Tag: rompakan

  • Dua mesin ATM bank diletupkan penjenayah

    Dua mesin ATM bank diletupkan penjenayah

    DUA buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) diletupkan penjenayah dalam rompakan di sebuah bank di Setia Alam di Shah Alam, pagi ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi kejadian.

    “Ada berlaku kejadian sebuah mesin ATM diletupkan penjenayah, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.

    “Perkembangan akan dikongsikan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

  • 2 suspek rompakan RM1 juta kedai pajak gadai ditahan

    2 suspek rompakan RM1 juta kedai pajak gadai ditahan

    POLIS Kelantan menahan dua individu bagi membantu siasatan kes rompakan wang tunai bernilai RM1 juta serta barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas, dekat sini, yang berlaku Khamis (5 Mei) lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, lelaki dan wanita warga tempatan berusia 30-an itu ditahan sehari selepas kejadian (6 Mei) dan kini direman hingga 12 Mei ini.

    Beliau berkata, pihaknya masih mencari bukti-bukti baharu bagi membantu siasatan selain turut memerlukan saksi lain tampil untuk memberi maklumat.

    “Kita masih mencari bukti-bukti baharu dan dalam kes ini beberapa kenyataan yang telah dibuat oleh saksi sebelum ini kita perlu sahkan memandangkan pada peringkat awal terdapat pencanggahan maklumat.

    “Setakat ini, kita sedang menunggu keputusan daripada bahagian forensik membabitkan bukti-bukti yang ada dan setakat ini ia masih dalam tindakan makmal, kita jangka kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara Supt Tan Seng Lee yang memangku jawatan itu sebelum ini kepada pemangku ACP Amran Dolah.

    Media sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki disyaki terbabit rompakan wang tunai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai. – BERNAMA

  • [VIDEO] Kedai jam tangan, barang mewah Chanel dirompak

    [VIDEO] Kedai jam tangan, barang mewah Chanel dirompak

    SEKUMPULAN pencuri bersenjata bertindak memecah masuk kedai mewah Chanel di Paris pada Rabu, menurut polis.

    Kejadian rompakan dianggarkan bernilai berjuta-juta euro itu berjaya dirakam orang awam.

    Empat pencuri, memakai topi keledar dan bertopeng hitam melarikan diri menggunakan dua buah motosikal selepas merompak Chanel, kedai jam tangan dan barang kemas mewah di rue de la Paix, sebuah lorong membeli-belah yang terkenal di Paris.

    Sekurang-kurangnya seorang perompak bersenjatakan AK-47.

    Video itu dirakam orang awam yang lalu lalang dan disiarkan di media sosial.

    Kedai itu ditutup buat sementara waktu, dan pejabat pendakwa raya telah membuka kertas siasatan. – BERNAMA

  • [VIDEO] 15 lelaki bersenjata kayu besbol rompak kedai komputer

    [VIDEO] 15 lelaki bersenjata kayu besbol rompak kedai komputer

    POLIS sedang mengesan 15 lelaki dipercayai memecah masuk sebuah premis menjual perkakasan komputer dan melarikan barangan berjumlah RM70,000 di Bandar Damai Perdana, Cheras, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata dalam kejadian pada 6 pagi itu, pengawal keselamatan premis yang terletak di tingkat satu lot kedai komputer itu turut diserang suspek dengan menggunakan kayu besbol.

    “Kami menerima laporan mengenai kejadian daripada lelaki berkenaan (pengawal keselamatan) pada 9.35 pagi hari sama.

    “Menurut pengadu (pengawal keselamatan) kenderaannya turut dirosakkan oleh suspek ketika dia cuba menghalang mereka daripada melarikan diri selepas mencuri barangan daripada premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kredit video: Saluran YouTube Sukasuka Saja explore

    (Klik capaian untuk menonton video kejadian rompakan: https://fb.watch/c106pLyvaV/)

    Mohd Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpulan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis atau Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985 730 bagi membantu siasatan,” katanya.

    Sebelum ini tular dua video menerusi laman sosial menunjukkan sekumpulan lelaki yang menaiki beberapa kenderaan memecah masuk sebuah premis. – BERNAMA

    (Klik capaian untuk menonton video kejadian rompakan: https://fb.watch/c0-W9KnTBy/)

  • Pegawai SPRM disyaki terlibat kes rompakan RM700,000

    Pegawai SPRM disyaki terlibat kes rompakan RM700,000

    DUA individu termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman, masing-masing tiga dan empat hari bagi membantu siasatan kes rompakan melibatkan kerugian RM700,000.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kedua-dua individu berumur lingkungan 30 tahun itu ditahan pada Sabtu dan semalam oleh sepasukan anggota daripada bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi.

    Beliau berkata, setakat ini, seramai 12 individu telah dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, SPRM dalam kenyataan mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

    Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, di sini melibatkan kerugian hampir RM1 juta. – BERNAMA