antaranya P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang bangun mencelah dengan mencadangkan supaya laporan MITRA diberikan kepada Ahli Parlimen.

    Bagi meredakan keadaan Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon mengeluarkan amaran kepada Rayer dan Kasthuriraani, kerana mencelah sesi penggulungan kementerian itu tanpa keizinannya.

    “Peraturan 37(1) (b) (Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat) anda nak cakap minta izin daripada saya. Saya tak bagi. Saya tak izinkan. Setiap celahan, saya berikan kebenaran.

    “…anda (Kasthuriraani) terus bercakap tanpa dapat kebenaran, saya beri amaran kepada Batu Kawan,” katanya.

    Keadaan menjadi tenang selepas itu dan Halimah meneruskan penggulungannya berhubung isu-isu yang dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen berkaitan kementerian itu, semasa sesi perbahasan. – BERNAMA