Tag: rokok seludup

  • 500,000 batang rokok seludup dilonggok di tepi sungai dirampas

    500,000 batang rokok seludup dilonggok di tepi sungai dirampas

    SEBANYAK 500,000 batang rokok putih bernilai RM350,000 ditemukan di tebing sungai di Kampung Pasir Pekan Hilir di Tumpat, Kelantan pada pukul 4.15 pagi ini.

    Kejayaan itu hasil operasi dijalankan 10 agensi penguatkuasaan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

    Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pemantauan pasukan menemukan longgokan 50 kotak berisi rokok seludup dan ia dipercayai baru dipunggah berdasarkan keadaan kotak yang masih elok.

    “Kita percaya, lokasi itu adalah lokasi transit sementara menunggu kenderaan tiba untuk mengangkut rokok seludup terbabit sebelum diedar.

    “Tiada tangkapan dibuat dan kita syak, rokok itu untuk pasaran tempatan,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro.

    Amran berkata, operasi bersepadu yang dijalankan bermula tengah hari semalam sehingga pukul 12 tengah hari tadi membabitkan 104 pegawai serta anggota 10 agensi penguatkuasaan.

    Ia antaranya membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Daerah Tumpat

    Amran berkata, operasi itu membabitkan penggunaan logistik darat dan air yang dipecahkan kepada pasukan pemeriksaan dan serbuan, sekatan jalan raya, rondaan air serta pasukan khas.

    “Selain rokok putih, kami turut merampas 120 liter petrol dan 840 liter diesel di Pengkalan Kubor, petang semalam.

    “Sebanyak 32 pangkalan sepanjang Sungai Golok turut diperiksa. Sebanyak 48 notis serta satu kompaun dikeluarkan MDT untuk kesalahan pembinaan tidak mengikut spesifikasi di bawah Seksyen 70 (13) (C) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.

  • Angkara simpan 31,800 batang rokok seludup

    Angkara simpan 31,800 batang rokok seludup

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, atas pertuduhan memiliki 178 karton bersamaan 31,800 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM21,269.20 tahun lalu.

    Memetik Harian Metro, tertuduh, Hasmi Sulaiman, 63, dari Jalan Semabok, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa di depan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memiliki 31,800 batang rokok rokok seludup jenama Impact, Canyon Blast, Inter Blend dan Boss Blend serta Luffman (Clasic White, Refresh, Premium Blend Blue dan Evo) yang dilarang pengimportannya bernilai RM21,269.20, di sebuah rumah di Jalan Semabok Dalam di sini, pada pukul 4.30 petang, 17 April 2021.

    Hasmi didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama, memperuntukkan hukuman denda minimum 10 ganda nilai rampasan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan maksimum 20 ganda nilai rampasan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Amritpal Singh bagaimanapun memohon jumlah ikat jaminan yang rendah atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri sakit.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM5,000 berserta seorang penjamin dan 27 September depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

  • Taktik sorok rokok seludup lebih RM500,000 dalam van terbongkar

    Taktik sorok rokok seludup lebih RM500,000 dalam van terbongkar

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai lebih RM500,000 termasuk cukai yang dipercayai disimpan oleh kumpulan penyeludup di dalam sebuah van yang diletakkan di sebuah lorong kampung, di Kota Bharu, empat hari lepas.

    Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, pasukan operasi bahagian penguatkuasaan JKDM Kota Bharu menemukan 82 kotak yang mengandungi 671 batang rokok pelbagai jenama itu selepas memeriksa van berkenaan dalam serbuan Ops Benteng, pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

    “Kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM98,650 dengan nilai cukai sekitar RM452,725…kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Bongor, di Kota Bharu hari ini.

    Beliau berkata, risikan pihaknya mendapati penyeludup sengaja menjadikan kenderaan yang ditinggalkan sebagai tempat simpanan rokok seludup untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, sebelum diedar kepada pelanggan.

    Sementara itu, Mohd Nasir berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini 183 kes rokok seludup dikesan melibatkan rampasan 11 juta batang rokok bernilai kira-kira RM1.5 juta dengan nilai cukai dianggarkan RM7.4 juta.

    Beliau berkata, 22 individu ditahan dan didakwa di mahkamah bersabit dengan kegiatan itu. – BERNAMA

  • Pemandu lori seludup rokok bernilai RM8.69 juta

    Pemandu lori seludup rokok bernilai RM8.69 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 362,600 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM8.69 juta selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki di tepi jalan Kampung Iban, Merotai dekat Tawau malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Supt Mohd Yacob Murad berkata, pihaknya melakukan intipan menerusi Op Kontraban pada 10 malam dan mengesan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun tersebut dalam keadaan mencurigakan dengan bahagian belakang lori ditutup kanvas.

    “Pemeriksaan ke atas lori menemukan 604 kotak besar berisi pelbagai jenama rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri ini.

    “Rokok yang ditemukan adalah jenama a-satu (161,600 bungkus), Tex Hijau (108,500), Tex Merah (68,000) dan Tex Biru (24,500) yang semuanya dianggarkan bernilai RM8,690,888,” katanya dalam kenyataan.

    Mohd Yacob berkata, pihaknya menahan pemandu lori dan merampas kenderaan itu serta satu telefon bimbit.

    Katanya, lelaki itu dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

  • Warga emas ditahan, 134,700 batang rokok seludup dirampas

    Warga emas ditahan, 134,700 batang rokok seludup dirampas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENAHANAN seorang warga emas terlibat kegiatan mengedar rokok seludup membawa kepada penemuan barangan tidak bercukai itu yang disembunyikan dalam sebuah premis dan kereta di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, Muar semalam.

    Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA Bakri, Deputi Supritendan Salehin Suleiman berkata, pihaknya melakukan operasi itu pada pukul 9.40 pagi dan pada awalnya menahan lelaki warga emas terbabit yang dipercayai terlibat kegiatan tersebut.

    Katanya, suspek warga tempatan berusia 64 tahun itu dipercayai menjadi pengedar rokok seludup di kawasan setempat.

    “Penahanan suspek itu turut membawa kepada pemeriksaan ke atas sebuah premis dan kereta jenis Proton Waja yang mana kami telah menemui sebanyak 771 karton rokok seludup bersamaan 134,700 batang rokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya percaya tangkapan dan rampasan barangan yang dilakukan itu berjaya memutuskan salah satu rangkaian sindiket penjualan rokok seludup di sekitar daerah Muar serta Tangkak.

    “Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan ini adalah sebanyak RM160,958. Suspek dan barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk tindakan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Pemandu lori ditahan bersama 880,000 batang rokok seludup bernilai RM660,000

    Pemandu lori ditahan bersama 880,000 batang rokok seludup bernilai RM660,000

    MOHD LAZIM ENDUT

    SATU sindiket penyeludupan rokok secara haram berjaya dipatahkan Batalion 8 pasukan Gerakan Am (PGA) Tenggara selepas tertangkapnya seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pemandu lori dan merampas 880,000 batang rokok bernilai RM660,000 di Jalan Tendong-Melor, Kota Bharu Kelantan semalam.

    Ketika ditahan lelaki terbabit cuba menyembunyikan rokok-rokok itu di bawah timbunan baja bagi mengaburi pihak berkuasa.

    Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar,
    kesemua rokok tersebut dipercayai diseludup dari Thailand dan ia dimasukkan di dalam 88 kotak coklat dan dibawa dengan sebuah lori jenis Nissan UD, sebelum ditahan di lokasi berkenaan.

    Beliau berkata, anggota yang melakukan rondaan terserempak dengan lori itu yang kelihatan agak mencurigakan pada pukul 9 pagi, lalu meminta pemandu lori tersebut memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

    “Apabila pemeriksaan dibuat, anggota bertugas menemui rokok berwarna putih cuba disorokkan di bawah timbunan baja yang ditutup kanvas.

    “Pihak kami mendapati suspek cuba mengemukakan dokumen pengoperasian palsu semata-mata untuk mengaburi petugas di sekatan jalan raya (SJR) yang bakal dilalui,”ujarnya.

    Hassan Basri berkata, hasil siasatan mendapati kesemua rokok itu dibawa masuk secara haram melalui jalan sungai untuk pasaran Johor dan suspek mengaku bertanggungjawab sebagai ‘transporter’ yang menerima upah RM100 hingga RM300.

    “Kita telah menahan suspek dan merampas lori serta rokok berkenaan untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Kem Batalion 8 PGA di Pengkalan Chepa hari ini.

    Turut hadir ialah Pegawai Pemerintah PGA8, Superintenden Mat Shukor Yusof.

    Menurut Hasan Basri, ujian air kencing dilakukan mendapati suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine, namun dia tiada rekod jenayah lampau.

    “Kami percaya penyeludup memiliki lokasi atau gudang transit di sepanjang sempadan negara, namun bagi kes ini, barangan yang masuk tidak lebih dua jam akan terus dibawa menaiki lori agar tidak dikesan anggota bertugas.

    “Kegiatan tersebut dipercayai dilakukan dengan kerjasama kumpulan sindiket dan kita akan meneruskan siasatan ke atas suspek bagi mengenal pasti sindiket terbabit,” tambah beliau.