Tag: rosak

  • Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah treler rosak, yang diletakkan di tengah jalan di Kilometer 43.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku, ketika kedua-dua mangsa menaiki lori kecil membawa muatan cat dari arah Gua Musang menuju Kota Bharu, pada 6.45 pagi.

    “Kejadian mengakibatkan pemandu lori Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan kelindannya Nik Mohamad Nasrullah bin Mohd Nizam, 26, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan barangan besi itu berhenti di tengah-tengah jalan akibat mengalami kerosakan pada kotak gear,” katanya menerusi sebuah kenyataan di sini.

    Sik berkata jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang, untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu, sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya. – BERNAMA

  • Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    SEBANYAK 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim, Jalan Tun Abang Haji Openg di Sibu, diceroboh dan dirosakkan disyaki dilakukan seorang lelaki kurang siuman semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan awal mendapati batu nisan pada 11 kubur berkenaan dicabut kemudian dipercayai dihempas sehingga pecah dan patah manakala empat daripadanya mengalami kerosakan pada jubin lot kubur dipercayai akibat dihempas batu nisan.

    Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 1.58 tengah hari di Balai Polis Pusat Sibu semalam dan siasatan dijalankan sejurus selepas itu.

    “Tiada sebarang senjata atau peralatan mencurigakan dijumpai di tempat kejadian. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

    Zulkipli turut menasihatkan masyarakat Islam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sebaliknya segera menyalurkan sebarang maklumat kepada polis atau tampil ke balai-balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Hakimi Abd. Azid (01131873715).

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Banjir: Masjid Mahmudi Melor rugi lebih RM100,000

    Banjir: Masjid Mahmudi Melor rugi lebih RM100,000

    MASJID Mahmudi Kedai Melor, di Kota Bharu mengalami kerugian lebih RM100,000 setelah beberapa aset termasuk kenderaan rosak setelah digenangi air banjir yang melanda negeri ini, sejak Isnin lepas.

    Imam Tua Masjid Mahmudi Kedai Melor Suhaimi Ibrahim berkata kerosakan yang dialami termasuk karpet, stor atau garaj van jenazah serta pagar setelah air banjir naik hampir 0.8 meter di pekarangan masjid.

    “Masjid berusia 35 tahun ini terletak di tepi Sungai Melor sebab itulah air cepat naik dan memasuki masjid separas betis untuk kali kedua malah disifatkan banjir agak besar berbanding 2017, dengan banyak aset hanyut atau rosak.

    “Menerusi kamera litar tertutup (CCTV), kami lihat air mulai masuk secara mendadak pada 4 pagi Isnin lalu dan masjid ini sudah banyak kali menjadi kawasan banjir. Sebelum ini, air bagaimanapun tidak masuk sehingga ke dalam masjid,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

    Menurutnya lebih menyedihkan karpet dan sejadah di masjid itu baharu sahaja dibeli tiga bulan lepas dengan kos hampir RM30,000 dan belum habis dibayar.

    Suhaimi berkata ketika banjir 2017, pihaknya mengeluarkan kos RM120,000 bagi menggantikan karpet baharu.

    “Untuk banjir kali ini, kami terpaksa menggunakan karpet sedia ada biarpun keadaannya lusuh dan mudah tercabut, malah kami menggunakan khidmat kontraktor cucian dengan upah RM6,000 bagi mengeringkan karpet supaya solat Jumaat hari ini dapat dilakukan.

    “Pihak masjid lega apabila pascabanjir hari ketiga ini, kami turut dibantu 100 sukarelawan terdiri daripada orang kampung dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan tenaga secara bergilir-gilir,” katanya.

    Katanya, selain karpet, beberapa aset seperti pagar, garaj van jenazah didapati rosak, malah meja dan kerusi untuk kegunaan majlis jamuan masjid itu turut dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir itu. – BERNAMA