Tag: rompak

  • Anggota FRU mengaku tidak bersalah rompak gelang emas peniaga

    Anggota FRU mengaku tidak bersalah rompak gelang emas peniaga

    SEORANG anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan gelang emas milik seorang peniaga kedai runcit, minggu lepas.

    Tertuduh Mohd. Khuzairi Shaari, 43, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan, Mohd. Khuzairi yang berpangkat Lans koperal didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Kampung Tok Bintang, Kuala Berang dekat Hulu Terengganu antara 9.45 malam hingga 10.30 malam, pada 23 Ogos lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 592) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 2 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap satu hari bulan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayatuddin Muhammad.- BERNAMA

  • Padah rompak RM65, dua rakan dipenjara tiga tahun dan satu sebatan

    Padah rompak RM65, dua rakan dipenjara tiga tahun dan satu sebatan

    TINDAKAN dua rakan merompak wang tunai RM65 dari sebuah kedai serbaneka membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

    Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Nazir Bahli, 36, dan Ahmad Shahmi Azmi, 31, kedua-duanya penghantar makanan, mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut  Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.. 

    Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 19 Ogos lepas.

    Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, yang merupakan pekerja kedai itu, dengan mengambil wang tunai RM65 milik kedai tersebut, dalam kejadian di Taman Pertama, Cheras, di sini, pada jam 9.30 malam, 18 Ogos lepas.

    Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak melibatkan wang berjumlah RM324.15 di dua kedai sekitar Cheras antara 8.20 malam dan 8.30 malam pada tarikh sama.

    Mahkamah kemudian menetapkan 26 Sept bagi tarikh jatuh hukum.

    Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi dan Hamidah Mohamed Deril pula, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap tiga pekerja kedai serbaneka di sekitar Cheras antara jam 8.49 malam hingga 9.45 malam pada hari berkenaan.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan menetapkan 26 Sept dan 5 Okt untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan bagi kes-kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Azahan, Ngoh Jess Lynn dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwaklili peguam.- BERNAMA

  • Polis tentera dituduh rompak, tentera laut didakwa rogol remaja

    Polis tentera dituduh rompak, tentera laut didakwa rogol remaja

    SEORANG anggota polis tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan merompak dua beradik minggu lepas.

    Lans Koperal S. R. Alex Praba, 21, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

    Anggota polis tentera itu didakwa merompak beg tangan milik kedua-dua wanita yang berusia 21 dan 27 tahun di kawasan kebun kelapa sawit bersebelahan Jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar di Manjung pada 12.15 pagi, 21 Dis lepas.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin menawarkan jaminan RM10,000 namun peguam Vivian Michelle yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya berpendapatan RM1,500 dan menanggung ibu bapanya.

    Norita membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 31 Jan untuk sebutan semula kes.

    Difahamkan, tertuduh bertugas di Sarawak dan ketika kejadian sedang bercuti di kampung halaman sempena sambutan Hari Krismas di Manjung.

    Di mahkamah sama, anggota tentera laut Mohd Muhazzam Shah Mohd Salem, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol remaja 17 tahun yang merupakan kenalannya, di bilik tidur, sebuah apartmen di Lumut pada 11 malam 17 Dis lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman sama serta hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh minimum setahun dan maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli manakala Mohd Muhazzam yang mempunyai tiga anak berusia setahun hingga enam tahun diwakili peguam Fahmi Izzudin Jefri.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 11 Feb untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan perubatan dan serahan dokumen. – BERNAMA