Tag: Roslan Shahir Mohd Shahir

  • PRN Selangor: PN sasar menang 33 kerusi untuk bentuk kerajaan

    PRN Selangor: PN sasar menang 33 kerusi untuk bentuk kerajaan

    PERIKATAN Nasional (PN) menyasarkan memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada tahun ini.

    Menurut Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan pengundi terutama kaum Melayu kepada PN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Beliau berkata, sekiranya sasaran itu dicapai, gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu membentuk kerajaan baharu di negeri berkenaan.

    “Tidak mustahil kita mampu memberi tentangan dan saingan sengit kepada PH kerana sasaran kita menang di 33 kerusi DUN yang mempunyai 60 peratus pengundi Melayu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, semasa PRU15 lalu, PN berjaya memenangi enam kerusi Parlimen termasuk di kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

    Malah katanya, sokongan pengundi Melayu di Selangor juga berpihak kepada PN sekali gus menjadi kekuatan gabungan politik itu sehingga UMNO sendiri tiada kerusi Parlimen di Selangor pada PRU15.

    “Saya mengambil contoh, Pesuruhjaya Pas, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menang di kerusi Parlimen Kuala Langat yang pengundi Melayu di situ sekitar 58.32 peratus sahaja,” katanya.

    Sehubungan itu, kata beliau, jika kecemerlangan dan sokongan itu diterjemah dalam PRN Selangor, beliau yakin kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH mampu ditewaskan di negeri ini.

    “Kita tengok sentimen di bawah sehingga hari ini masih konsisten dan sokongan pengundi Melayu tidak akan berubah,” tambahnya.

  • Keahlian meningkat, tak mustahil PN tawan Selangor

    Keahlian meningkat, tak mustahil PN tawan Selangor

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali gus mengambil-alih kerajaan negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 tidak lama lagi melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat negeri itu.

    Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, perkara itu tidak mustahil berdasarkan trend peningkatan keahlian baharu Pas disokong dengan momentum “Gelombang Hijau” pada Pilihan Raya Umum Ke-15 November lalu.

    Menurutnya, buat masa inipun sempena bulan Ramadan, Pas cawangan-cawangan sedang giat menerima borang keahlian baru terutama dikalangan anak-anak muda yang berminat bersama perjuangan parti itu.

    “Sekiranya trend keahlian baru Pas ini semakin meningkat ditambah dengan momentum “Gelombang Hijau” yang dimaksudkan, tidak mustahil melalui kebangkitan dan kesedaran politik rakyat Selangor, PN mampu menumbangkan PH dan mengambil-alih kerajaan negeri dalam PRN Selangor ke 15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, Pas Selangor menerima 404 keahlian baharu daripada 4,179 keahlian baharu Pas seluruh negara bagi tempoh Febuari ke Mac tahun ini.

    Katanya, ia merupakan peningkatan sebanyak 76 ahli baharu berbanding tempoh Januari ke Febuari 2023 di mana Pas Selangor ketika itu mencatatkan keahlian baru seramai 328 orang.

    “Ternyata keinginan rakyat Selangor menyokong dan menyertai Pas semakin memuncak selepas berlaku “Gelombang Hijau” pada PRU Parlimen ke 15 pada 20 November 2022 baru-baru ini.

    “Dalam PRU berkenaan Perikatan Nasional telah memenangi 6 kerusi Parlimen dan 3 daripadanya melalui wakil Pas.

    “Rata-rata rakyat Selangor dilihat lebih yakin dan bersedia memberikan kepercayaan kepada Pas dan PN hasil dari kemampuan Pas melahirkan pimpinan yang berkualiti, berintegriti dan memiliki nilai moral yang tinggi,” tambahnya.

  • PRN: ‘Poster boy’ PN di Selangor belum muktamad

    PRN: ‘Poster boy’ PN di Selangor belum muktamad

    PERIKATAN Nasional (PN) masih belum memutuskan calon menteri besar Selangor yang juga “poster boy” dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Menurut Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, soal sama ada calon menteri besar daripada Pas atau Bersatu masih lagi dalam rundingan.

    “Belum ada keputusan (calon menteri besar Selangor PN),” katanya menurut laporan Malaysiakini.

    Pada soalan sama ada PN telah mempunyai nama-nama yang akan diketengahkan sebagai calon menteri besar, Roslan Shahir berkata: “Belum sampai ke situ lagi, (masih) dalam rundingan”.

    Semalam, Pas Kedah mengesahkan menteri besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merupakan ‘poster boy’ untuk negeri itu dalam menghadapi PRN.

    Perkara itu disahkan Setiausaha Pas Kedah Musoddak Ahmad yang menyifatkan prestasi serta sokongan rakyat kepada Muhammad Sanusi menjadi asas untuk diangkat sebagai ‘poster boy’.

    Sanusi juga pengarah pilihan raya PN bagi PRN akan datang, yang melibatkan enam negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

    Pada 12 Mac lalu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bersatu akan memegang jawatan menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan, manakala Pas kekal mentadbir di Kedah, Kelantan dan Terengganu jika PN menang di negeri-negeri tersebut dalam PRN akan datang.

    Sementara itu sumber Bersatu turut mengesahkan bahawa soal calon menteri besar Selangor masih lagi dalam perbincangan.

    “Masih dalam perbincangan dan belum ada nama-nama yang boleh disebut sehingga kini.

    “Bagaimanapun kita sudah ada beberapa calon yang dikenal pasti,” katanya.

  • Fitnah berbaur hasutan terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor

    Fitnah berbaur hasutan terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor

    Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

    PAS Selangor kesal dengan fitnah yang berbaur hasutan yang mahu mencetuskan syak wasangka dan ketegangan antara kaum ketika umat Islam berada di ambang bulan Ramadan Mubarak ini.

    Bagi meredakan situasi ketegangan ini, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa untuk menyiasat dan bertindak tegas ke atas ‘fake account’ yang menggunakan nama Harakatdaily di laman Facebook termasuk menutup laman akaun palsu itu daripada dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan suasana huru-hara bukan sahaja di Negeri Selangor bahkan di negara ini amnya.

    PAS Selangor juga mengerahkan kesemua 22 PAS Kawasan seluruh Negeri Selangor agar membuat laporan polis terhadap fitnah yang dikeluarkan di laman Facebook yang menggunakan akaun palsu Harakatdaily terhadap Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang telah menggugat keharmonian antara agama dan kaum di negeri ini melalui komen-komen yang berbaur hasutan dan mencetus huru-hara.

    Penulis ialah Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor

  • Speaker DAP berdolak-dalik

    Speaker DAP berdolak-dalik

    Oleh ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

    DI DEWAN Negeri Selangor semalam, ADUN Bukit Antarabangsa Datuk Seri Azmin Ali (BERSATU-PN) mencadangkan agar Ketua Pembangkang yang baru dilantik memandangkan Ketua Pembangkang yang ada, ADUN Sg Air Tawar Datuk Rizam Ismail (BN-Umno) sudah tidak lagi efektif dalam menjalankan tugas kerana Kerajaan Campuran PH-BN telah dibentuk di peringkat Persekutuan.

    Azmin malah mencadangkan agar ADUN Sijangkang Dato Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS – PN) diangkat sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baru.

    Menurut Azmin, Rizam sendiri mengakui padanya sukar menjalankan tugasnya.

    Jelas permohonan Azmin cukup munasabah memandangkan Umno kini sudah menjalin kerjasama politik dengan PH, ADUN Umno di Selangor bukan lagi pembangkang sepatutnya, mereka sudah menjadi ADUN kerajaan.

    Malangnya Speaker Dewan yang juga ADUN DAP dari Sekinchan Ng Suee Lim menolak cadangan berkenaan atas alasan tidak menerima sebarang permohonan bertulis dari Rizam sendiri.

    Berpusing-pusing nampaknya Speaker DAP ini. Benda yang telah rasmi dan diketahui umum, bahawa PH dan BN kini rakan kerjasama politik, sudah cukup menjadi alasan menggantikan Ketua Pembangkang, apa perlu tunggu surat lagi?

    Malah dalam laporan Berita Harian 29 November 2022 dulu Ng sendiri menyatakan bahawa status Ketua Pembangkang Selangor akan diteliti selepas kabinet Persekutuan dibentuk. Kabinet Perdana Menteri ke-10 telah pun dibentuk pada 3 Disember 2022 iaitu sudah pun 100 hari, apa lagi alasan Ng?

    Atau mungkinkah Rizam lebih selesa dan mahu kekal sebagai Ketua Pembangkang dan enggan menyokong Kerajaan Negeri PH?

    Bagi saya jika alasan surat yang ditunggu Speaker, sahihlah Rizam dan barangkali 4 orang ADUN Umno yang lain tidak bersedia mendukung Kerajaan Negeri PH sebagaimana Ketua mereka di peringkat Persekutuan.

    Umno Selangor mungkin tidak dapat menerima PKR dan DAP sebagaimana Presiden mereka boleh terima di pusat.

    Kalau hal sekecil ini pun tidak boleh urus dan masih berdolak-dalik, wajarlah Kerajaan PH Selangor ditunjuk jalan keluar dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 tidak berapa lama lagi.

    Penulis ialah Setiausaha Pas Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir

  • Sikap tamak kuasa merugikan PH sendiri – Roslan SMS

    Sikap tamak kuasa merugikan PH sendiri – Roslan SMS

    SIKAP tamak kuasa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) hanya merugikan mereka sendiri, kata Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.

    Menurut beliau, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghulurkan tangan menawarkan kerjasama bipartisan kepada parti-parti pembangkang dengan syarat menyokong undi percaya terhadap beliau.

    Malah, katanya, berbagai tawaran dilontarkan kepada blok pembangkang khususnya PH sehingga ada dalam kalangan penyokong kerajaan yang gusar.

    “Tetapi lantaran tamak dan bernafsu tinggi, mereka menolak tawaran itu kononnya percaya jika Muhyiddin jatuh merekalah yang akan naik berkuasa.

    “Ditakdirkan Allah SWT apabila Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan kerana gagal mendapatkan sokongan PH, parti-parti blok kerajaan kembali bersatu dan memberikan majoriti 114 kerusi kepada calon baharu Perdana Menteri iaitu Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, lantas beliau diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Semalam, Ismail Sabri mengumumkan, tiada pemimpin pembangkang akan dilantik menganggotai Kabinet sekali gus menamatkan spekulasi berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.

    Roslan Shahir menambah, kini tiada lagi keperluan bagi Ismail Sabri mendapatkan bantuan daripada blok pembangkang kerana sokongan yang diterimanya melebihi angka majoriti mudah.

    Beliau memberitahu, Ismail Sabri membuat keputusan yang tepat apabila menyatakan bahawa tiada wakil pembangkang akan menganggotai pentadbiran kerajaan.

    “Namun atas sifat keterbukaan beliau demi bersama membina semula negara Perdana Menteri menawarkan blok pembangkang untuk sertai Majlis Pemulihan Negara atau MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19,” jelasnya.

    Sehubungan itu, Roslan Shahir meminta mereka menjadi pembangkang yang membina dan membiarkan Perdana Menteri serta kerajaannya menjalankan tugas.

    “Kesimpulannya tak perlulah menyorong-nyorong pipi apabila hidung sudah ditakdirkan tidak mancung. Tamak selalu rugi,” katanya.