Tag: Rosmah gagal mohon hakim tarik diri dengar perbicaraannya

  • Sultan Selangor tarik balik darjah gelaran Najib, Rosmah

    Sultan Selangor tarik balik darjah gelaran Najib, Rosmah

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor daripada Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, selain Najib dan Rosmah, turut ditarik balik darjah kebesaran adalah bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman.

    “Keputusan itu dibuat selepas baginda mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang, dan berunding dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

    “Penarikan balik darjah kebesaran itu berkuat kuasa pada 12 September 2022, selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara XXXVII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

    “Datuk Seri Najib Razak telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, Njib telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd.

    Pada 23 Ogos 2022 juta katanya, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

    “Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya.

    Sementara itu beliau berkata, Rosmah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

    Katanya, Rosmah telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

    “Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

    “Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya, lapor Astro Awani.

    Dalam pada itu, katanya Mohd Arif telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2005, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga pada tahun 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat pada tahun 2001.

    “Beliau telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah. Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

    “Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya.

    Beliau berkata, penarikan balik dan pembatalan keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

  • Rosmah gagal mohon hakim tarik diri dengar perbicaraannya

    Rosmah gagal mohon hakim tarik diri dengar perbicaraannya

    KES pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar kes rasuahnya berkaitan projek tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan pada Selasa menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya.

    Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 12 Januari 2022.

    Hakim Mohamed Zaini berkata, beliau akan memastikan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu, tidak akan diprejudis dalam kes pengubahan wang haram apabila rujukan dibuat kepada kenyataan dalam kes rasuah projek solar kerana hakim dikehendaki mempertimbangkan secara berasingan dan secara bebas keterangan terhadap tertuduh.

    “Sebarang dapatan yang saya buat dalam kes solar kekal di sana. Lagipun adalah menjadi tanggungjawab saya atau mana-mana hakim, untuk memastikan tertuduh atau mana-mana tertuduh, dibicarakan secara adil seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau juga memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memutuskan bahawa seorang hakim, tidak seperti juri, dilatih dalam undang-undang untuk tidak berat sebelah.

    Hakim berkata, dakwaan Rosmah mungkin berlaku prejudis kerana beliau (Hakim Mohamed Zaini) akan membuat perbandingan antara kenyataan dan pembelaannya dalam kes ini, adalah tidak berasas.

    “Dalam kes solar, apabila membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menerima kenyataan bagi mencabar tertuduh, saya memutuskan bahawa tiada soalan perlu ditanya berkaitan fakta kes pengubahan wang haram di sini.

    “Semasa membuat keputusan itu, saya memutuskan bahawa nilai probatif bagi isu-isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak melebihi kesan prejudis yang mungkin dialami oleh tertuduh.

    “Dalam apa jua keadaan, peguam responden (Rosmah) semasa membuat penghujahan, meyakinkan saya bahawa isu yang ingin dikemukakan oleh pihak pendakwaan berhubung kenyataan dalam kes solar tidak mempunyai kaitan dengan isu dalam kes ini,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah yang tidak hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

    Pada 2 November, Rosmah memfailkan permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas alasan keterangan dan eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes solar itu boleh secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi hakim dalam kes pengubahan wang haram tersebut.

    Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

    Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta  Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – Bernama