Tag: Rosmah

  • Peniaga lepas tanpa bebas buat hantaran komunikasi jelik terhadap Najib, Rosmah

    Peniaga lepas tanpa bebas buat hantaran komunikasi jelik terhadap Najib, Rosmah

    SEORANG peniaga dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat serta menghantar komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, sembilan tahun lepas.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Syed Ahmad Saifullah Hashim, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS) terhadap pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

    “Mahkamah melepas tanpa membebaskan OKS daripada pertuduhan selepas mendapati pertuduhan tersebut adalah cacat dan tidak berasas,” kata Nor Hasniah.

    Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal.

    Pada 21 Julai 2022, Syed Ahmad Saifullah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik satu kiriman berhubung ‘pesawat yang dinaiki isteri dan PM dalam perjalanan pulang dari Perth telah hilang dari radar dan dijumpai terhempas di Lautan Sumatera Selatan. Al-Fatihah” melalui aplikasi Facebook “Syed Saifullah”.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 2 dan 4 April 2014 dan hantaran itu kemudiannya dibaca pada 11.35 malam di sebuah premis, di Plaza Pekeliling Jalan Kampar, Off Jalan Ipoh, Sentul di Kuala Lumpur pada 4 April 2014.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

  • AGC tidak rayu keputusan mahkamah serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

    AGC tidak rayu keputusan mahkamah serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan ia tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memulangkan barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

    Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi Bernama berkata AGC tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 14 Nov 2022.

    “Ya, AGC tidak merayu terhadap keputusan hakim kerana kami bersetuju dengan keputusan Yang Arif,” kata Idrus menerusi mesej WhatsApp hari ini.

    Pada 14 Nov, Hakim Muhammad Jamil memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesemua barangan yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018 adalah hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Hakim itu turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

    Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan tersebut dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang didakwa milik UMNO dan Najib. Bagaimanapun kerajaan gagal melucut hak wang itu.

    Barangan tersebut didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Barangan kemas dan beg tangan didakwa milik Rosmah manakala jam tangan milik Najib. – BERNAMA